Coca-Cola Malaysia, yang berpegang teguh kepada falsafah jenama ‘Real Magic’ yang menyatukan orang ramai dan berkongsi hidangan dengan masyarakat, bekerjasama dengan Foodpanda Malaysia bagi menyemarakkan semangat Ramadan menerusi program CSR yang dianjurkan secara bersama di sepanjang bulan mulia ini. 

Di bawah inisiatif ini, sumbangan makanan akan disalurkan kepada Pertiwi Soup Kitchen yang menyediakan perkhidmatan bantuan makanan kepada masyarakat yang kurang berkemampuan di bandar raya Kuala Lumpur.

Rina Surya, Frontline Marketing Director, Coca-Cola berkata, “Di Coca-Cola, kami sentiasa berusaha untuk mencari cara meningkatkan kehidupan masyarakat di sekeliling kami dan kami berharap untuk mewujudkan impak positif, yang berkekalan dalam masyarakat tempatan. 

"Kami gembira kerana dapat bekerjasama dengan Foodpanda Malaysia pada Ramadan ini dalam kempen ‘Berkat Ramadan’ anjurannya dan bersama-sama menyokong usaha Pertiwi Soup Kitchen agar meringankan beban mereka yang memerlukan.

"Selaras dengan falsafah jenama ‘Real Magic’, kami berharap dapat membawa kegembiraan kepada masyarakat dalam bandar yang serba kekurangan di Kuala Lumpur, terutama semasa tempoh yang serba mencabar ini.”


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan program-program CSR


Dari 23 Mac hingga 21 April 2023, untuk setiap pesanan yang dibuat oleh rakyat Malaysia melalui aplikasi dan laman sesawang Foodpanda menggunakan kod promosi ‘panda’, Foodpanda akan mendermakan satu hidangan makanan kepada Pertiwi Soup Kitchen. 

Coca-Cola juga akan menyediakan penajaan produk di mana setiap hidangan yang disumbangkan akan disertakan dengan minuman daripada portfolio minuman Coca-Cola Malaysia termasuk Coke dan Air Mineral Dasani.

“Kami ingin mengajak semua rakyat Malaysia untuk menyertai kami dalam inisiatif yang amat bermakna ini dan menyumbang bagi membantu dan menyantuni masyarakat. Lagipun, amalan bersedekah bagi memenuhi keperluan mereka yang kurang bernasib baik adalah sangat bermakna, terutamanya di dalam bulan Ramadan ini,” tambah Rina.

“Foodpanda sememangnya sinonim dengan penghantaran makanan dan barangan keperluan lain kepada pelanggan. 

"Pada masa sama, kami tidak pernah lupa bahawa masih terdapat ramai antara kita yang tinggal di bandar ini hidup dalam keadaan yang serba kekurangan. Rakan-rakan Muslim akan berpuasa dan mengawal nafsu semasa bulan Ramadan, tetapi masyarakat asnaf yang dibantu oleh Pertiwi Soup Kitchen ini berlapar setiap hari sepanjang tahun. 

"Kami amat berbesar hati kerana Coca-Cola Malaysia percaya dengan usaha kami dan sudi untuk bersama-sama dengan kami dalam menghulurkan bantuan kepada masyarakat kita,” kata Bernard Chong, Pengarah Pemasaran, Foodpanda Malaysia.

Selain kempen CSR Ramadan bersama Foodpanda ini, Coca-Cola Malaysia turut menyertai Absolut Bazaar X Festival Gaya Raya 2023 (ABXGR 23) sebagai Rakan Minuman Eksklusif. 

Acara itu, yang dianjurkan oleh My Events International dan Absolut Event & Management, akan diadakan di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) dari 14 hingga 17 April 2023. 

Sebagai penaja utama, Coca-Cola memainkan peranannya dalam usaha menyokong perniagaan tempatan serta rakyat Malaysia untuk membuat persiapan hari raya. 

Festival ini bakal menyaksikan lebih 500 usahawan dan pemilik perniagaan kecil tempatan menawarkan pelbagai promosi untuk sambutan Aidilfitri yang akan berkunjung tiba.

Semua aktiviti ini selari dengan falsafah jenama ‘Real Magic’ Coca-Cola yang meyakini bahawa wujud keajaiban di mana sahaja. 

Ia wujud dalam setiap detik tidak kira kecil atau besar. Ia wujud dalam detik yang dikongsi bersama dengan orang yang tersayang serta masyarakat kita, tidak kira sama ada hubungan ini terjalin secara fizikal atau maya. 

“Kami menganggap bahawa diri kami amat bertuah kerana diberi peluang untuk menjadi sebahagian daripada setiap hidangan yang disajikan di atas meja dan menyaksikan keajaiban sebenar dalam mengeratkan hubungan sesama manusia, terutama semasa bulan Ramadan ini yang merupakan musim perayaan terbesar di Malaysia di mana keluarga dapat berkumpul bersama-sama,” tambah Rina. - KitaReporters/Kenyataan Media


7
8
0
17
0

Copy Link: