Oleh DR ROHANI ABDULLAH

Universiti Utara Malaysia (UUM)


Saya melihat penetapan gaji minimum RM1,700 yang berkuat kuasa pada 1 Februari 2025 sebagai langkah signifikan dalam meningkatkan kesejahteraan pekerja di Malaysia. 

Kenaikan ini dijangka memberikan beberapa kesan kepada ekonomi, perniagaan, dan rakyat. Namun, kesan positif ini bergantung kepada bagaimana pendapatan tambahan tersebut dibelanjakan. 

Jika majoriti pekerja membelanjakan sebahagian besar pendapatan tambahan mereka, sektor perniagaan akan mendapat manfaat melalui peningkatan jualan dan permintaan. 

Sebaliknya, jika pendapatan tersebut lebih banyak disimpan, kesannya terhadap pertumbuhan ekonomi mungkin terhad. 

Kesan kepada perniagaan juga dapat dilihat, perusahaan kecil dan sederhana (PKS) mungkin menghadapi cabaran dalam menyesuaikan diri dengan peningkatan kos buruh. Majikan dalam sektor ini perlu meningkatkan produktiviti dan kecekapan operasi untuk menampung kos tambahan. 

Penggunaan teknologi seperti kecerdasan buatan (AI) boleh membantu perniagaan kecil meningkatkan daya saing dan memastikan keupayaan mereka membayar gaji lebih tinggi kepada pekerja. 



Selain itu, terdapat kebimbangan bahawa majikan mungkin mengambil langkah mengurangkan bilangan pekerja atau menaikkan harga produk bagi menampung kos operasi yang meningkat, yang akhirnya boleh memberi kesan negatif kepada pengguna. 

Bagi pekerja, terutama di kawasan bandar dengan kos sara hidup yang tinggi, kadar gaji minimum RM1,700 mungkin masih belum mencukupi. 

Tambahan pula, terdapat kebimbangan bahawa kenaikan gaji minimum boleh menyebabkan inflasi jika perniagaan menaikkan harga barangan dan perkhidmatan untuk menampung kos buruh yang lebih tinggi. Ini boleh mengimbangi manfaat kenaikan gaji bagi pekerja. 

Secara keseluruhan, kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 adalah langkah positif dalam meningkatkan taraf hidup pekerja. Namun, pelaksanaannya perlu dipantau dengan teliti untuk memastikan ia tidak membawa kepada kesan sampingan seperti inflasi yang tidak terkawal atau peningkatan kadar pengangguran. 

Kerjasama antara kerajaan, majikan, dan pekerja adalah penting untuk memastikan bahawa kenaikan gaji minimum ini memberi manfaat kepada semua pihak dan menyumbang kepada pertumbuhan ekonomi yang mampan.


Profesor Madya Dr Rohani Abdullah ialah Pensyarah Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik, Universiti Utara Malaysia (UUM). Tulisan ini adalah pandangan peribadi penulis.


12
7
0
6
0

Copy Link: