Syabas SJKT Batu Caves, SJKC Tong Hua, SK Taman Bukit Indah! Pemenang Good SENS National Dragons’ Den!
Published byPasukan Buzz of Blenders daripada SJKT Batu Caves, Selangor, giat menjual pani puri di sekolah mereka.
Prihatin terhadap masalah rakan-rakan sekolah yang dijangkiti demam denggi, pasukan Buzz of Blenders dari SJKT Batu Caves, Selangor, telah menggerakkan sebuah perusahaan sosial dengan menjual pani puri bagi membiayai pembinaan taman penghalau nyamuk di sekolah mereka.
Inisiatif dan komitmen mereka terhadap kesihatan komuniti telah memukau para juri di Good SENS National Dragons’ Den 2024, sekali gus melayakkan kumpulan usahawan muda ini merangkul gelaran Perusahaan Sosial Terbaik Keseluruhan 2024 atas penyelesaian inovatif yang diketengahkan.
Program Good SENS (Social Enterprise Network for Schools), inisiatif literasi kewangan oleh Financial Industry Collective Outreach (Finco), menyaksikan penyertaan lebih daripada 60 pasukan sekolah rendah dari seluruh negara.
Namun hanya 11 pasukan cemerlang terpilih untuk membentangkan idea mereka secara langsung di Kuala Lumpur, bersaing untuk mendapatkan pelaburan lanjut dan mempamerkan perusahaan sosial kreatif di hadapan panel juri industri kewangan yang disegani, terdiri daripada Lee Yo-Hunn, Ketua Pegawai Eksekutif Public Investment Bank; Vikram Singh, Ketua Pegawai Eksekutif Citibank Malaysia; dan Shazman Shahid, Ketua Komunikasi Korporat & Pemasaran Kumpulan AmBank Group.
Azman Hashim (tiga dari kiri) dan Clare Walker (dua dari kiri) bersama pelajar Buzz of Blenders pada Majlis Anugerah Tahunan Finco 2024.
“Program Good SENS ini lebih daripada sekadar platform untuk pelajar muda menonjolkan idea. Ia merupakan satu perjalanan transformasi yang membekalkan kemahiran, keyakinan, dan empati untuk menangani cabaran dunia sebenar.
"Di samping meningkatkan literasi kewangan dan mempelajari cara menjalankan perniagaan, mereka juga belajar bagaimana untuk mencetuskan perubahan bermakna dalam komuniti mereka,” kata Clare Walker, Ketua Pegawai Eksekutif Finco.
Semangat untuk menggunakan kreativiti dan kerjasama dalam mengubah isu sebenar kepada peluang bagi perubahan berkekalan turut terserlah pada pasukan naib juara, TH4 dari SJKC Tong Hua, Sarawak.
Mereka telah mengagumkan para juri menerusi inisiatif ekonomi kitaran, iaitu mendapatkan makanan daripada keluarga berpendapatan rendah, menjualnya semula kepada rakan-rakan, dan menggunakan hasil tersebut untuk menampung keperluan harian sebuah rumah anak yatim.
Model perniagaan yang praktikal dan lestari ini jelas menunjukkan potensi perusahaan sosial dalam memacu perubahan ekonomi dan sosial.
Dalam pengumuman mengejut, panel Dragons’ Den telah memilih Cravings & Candles dari SK Taman Bukit Indah, Selangor, untuk menerima Anugerah Khas Dragons, yang ditaja oleh Public Investment Bank. Pasukan ini telah memikat juri dengan idea kitar semula minyak masak terpakai menjadi lilin wangi mesra alam.
Pasukan TH4 daripada SJK(C) Tong Hua, Sarawak, menjual semula makanan daripada keluarga berpendapatan rendah kepada rakan-rakan sekolah mereka dan menggunakan hasil jualan untuk menyokong sebuah rumah anak yatim.
Pemenang lain yang turut diiktiraf termasuk:
- Anugerah Impak Cemerlang terhadap Alam Sekitar dan Kelestarian: Serantau EcoCreators dari SK Rantau Panjang, Selangor, atas inisiatif mereka menukar sisa buangan menjadi produk bernilai, termasuk bahan pengajaran dan pingat. Pasukan ini mengumpul lebih daripada 40kg sisa setiap minggu, menjana lebih RM9,000 keuntungan.
- Anugerah Pilihan Ramai: Kampung Jero-Jero dari SK LKTP Maokil 2, Johor, yang menerima undian tertinggi dalam media sosial menerusi video pembentangan mereka yang berkongsi idea menjual barangan terpakai (preloved) bagi mengurangkan pelupusan sisa dan pembakaran terbuka.
Di samping itu, program ini turut mengiktiraf pencapaian individu:
- Anugerah Pemimpin Cemerlang: Muhammad Harif Danial Addiesuria dari SK Peradong (Negeri Sembilan) atas kepimpinan beliau yang luar biasa.
- Anugerah Komunikator Paling Berkesan: Iris Shakeelah Muhammad Sharifuddin dari SK Sultanah Asma (Kedah) atas kemahiran komunikasi yang berkesan dan meyakinkan.
- Anugerah Guru Terbaik: Nurkusnita Che Kamaruddin, guru dari SK Parit Raja (Johor), atas bimbingan dan sokongan yang cemerlang.
- Anugerah Mentor Terbaik: Mad Rizal Abu Bakar, Pengurus Tanggungjawab Korporat di Prudential Assurance Malaysia Berhad, atas dedikasi dan panduan beliau kepada para pelajar.
Pemenang Anugerah Khas Dragons, pasukan Cravings & Candles daripada SK Taman Bukit Indah, Selangor, menukar minyak masak terpakai menjadi lilin wangi mesra alam.
Pada tahun 2024, program Good SENS telah melibatkan 380 pelajar sekolah rendah berusia 10 hingga 12 tahun dari 37 buah sekolah di seluruh negara, dengan sokongan daripada lebih 60 mentor industri kewangan.
Para pelajar ini mendapat peluang merasai pengalaman sebenar dalam literasi kewangan dengan mengurus dan mengendalikan perusahaan sosial mereka sendiri.
Program ini dapat direalisasikan melalui dana dan komitmen bersama industri kewangan Malaysia, di mana 23 sekolah menerima sokongan daripada Finco, manakala AmBank Group dan CIMB Bank menaja tambahan 14 buah sekolah.
“Industri kewangan mempunyai tanggungjawab untuk memperkasa generasi akan datang dengan alat dan pengetahuan bagi membina masa depan yang lestari dan inklusif.
"Dengan menyokong usahawan sosial muda ini melalui bimbingan serta tajaan kewangan, institusi kewangan menyumbang kepada pembentukan budaya inovasi, daya tahan, dan impak sosial yang selari dengan nilai industri kami,” kata Tan Sri Azman Hashim, Pengerusi Finco. - KitaReporters/Kenyataan Media