SELHAC 2023 berjaya! RM55.7j transaksi dicapai! 8,000 pengunjung! Menarik penyertaan antarabangsa!
Published bySebanyak RM55.7 juta transaksi dicapai melalui padanan perniagaan dengan hampir 8,000 pengunjung di Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC) 2023 berakhir selepas tiga hari dengan aktiviti pameran, forum, seminar dan padanan perniagaan di Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Lebih 200 pempamer dan hampir 8,000 pengunjung berkumpul di SELHAC 2023 dari 10 hingga 12 Mac 2023, satu komponen penting di dalam perancangan ekonomi untuk melonjakkan industri halal sebagai salah satu daripada sembilan sektor fokus bagi mengukuhkan ekonomi negeri tersebut.
Lagi cerita-cerita menarik berkaitan sektor industri halal
SELHAC merupakan acara penting di dalam agenda halal untuk memposisi dan memanfaatkan kekuatan Selangor dalam mendukung ekonomi halal serantau.
Ia melalui pembangunan perniagaan-perniagaan yang mempunyai potensi bagi menembusi pasaran halal global yang diunjurkan akan bernilai USD2.8 trilion menjelang tahun 2025.
Pengerusi
Jawatankuasa Tetap Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri
Halal, Mohd Zawawi Ahmad Mughni berkata, membina komuniti halal yang lebih
kukuh dan makmur adalah sesuatu yang tidak ternilai.
“Kita telah bersama-sama berkongsi nilai , tradisi dan memperkuat komitmen kepada prinsip-prinsip persahabatan, integriti dan kebolehpercayaan untuk membina komuniti halal yang bersepadu. Nilai ini wajar dipelihara, dikekalkan dan dimantapkan dari semasa ke semasa,” ujarnya ketika berucap pada majlis penutup SELHAC 2023.
Mohd Zawawi Ahmad Mughni berucap pada majlis penutup Konvensyen Halal Antarabangsa Selangor (SELHAC 2023) di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur baru-baru ini.
Beliau turut mengumumkan beberapa pencapaian di edisi SELHAC pada tahun ini, antaranya sejumlah RM55.7 juta transaksi pada sesi-sesi padanan perniagaan yang disertai hampir 100 penyertaan dari luar negara seperti United Kingdom, Kanada, Australia dan Thailand.
“Bahkan jumlah pempamer melebihi 200 bukan sahaja dari Selangor, malah datang dari Kedah, Pulau Pinang, Melaka, Negeri
Sembilan dan juga dari negara luar. Anggaran jualan adalah sebanyak hampir
RM100,000 pada pameran SELHAC kali ini.
“Lebih
menarik lagi seramai hampir 8,000 pengunjung menyertai pameran, Seminar
Kewangan Islam & Logistik Halal, Forum Rantaian Bekalan dan Penembusan
Pasaran termasuk Persidangan Eksekutif Halal yang dianjurkan oleh Jabatan Agama
Islam Selangor (JAIS). Bahkan penyertaan ke forum industri halal dan seminar
kewangan Islam melebihi 500 orang.
"Terdapat banyak lagi pencapaian yang tidak dapat dinilai sepanjang penganjuran SELHAC 2023. Di samping peluang-peluang perniagaan dan hubungan yang dicapai, konvensyen ini juga meraikan kekayaan dan kepelbagaian sektor halal di negeri Selangor,” tambahnya.
SELHAC 2023 dianjurkan oleh Jawatankuasa Tetap Agama Islam, Pengguna dan Industri Halal Selangor dan diurus oleh HIS Toyyiba Sdn Bhd atau lebih dikenali sebagai Halal International Selangor (HIS) yang merupakan anak syarikat Menteri Besar Selangor (Pemerbadanan). - KitaReporters