Iskandar Sarudin (tengah) bersama Keiji Ono (kanan) dan Naoya Okada (kiri) bergambar bersama wakil pertubuhan yang menerima sumbangan daripada Yayasan AEON di AEON Mall, Alpha Angle pada 24 Februari 2024. - Kredit foto: FAS


Sempena 40 tahun penubuhannya, syarikat peruncitan dan rangkaian pasar raya terkemuka di Malaysia, AEON Co. (M) Bhd. atau AEON melancarkan program ‘Jelajah Senyum’, dijadualkan bermula pada 27 April 2024 ini di AEON Mall Bukit Tinggi dan seterusnya di rangkaian pusat beli-belah AEON seluruh negara dengan kemuncaknya di AEON Mall Shah Alam pada Disember 2024 ini.

Sehubungan sambutan ulang tahun itu juga, Yayasan AEON Malaysia membuat sumbangan bernilai RM80,000 kepada empat organisasi  terpilih, berjumlah RM20,000 setiap satu disampaikan oleh Pengerusi AEON, Datuk Iskandar Sarudin bersama Pengarah Urusan AEON, Keiji Ono pada majlis pelancaran Senyum Tour (Jelajah Senyum) bertempat di AEON Mall, Alpha Angle pada Sabtu, 24 Februari 2024 lalu yang turut dihadiri Timbalan Pengarah Urusan AEON, Naoya Okada.



Dari kiri: Naoya, Iskandar dan Keiji di pentas sebelum melakukan gimik pelancaran.


Empat organisasi terbabit adalah Rumah Kebajikan dan Anak Yatim Darul Najjah, Pertubuhan Kebajikan Ihsan Negeri Sembilan, Persatuan Kebajikan Amal Ji An Malaysia, dan Pertubuhan Kebajikan Anak-anak Yatim dan OKU Mesra.

“Sambutan ulang tahun ke-40 memberi makna yang sangat besar bagi AEON kerana ia mencerminkan komitmen berterusan kami terhadap inovasi, kecemerlangan dan keutamaan terhadap pelanggan,” ujar Iskandar dalam ucapan perasmiannya sambil melahirkan rasa terujanya dapat meraikan kejayaan ini dengan kerjasama 400 rakan kongsi perniagaannya sepanjang empat dekad yang lalu. 

Menurut beliau, sumbangan yang diagihkan kepada empat organisasi berkenaan adalah sebahagian daripada komitmen teguh AEON terhadap tanggungjawab sosial korporat (CSR) dalam memberi bantuan kepada masyarakat.

“Kami komited untuk mengekalkan standard kualiti dan perkhidmatan tertinggi bagi memastikan AEON terus menjadi destinasi pilihan untuk pelanggan di seluruh Malaysia,” tambahnya,



Acara pelancaran tersebut menyaksikan beberapa siri aktiviti menarik yang menghimpunkan komuniti Wangsa Maju, termasuk sesi Zumba, Jelajah Go Green Agroz – ‘indoor vertical farming’ di AEON Alpha Angle dan aktiviti ‘balloon drop’ yang menawarkan hadiah utama dua tiket ke Universal Studios Beijing. 

Di samping itu, pelanggan boleh menikmati tawaran istimewa semasa Senyum Tour di pusat beli-belah AEON termasuklah barangan istimewa, diskaun 40% untuk item terpilih, 40 item super deal, tawaran harga tetap (flat price) RM40, promosi beli 4 percuma 1, 400 hadiah percuma dan Happy Hour setiap 4 jam. 



Sementara itu, Keiji Ono melahirkan penghargaan AEON kepada Kerajaan Malaysia yang telah memberi peluang kepada AEON untuk memulakan operasinya 40 tahun lalu. 

"Bagi pihak AEON, saya mengucapkan setinggi-tinggi penghargaan kepada Kerajaan, Rakan Niaga dan Pelanggan kami atas sokongan dan naungan berterusan mereka sepanjang 40 tahun yang lalu. 

"Perjalanan kami tidak akan tercapai tanpa kepercayaan dan keyakinan mereka yang tidak berbelah bahagi terhadap jenama kami,” tambahnya.

Keiji turut memaklumkan AEON akan terus melebarkan sayapnya dengan melakukan pengubahsuaian terhadap beberapa rangkaiannya bermula dengan AEON di IOI Puchong malah merancang pembukaan sebuah lagi rangkaian AEON Mall yang baharu berdekatan MITEC (Pusat Pameran dan Perdaganan Antarabangsa Malaysia) di Kuala Lumpur selepas pembukaan AEON Stor di Setia City Mall, Shah Alam kira-kira sebulan lagi.


Majlis pelancaran diserikan dengan persembahan dram Jepun.


Untuk rekod, sejak penubuhannya empat dekad yang lalu, AEON telah merevolusikan landskap runcit di Malaysia melalui kepelbagaian produknya dan pengalaman membeli-belah yang mengujakan. 

Bermula dari 1985 dengan nama Jaya Jusco, AEON telah berkembang secara signifikan, daripada operasi sederhana dengan 300 pekerja kepada organisasi dinamik yang kini mempunyai lebih daripada 10,000 orang pekerja meliputi 28 AEON Mall, 34 AEON Stor, 7 MaxValu Prime, 64 AEON Wellness dan 45 Daiso di seluruh negara. 



Pada Februari 2024, pasaran modal AEON melepasi RM1.5 bilion, mengesahkan kedudukannya sebagai pilihan utama dalam landskap runcit Malaysia sekali gus membantu memodenkan industri peruncitan negara. 

Dengan semangat AEON yang bermaksud ‘berkekalan’ dalam bahasa Latin, matlamat AEON adalah untuk memastikan kerjasama lestari dengan para pelanggan, pembekal, rakan niaga, pemegang saham dan komuniti untuk mewujudkan masa hadapan yang tiada had. - KitaReporters


13
16
0
6
0

Copy Link: