Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia) mengukuhkan komitmennya untuk memberi impak positif dalam kehidupan kanak-kanak yang memerlukan melalui penganjuran Kejohanan Golf Amal RMHC, pada 23 September 2024. 

Dengan penglibatan 110 pemain, kejohanan ini berjaya mengumpul RM450,000 untuk membantu golongan yang memerlukan di seluruh negara.

Kejohanan yang diadakan di Tropicana Golf & Country Resort ini adalah sebahagian daripada usaha pengumpulan dana oleh RMHC Malaysia untuk empat program utamanya: Rumah Ronald McDonald, Bilik Terapi Sensori Ronald McDonald, Anugerah Senyuman, dan program Pek Kembali ke Sekolah, 

Kesemua program ini selaras dengan teras utama RMHC Malaysia iaitu kesihatan, pendidikan, dan kebajikan.



Sejak ditubuhkan pada tahun 1990, RMHC Malaysia telah membiayai lebih RM60 juta untuk membantu lebih 200,000 kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia, melalui program-program ini.

“Kejohanan Golf Amal dalah antara usaha penting kami untuk membantu kanak-kanak yang memerlukan. 

"Menyaksikan hasil yang positif daripada acara ini merupakan satu kepuasan yang sangat bermakna. 

"Sokongan dan semangat yang ditunjukkan para peserta bukan sahaja mengukuhkan komitmen kami tetapi juga mendorong kami untuk terus maju ke hadapan. 

"Ia menguatkan tujuan kami dalam mencipta masa depan yang lebih cerah untuk kanak-kanak di Malaysia, dan kami berharap usaha ini akan terus memberi impak yang mendalam,” kata Dato’ Azmir Jaafar, Presiden RMHC Malaysia.

Dalam acara tersebut, RMHC Malaysia turut menyampaikan geran perubatan berjumlah RM312,462 kepada lima organisasi bukan kerajaan (NGO) termasuk Yayasan IJN, Tabung Kebajikan Pesakit HPKK UKM, PPUMCare, Persatuan Kebajikan Pesakit Kanak-Kanak HUSM dan Tabung Kebajikan Perubatan Malaysia Hospital Tunku Azizah. 



Geran-geran ini akan digunakan untuk membiayai rawatan perubatan, peralatan, dan keperluan kritikal lain untuk kanak-kanak yang memerlukan.

“Penyampaian geran perubatan ini adalah bukti komitmen kami untuk meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia. 

"Kami percaya bahawa setiap kanak-kanak berhak mendapat akses kepada penjagaan kesihatan yang berkualiti dan peluang untuk menjalani kehidupan yang sihat dan gembira. 

"Geran-geran ini adalah sebahagian daripada usaha berterusan kami untuk menyediakan sokongan perubatan yang penting, memastikan tiada kanak-kanak yang ketinggalan,” tambah Azmir.

Selama 34 tahun, RMHC Malaysia kekal komited dengan misinya untuk membangunkan, meneroka, dan menyokong program yang secara langsung mampu meningkatkan kesihatan dan kesejahteraan kanak-kanak yang memerlukan di Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

13
9
0
14
0

Copy Link: