Terima kasih Maxis! Bawa keceriaan perayaan kepada komuniti CSSC Kuching! Sempena sambutan Krismas!

Published by
KitaReporters

Bhaarathyraja A/L Thanapal (kiri) menyerahkan bakul Krismas kepada salah seorang penerima bantuan.


Sempena sambutan Krismas, Maxis baru-baru ini telah bekerjasama dengan Pusat Sokongan Sosial Komuniti (CSSC) Kuching dan Kuching Food Aid untuk membawa keceriaan musim perayaan kepada lebih 100 warga komuniti setempat, termasuk warga emas dan gelandangan.

Diadakan di CSSC Kuching, sambutan tahun ini (2024) yang bertemakan “Musim Harapan: Berkongsi Kegembiraan, Membina Hubungan” telah diraikan dengan pelbagai aktiviti bagi memupuk semangat muhibah dan keceriaan dalam kalangan mereka yang memerlukan. 

Antara aktiviti yang diadakan termasuk nyanyian karol, menghias biskut dan permainan bingo sebelum diakhiri dengan makan tengah hari bersama semua peserta yang turut disertai oleh sukarelawan Maxis mSquad.

Selaras dengan tradisi tanggungjawab sosial korporat (CSR) perayaan Maxis, para peserta masing-masing telah menerima bakul Krismas dengan barangan sedia untuk dimasak, serta pek SIM dan tambah nilai Hotlink. 

Maxis turut menyumbang kepada CSSC Kuching dalam menyokong misi mereka dengan menyediakan tilam untuk fasiliti transit gelandangan pusat itu dan bantuan makanan kering untuk bank makanannya. 

CSSC Kuching memberikan perkhidmatan kepada kumpulan terdedah seperti gelandangan, mangsa keganasan rumah tangga atau ketagihan, serta orang lain yang menghadapi isu sosial. 

Sementara itu, Kuching Food Aid menyediakan bantuan makanan penting kepada masyarakat kurang berkemampuan di Sarawak yang menghadapi masalah ketidakamanan makanan, termasuk ibu tunggal yang mempunyai anak kecil, orang sakit, warga emas dan orang kurang upaya.



Bhaarathyraja A/L Thanapal, Ketua Pengurusan Jualan Serantau - Sarawak, Maxis yang mengetuai delegasi perayaan syarikat itu berkata, “Kami bersyukur kerana berpeluang menyebarkan kemeriahan perayaan di Kuching pada musim Krismas ini. 

"Kami sentiasa komited untuk memberi kembali kepada masyarakat dan kami berharap telah dapat mencipta satu detik perayaan Krismas yang menggembirakan.”

Emerlyn Rawlin, Pengurus CSSC Kuching pula berkata, “Bagi pihak CSSC, kami mengucapkan terima kasih kepada pihak Maxis dan pasukan sukarelawan mereka kerana telah menganjurkan sambutan Krismas yang begitu bermakna dan menggembirakan, serta atas sumbangan para penderma yang begitu murah hati. 

"Kami berharap dapat mengadakan lebih banyak kerjasama dan peluang di masa depan untuk mencipta detik yang lebih bermakna bersama-sama.” 

Sementara itu, Datin Shen-Tel lee, Pengasas Kuching Food Aid berkata, “Saya gembira kerana kami berjaya menganjurkan acara ini untuk ahli masyarakat yang jarang mendapat peluang sebegini. 

"Acara ini telah berlangsung penuh dengan aktiviti untuk para peserta dan benar-benar menjadi bualan ramai. Terima kasih kepada Maxis kerana menganjurkan sambutan yang begitu murah hati dan tidak dapat dilupakan.” 

CSSC Kuching telah beroperasi sejak 2022, bekerjasama dengan Kementerian Pembangunan Wanita, Kanak-Kanak dan Kesejahteraan Komuniti (KPWK) Sarawak dan Elica Sdn. Bhd. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
8
0
14
0

Copy Link: