Kena ubah paradigma! Perpustakaan perlu juga jadi pusat sehenti bagi pembangunan usahawan PMKS!
Published bySalah seorang mentor berkongsi pandangan dalam program anjuran FSL bagi membantu usahaawan PMKS.
Dalam era digital dan ekonomi gig, usahawan Perusahaan Mikro, Kecil dan Sederhana (PMKS) memainkan peranan penting dalam ekosistem ekonomi, terutama bagi negara membangun seperti Malaysia.
Namun, cabaran utama mereka adalah akses kepada pengetahuan, latihan, dan sumber yang mampu memperkasakan perniagaan mereka.
Di sinilah perpustakaan boleh juga memainkan peranan sebagai pusat sehenti atau hub pembangunan keusahawanan, menyediakan perkhidmatan yang menyokong pertumbuhan perniagaan berskala kecil ini.
Perpustakaan bukan lagi sekadar tempat meminjam buku tetapi berkembang menjadi pusat ilmu, inovasi dan sokongan bagi komuniti perniagaan kecil.
Financial Services Library atau Perpustakaan Perkhidmatan Kewangan (FSL) Bank Negara Malaysia (BNM) yang berlokasi di Bangunan AICB, Jalan Dato’ Onn, Kuala Lumpur telah mula mengorak langkah ke arah agenda memperkasakan usahawan PMKS dengan mengadakan beberapa program rintis bagi menyerlahkan peranan perpustakaan bagi merealisasikan agenda ini.
Antara peranan dan fungsi yang dimainkan dan disumbangkan oleh FSL dalam memperkasakan agenda usahawan PMKS adalah sebagai pusat akses maklumat perniagaan.
Usahawan dapat bertemu, berkongsi idea dan membina rangkaian perniagaan.
FSL menyediakan koleksi khas berkaitan keusahawanan seperti buku, jurnal, laporan industri, dan kajian pasaran. Langganan pangkalan data online juga disediakan yang membolehkan usahawan mendapatkan maklumat terkini tentang tren pasaran dan persaingan.
Selain itu juga, perkhidmatan sampingan seperti bantuan penyelidikan dan khidmat nasihat juga boleh disediakan untuk membimbing usahawan dalam membuat keputusan berasaskan data.
Selain itu, perpustakaan ini juga berperanan sebagai pusat pembelajaran dan pembangunan kemahiran usahawan PMKS.
FSL telah berkolaborasi dengan para pemain industri kewangan dalam menganjurkan kursus dan bengkel berkaitan kemahiran perniagaan, seperti program literasi digital, pemasaran digital, pengurusan kewangan, dan penyediaan pelan perniagaan.
Selain itu, sesi bimbingan bersama pakar (pementoran atau mentoring) dalam bidang keusahawanan dan inovasi turut dilaksanakan seperti program pemerkasaan usahawan iTEKAD.
Ini secara tidak langsung membantu para usahawan membangunkan modul pembelajaran kendiri dan ia dibuat dalam bentuk kursus dalam talian atau modul bersemuka interaktif.
Mohd Irman Mohd Din.
Timbalan Pengarah FSL, Mohd Irman Mohd Din berkata, pihaknya juga ingin menjadikan FSL sebagai pusat jaringan dan kolaborasi keusahawanan. Ruang kerja bersama (co-working space) telah tersedia yang mana ia boleh dimanfaatkan oleh usahawan untuk berkumpul, bertukar idea dan membina rangkaian perniagaan masing-masing.
Pihak FSL dalam perancangan untuk menganjurkan acara pitching dan sesi temu duga perniagaan bagi mempertemu usahawan dengan pelabur atau pembeli.
Selain itu, jalinan kerjasama dengan agensi kerajaan, universiti, dan sektor swasta bagi menyediakan lebih banyak peluang latihan dan pembiayaan kepada usahawan PMKS juga sedang dirancang.
Mohd Irman juga berkata, FSL juga berhasrat untuk menjadi pusat rujukan bagi pembiayaan dan sokongan kewangan. Maklumat dan informasi berkaitan pinjaman dan geran keusahawan termasuk skim pembiayaan Islamik seperti qard-hassan dan wakaf perniagaan juga sedang dirancang.
Selain itu, kerjasama bersama Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK) dan institusi kewangan bagi mengadakan program literasi kewangan dan sesi kaunseling kewangan kepada usahawan bagi membantu mereka mengurus modal dan aliran tunai perniagaan.
Perpustakaan perlu mengubah paradigma dan berkembang juga menjadi pusat keusahawanan bagi menyokong pertumbuhan ekonomi tempatan.
Dengan menyediakan pelbagai perkhidmatan, latihan, dan kemudahan kepada usahawan PMKS, perpustakaan era baharu ini dapat menjadi elemen penting dalam membangunkan komuniti perniagaan kecil yang mampan dan inovatif.
Model perpustakaan abad ke-21 seperti di Idea Store, London; Perpustakaan Toronto, Kanada; dan Perpustakaan Aarhus, Denmark menjadi inspirasi FSL dalam menjayakan hasrat ini.
Dengan adanya iltizam ini, perpustakaan bukan sahaja akan terus relevan, tetapi juga memainkan peranan lebih besar dalam ekosistem keusahawanan negara. - KitaReporters/Kenyataan Media
Peserta bergambar kenangan selepas program anjuran FSL yang dijalankan.