Program Muhibah Madani 2025! 2,000 pelajar dan 6,500 keluarga B40 terima sumbangan serta bantuan!
Published byKoperasi Khazanah Usahawan Berhad (Ko-Khawan) menerusi Yayasan Muhibah Malaysia buat julung-julung kalinya mengadakan program bantuan berskala besar, Program Muhibah Madani 2025 di Parlimen Permatang Pauh, dengan sumbangan disampaikan sendiri oleh Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri Malaysia.
Sumbangan barangan persekolahan kepada 2,000 pelajar serta barangan keperluan dapur untuk 6,500 keluarga B40 menjadi fokus utama program tersebut yang diadakan di Bangunan Majlis Bandaraya Seberang Perai (MBSP) pada 11 Januari 2025.
Pengerusi Ko-Khawan Dato’ Eng Yee Koon berkata kehadiran Perdana Menteri bersama Ketua Menteri Pulau Pinang Chow Kon Yeow menunjukkan komitmen Kerajaan Madani dalam menyantuni golongan yang memerlukan.
“Sebagai penganjur, kami amat terharu dan berterima kasih dengan sokongan yang diberikan oleh pemimpin peringkat nasional dan negeri untuk menjayakan program kali ini.
"Ia membuktikan bahawa kedua-dua Perdana Menteri dan Ketua Menteri mempunyai matlamat yang sama dalam membantu meningkatkan taraf hidup rakyat yang kurang bernasib baik,” kata Yee Koon.
Ditubuhkan pada tahun lepas (2024), Yayasan Muhibah Malaysia merupakan hasil inisiatif Ko-Khawan yang mempunyai 300 ahli dengan misi utama untuk membantu golongan kurang bernasib baik termasuk anak-anak yatim, ibu bapa tunggal dan pelajar daripada golongan B40.
“Fokus utama kami pada tahun lepas (2024) adalah menyediakan bantuan berkaitan pendidikan seperti uniform sekolah, komputer, yuran tuisyen dan program pembelajaran dalam talian kepada 1,000 pelajar di seluruh negara.
"Bantuan ini memberi peluang kepada pelajar untuk mencapai kejayaan akademik walaupun berhadapan cabaran hidup akibat kemiskinan,” kata Yee Koon.
Untuk program Program Muhibah Madani 2025 ini, beliau berkata pelajar sekolah rendah dan menengah daripada Kumpulan B40 serta anak yatim menerima beg dan uniform sekolah serta alat tulis bagi memastikan mereka dapat memulakan sesi persekolahan dengan penuh semangat.
Selain itu, setiap keluarga B40 pula menerima barangan dapur dan keperluan asas harian dengan nilai setiap sumbangan dianggarkan RM100.
“Kami tidak hanya memberikan bantuan material, tetapi juga kasih sayang dan harapan.
"Masyarakat Malaysia perlu tahu bahawa golongan yang kurang bernasib baik tidak seharusnya dilupakan dan perlu dibantu," kata Yee Koon.
Pihak penganjur turut menyediakan jamuan istimewa untuk lebih 6,000 tetamu yang hadir terutama para penerima bantuan. Mereka yang hadir turut berpeluang menerima pelbagai hadiah cabutan bertuah.
Yee Koon berharap lebih ramai usahawan berjaya akan menyertai Ko-Khawan serta melibatkan diri dalam pelbagai inisiatif yang diperkenal untuk membantu meningkatkan taraf hidup golongan B40 terutama melalui kecemerlangan akademik. - KitaReporters/Kenyataan Media