Oleh ROSLI YAHYA


Rezeki menyebelahi Mohd Farid Napie, 39, dari Shah Alam apabila beliau dinobatkan sebagai juara dalam Pertandingan memancing PJ Joran 2025 setelah berjaya menaikkan ikan patin seberat 13.305 kilogram (kg) pada jam 11.07 pagi, Ahad 23 Februari 2025, bertempat di Taman Tasik Bandaran Kelana Jaya, Petaling Jaya, Selangor.

Kejayaan ini melayakkan beliau membawa pulang hadiah wang tunai RM6,000 beserta piala.

Pertandingan memancing anjuran Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) ini kembali untuk edisi keenam dengan penyertaan hampir 600 pemancing dari pelbagai negeri, bersempena Tahun Melawat Selangor 2025.

Menurut Mohd Farid, kemenangan ini adalah hasil pengalamannya yang telah berkecimpung dalam dunia pertandingan memancing selama 12 tahun.

"Saya tidak menyangka kemenangan ini kerana hanya menggunakan roti kosong sebagai umpan. Ikan patin ini berjaya dinaikkan dalam tempoh 12 minit. 

"Wang kemenangan ini akan digunakan sebagai persediaan menyambut bulan Ramadan yang bakal tiba," katanya.


Aznan Hassan (depan, tengah) bersama para pemenang PJ Joran 2025 selepas penyampaian hadiah pada 23 Februari 2025.


Sementara itu, tempat kedua disandang oleh M Dani Hakim Mohd Naim, 14, yang membawa pulang wang RM3,000 selepas berjaya menaikkan kap rumput seberat 6.895kg.

Manakala, tempat ketiga dimenangi Siew Yew Choe, 54, yang menerima wang RM1,000 dengan hasil tangkapan kap rumput seberat 6.205kg.

Hadiah kepada para pemenang telah disampaikan oleh Timbalan Datuk Bandar Petaling Jaya, Aznan Hassan.

"PJ Joran 2025 bukan sekadar satu pertandingan memancing, tetapi juga platform riadah inklusif yang menggalakkan interaksi sosial serta memperkukuh hubungan dalam komuniti," kata Aznan.

Beliau turut menambah bahawa pertandingan ini bertujuan memperkenal taman tasik rekreasi sebagai lokasi riadah bagi warga Petaling Jaya serta menggalakkan aktiviti memancing secara sihat.



Selain Selangor, acara ini juga berjaya menarik peserta dan keluarga dari Johor, Melaka, Negeri Sembilan, Perak, dan Pahang.

Sebanyak lebih 230 ekor ikan daripada pelbagai spesies berjaya ditangkap sepanjang pertandingan ini, termasuk ikan patin, keli, haruan, puyu, peacock bass, dan tilapia.

Selain mencipta pengalaman menarik bagi para peserta, PJ Joran 2025 turut memainkan peranan dalam menyemarakkan kempen Tahun Melawat Selangor 2025.

Kempen ini bertujuan meningkatkan profil serta perkembangan industri pelancongan di Negeri Selangor, khususnya di daerah Petaling Jaya.

Dengan sambutan menggalakkan dan penyertaan dari pelbagai negeri, PJ Joran 2025 terus membuktikan potensinya sebagai acara tahunan yang bukan sahaja mempromosikan gaya hidup sihat, tetapi juga merancakkan ekonomi pelancongan. - KitaReporters


20
17
0
11
0

Copy Link: