Anjung Syawal menyasarkan jualan sebanyak RM10 juta yang merangkumi pelbagai produk dan segmen pasaran, yang melibatkan keperluan orang ramai sebagai persiapan menjelang sambutan Hari Raya yang akan berlangsung pada hujung bulan ini, iaitu 31 Mac 2025.

Apa yang menarik, Anjung Syawal yang beroperasi di Dataran Putrajaya itu mempunyai reputasi tersendiri dan cukup dikenali orang ramai kerana, setiap tahun, sambutannya pasti meriah dengan pengunjung, sama ada orang di sekitar situ atau pengunjung dari luar kawasan.

Pengarah Urusan Radiates Blue Sdn Bhd, Rayme Zainal Abidin berkata beliau yakin sasaran tersebut mampu dicapai kerana Bazar Aidilfitri, yang merupakan yang terbesar di Lembah Klang, telah memasuki penganjuran tahun ke-13 pada tahun ini (2025).

Bagi Rayme, melihat kehadiran orang ramai setiap tahun, beliau yakin setiap peniaga mampu mencatatkan jualan positif sehingga RM30,000 atau lebih lagi.



“Kami berjaya menjual 320 lot niaga di Anjung Syawal dengan bayaran sewa penuh, melepasi sasaran awal sebanyak 292 lot niaga. Apa yang mengejutkan, tawaran lot niaga ini hanya dibuka secara rasmi pada awal Januari (2025) lalu.

“Sambutan menggalakkan ini berjaya menepis dakwaan bahawa Bazar Aidilfitri tahun ini tidak akan meriah seperti kebiasaan, sebaliknya sambutan terhadap lot niaga di Anjung Syawal amat luar biasa.

“Ini kerana terdapat isu yang dimainkan dalam media sosial yang menasihati peniaga agar tidak berniaga di Bazar Aidilfitri kerana masyarakat tidak lagi gemar untuk berkunjung secara fizikal,” katanya pada majlis pelancaran di Presint 3, Dataran Putrajaya, pada 28 Februari 2025 lalu.



Selain itu, Anjung Syawal juga berkolaborasi bersama pempengaruh popular, Pinn Yang (gambar atas, dua dari kiri), bagi memeriahkan acara sambil membantu peniaga di situ. Malah, terdapat selebriti yang turut berniaga, antaranya Liza Abdullah, Shahz Jazle, Rezza Shah OIAM, dan Ayie Floor88.

Bertemakan ‘Memori Ramadan, Aspirasi Syawal’, pelbagai aktiviti dan reruai akan dilaksanakan dengan konsep yang kali ini menonjolkan serta meraikan kekayaan budaya Melayu dan kesenian Islam yang menjadi tradisi turun-temurun di negara ini.

Mengulas lanjut, Rayme yang juga seorang penyanyi memberitahu, konsep Anjung Syawal kali ini bukan sahaja bertujuan mengekalkan warisan budaya Melayu tetapi juga memasukkan elemen moden dalam sambutan Ramadan dan Syawal, serta berusaha menarik minat semua golongan masyarakat untuk mengenali budaya bangsa, terutama generasi muda.



“Sebagai penganjur, kami mahu menerapkan rasa kecintaan terhadap tradisi dan terus menerus menghargainya walaupun masyarakat kini dilanda arus kemodenan digital serta budaya luar. 

"Antara kelainan baharu Anjung Syawal adalah memperkenal segmen ‘Pangkin Seni dan Serambi Santai’ bagi menyediakan pelbagai aktiviti kebudayaan serta ruang selesa untuk pengunjung beristirahat.

“Bagi mengekalkan tarikan dan kemeriahan pada tahun ini (2025), khemah lutsinar serta berlampu akan turut disediakan di kawasan Anjung Syawal untuk membolehkan pengunjung berbuka puasa bersama ahli keluarga,” katanya.

Rayme menambah, orang ramai juga tidak perlu bimbang kerana lebih 2,000 tapak parkir kenderaan disediakan di sekitar kawasan utama Presint 3, Putrajaya bagi menampung pertambahan jumlah pengunjung.

Anjung Syawal akan dibuka dari pukul 12 tengah hari sehingga 12 tengah malam dan telah beroperasi secara rasmi pada 1 Mac 2025 sehingga malam raya.

Pada majlis itu, buat pertama kalinya diadakan pelancaran memperkenal lagu tema dan video muzik Anjung Syawal, iaitu "Raya Sebenarnya" nyanyian duet Rayme bersama penyampai radio, Feeya Iskandar atau Cik Piah. - KitaReporters

9
13
0
14
0

Copy Link: