Bukan semuanya scammer! Hati-hati terhadap tawaran pakej umrah terlalu murah! - Ustaz Hanafiah Malek
Published byPendakwah terkenal, Ustaz Mohamed Hanafiah Abdul Malek, mengingatkan umat Islam yang ingin menunaikan ibadah umrah di Tanah Suci supaya berhati-hati terhadap tawaran pakej yang terlalu murah.
Beliau menasihatkan bakal jemaah untuk meneliti latar belakang syarikat pengendali umrah serta memastikan mereka berpengalaman luas dalam menguruskan jemaah.
Mohamed Hanafiah turut mengingatkan agar umat Islam berdoa supaya dihindarkan daripada masalah seperti terkandas.
Menurut Mohamed Hanafiah, yang juga Duta UGO Travel and Tours Sdn Bhd (UGO Travel), kejadian jemaah terkandas bukan semuanya berpunca daripada penipuan (scam) oleh syarikat pengendali umrah.
“Orang terkandas bukan semata-mata kerana scammer, tetapi mungkin juga kerana Allah SWT tidak memilih mereka untuk menunaikan ibadah,” katanya.
Beliau turut menasihati orang ramai agar tidak terlalu cepat menghakimi sesuatu kejadian apabila mendengar berita jemaah terkandas atau gagal diterbangkan.
Beliau menjelaskan, permintaan tinggi untuk menunaikan umrah di Arab Saudi, terutama menjelang bulan Ramadan, menyebabkan kos tempat penginapan menjadi mahal dan menimbulkan cabaran besar kepada syarikat pengendali.
Oleh itu, beliau berpendapat bahawa pakej umrah yang terlalu murah adalah sesuatu yang mustahil.
Mohamed Hanafiah berkata demikian ketika ditemui selepas program temu bual UGO Travel dengan TV AlHijrah di Kuala Lumpur pada 16 Januari 2025.
Turut hadir, Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan UGO Travel, Mohamad Minhat, dan Ketua Strategik Korporatnya, Hasmadi Mohamad.
Mohamad Minhat (tengah) dan Mohamed Hanafiah Abdul Malek ketika program temu bual UGO Travel dengan TV Al-Hijrah di Kuala Lumpur.
Sementara itu, Hasmadi menjelaskan bahawa pengendali umrah sering menghadapi masalah mendapatkan tempat penginapan apabila gagal membuat pembayaran penuh.
Situasi ini menyebabkan tempahan penginapan diberikan kepada pihak lain.
“Berdasarkan pengalaman UGO Travel, proses mendapatkan visa umrah tidak sukar kerana pendaftaran dilakukan secara dalam talian, begitu juga dengan pembelian tiket penerbangan,” katanya.
Dalam temu bual terdahulu, Mohamad berkongsi pengalamannya pernah menguruskan pemergian 15 ahli keluarganya, termasuk ibu bapa dan sanak saudara, untuk menunaikan umrah.
“Ketika itu, ahli keluarga saya tidak dapat diterbangkan kerana tiada tiket. Semua adik-beradik saya, termasuk ibu dan ayah saya, seramai 15 orang. Ini adalah kali pertama ibu saya menunaikan umrah.
“Saya menjadi harapan mereka untuk menyelesaikan masalah ini kerana saya bekerja dengan syarikat penerbangan. Orang kata berdosa jika gagal membantu ibu dan ayah.
"Akhirnya, selepas dua hari, tiket berjaya diperoleh, dan saya dapat menerbangkan mereka dalam masa yang singkat,” katanya.
Menurut Mohamad yang berpengalaman lebih 25 tahun dalam industri penerbangan dan pernah menguruskan jemaah haji di Arab Saudi, semasa di Mekah, beliau mendapat bantuan rakan-rakan untuk menyediakan pengangkutan dan penginapan walaupun semuanya dilakukan pada saat akhir.
Mohamad menyifatkan menyambut kepulangan ahli keluarganya sebagai kenangan paling manis, apabila beliau dipeluk mereka dengan rasa gembira kerana dapat menunaikan ibadah tersebut.
Beliau menambah, pengalaman tersebut menjadi pendorong untuk terus membantu sesiapa sahaja yang ingin menunaikan ibadah umrah, walaupun dalam situasi mencabar, melalui UGO Travel. - KitaReporters/Kenyataan Media