SEJUMLAH 180 tan metrik atau 180,000 kilogram (kg) beras kalau dicongkak mampu membekalkan beras tempatan kepada 18,000 seisi keluarga.

Namun apa yang mengecewakan, beras sejumlah itu juga ditemukan disorokkan di sebuah kilang pengeluar beras terkemuka Kedah di Alor Setar, Kedah pada 9 Oktober 2023.

Penemuan itu hasil Task Force Khas Bersepadu Penguatkuasaan Operasi Beras Putih Tempatan (OP BPT) yang diketuai Timbalan Menteri Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM), Chan Foong Hin bersama Kawal Selia Padi dan Beras (KPB).

Ia turut dijayakan bersama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) dan Jabatan Perkhidmatan Kuarantin dan Pemeriksaan (MAQIS).

Pasukan khas itu berjaya membongkar dengan menyita kilang beras terkemuka di Kedah itu yang disyaki menyorok beras putih tempatan (BPT) dalam gudang simpanan yang tidak dinyatakan dalam lesen. 

Difahamkan sitaan itu juga hasil pemeriksaan lanjut oleh pasukan Task Force Khas OP BPT setelah mendapati bahawa beras bergred Super Spesial Tempatan 5% (SST5) atau beras putih tempatan (BPT) di dalam kampit jumbo berjumlah 180 tan metrik disorok di gudang yang tidak dinyatakan dalam lesen. 



Susulan itu, kilang tersebut disyaki melakukan kesalahan menyimpan stok beras tanpa lesen sekali gus pasukan Task Force Khas bertindak menyita BPT yang berada di dalam gudang tersebut dengan hasil sitaan dianggarkan bernilai RM405,000. 

Menurut Foong Hin, kerajaan memberi amaran keras kepada semua pihak supaya mematuhi undang-undang yang ditetapkan.

“KPKM dan anggota-anggota Task Force akan bertindak tegas terhadap sesiapa (individu atau syarikat) yang didapati melanggar peraturan sedia ada.

“Jangan mengambil kesempatan kerana ini masanya kita berganding bahu untuk menjamin kecukupan bekalan makanan yang berpatutan untuk rakyat, bukannya menekan pengguna atau pesawah demi mengaut keuntungan yang lebih," katanya dalam satu sidang akhbar di kilang berkenaan, Selasa, 10 Oktober.

Katanya,  kes tersebut disiasat di bawah Akta Kawalan Padi dan Beras 1994 (Akta 522) dan Peraturan-Peraturan Kawalan Padi dan Beras (Pelesenan Kilang-Kilang Padi) 1996 P.U (A) 626. 

“Sekiranya didapati bersalah, kilang padi tersebut boleh dikenakan hukuman denda sehingga RM25,000 bagi kesalahan pertama dan Ketua Pengarah Pengawalan Padi dan Beras melalui notis secara bertulis boleh membatalkan atau menggantung lesen mereka,” katanya.

Isu kekurangan beras putih tempatan (BPT) semakin menjadi-jadi sejak kebelakangan ini terutama sejak kenaikan harga beras putih import (BPI).

Banyak pihak mendakwa kekurangan beras putih tempatan itu perpunca daripada tindakan sesetengah pihak yang menyorok stok demi untuk meraih keuntungan tinggi hasil penjualan beras import.

Perkara itu sekali gus mengundang panik dalam kalangan pengguna yang sukar menemukan beras putih tempatan itu terutama bagi golongan berpendapatan rendah yang tidak mampu membeli beras import yang mahal. - KitaReporters


BERAS tempatan yang ditemukan tersorok di sebuah kilang beras di Kedah.

12
9
0
11
0

Copy Link: