Bantu rakyat untuk tidak terus menerus berhutang! Hentikan perkenal pelbagai jenis kad kredit! - MAPIM

Published by
KitaReporters


Kami menggesa kesemua pihak yang terlibat dalam sistem kewangan untuk lebih membantu rakyat dalam menyelesaikan kemelut kewangan dan bukannya sebaliknya.

Baru-baru ini, media melaporkan Bank Islam memperkenal Kad Kredit-i Mastercard World Premier Wealth, khusus untuk pelanggan mewah menerusi jemputan eksklusif, menawarkan gabungan keistimewaan dan manfaat kompetitif.

Bukan itu sahaja, malah terdapat satu lagi laporan media mengenai Bank Rakyat melancarkan kad kredit patuh syariah untuk orang-orang muda.

Tindakan sebegini adalah amat tidak wajar memandangkan sudah terlalu ramai individu yang telah pun terbeban dengan hutang sedia ada.

Ramai rakyat negara ini telah pun dan sedang merana akibat daripada bebanan hutang yang tinggi ekoran daripada pelbagai pinjaman kewangan yang ditawarkan sama ada daripada bank konvensional mahupun Islamik.

Jika perkara sebegini dibiarkan maka ia berpotensi menyebabkan berlakunya krisis kewangan yang amat berbahaya dan majoriti rakyat biasa juga perlu membayar harga yang tidak sewajarnya.



MAPIM tidak menafikan bahawa masih terdapat sesetengah individu yang dapat membayar kad kredit tepat pada masanya dalam apa pun keadaan tetapi ini tidak bermakna bahawa amalan hutang perlu terus digalakkan dalam negara ini.

Perlunya orang ramai mengetahui bahawa hutang menjadi senjata utama yang digunakan oleh rejim Zionis dengan jayanya dalam menjatuhkan kerajaan Uthmaniyyah secara halus dan pada masa sama merampas tanah Palestin daripada empayar Islam tersebut.

Bahkan, majoriti rakyat Malaysia yang bersama-sama perjuangan rakyat Palestin juga terpaksa menghadapi penjajahan berbentuk hutang tanpa henti. 

Oleh sebab itu, kami menggesa kerajaan Malaysia Madani ini untuk tidak membiarkan penderitaan rakyat negara ini tidak terus-menerus dijadikan peluang untuk membuat keuntungan.

Sebaliknya kerajaan ini perlu berusaha membuat reformasi kewangan ke arah sistem yang lebih adil.


Mohd Azmi Abdul Hamid

Presiden Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia (MAPIM)


10
14
0
16
0

Copy Link: