KDNK diunjur berkembang antara 4.5% - 5.0% bagi 2025! Selaras kerangka ekonomi Madani! - SME Bank
Published bySmall Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) menjangkakan pertumbuhan ekonomi Malaysia untuk berada dalam lingkungan 4.5% hingga 5.0%, menzahirkan sentimen positif ekonomi secara keseluruhan, selaras dengan kerangka Ekonomi Madani.
Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Malaysia tahun-ke tahun telah meningkat kepada 5.1% pada 2024, sejajar dengan unjuran kami iaitu antara 4.3% hingga 5.3%.
"Pertumbuhan ini didorong oleh perbelanjaan isi rumah yang kukuh dan disokong oleh keadaan pasaran buruh yang stabil, pelaburan yang teguh serta pemulihan perdagangan luar.
"Berdasarkan momentum positif ini, kami menjangkakan KDNK Malaysia bagi 2025 akan mencatatkan pertumbuhan antara 4.5% hingga 5.0%.
“Mendukung komitmen kami ke arah memperkasa seluruh ekosistem Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS), kami terus menyediakan sokongan pembiayaan dan melangkaui pembiayaan bertujuan untuk memperkasa dan merangka pembangunan PKS.
"Kami juga berbangga kerana terus diberi kepercayaan daripada kerajaan dengan program baharu dan sedia ada seperti mana yang dimandatkan dalam Budget Nasional 2025 merentasi sektor strategik utama seperti Bumiputera; Teknologi; Alam Sekitar, Sosial dan Tadbir Urus (ESG); Halal; dan Pelancongan yang merupakan sebahagian daripada pemangkin untuk menyokong pemangkin serantau seterusnya menyumbang kepada peningkatan ekonomi secara menyeluruh,” kata Dr. Mohammad Hardee.
Lynette Lee Li Qing, Ketua Pakar Ekonomi SME Bank pula mengulas, “Kami menjangkakan pertumbuhan KDNK pada tahun 2025 akan terus didorong oleh perkembangan dalam sektor perkhidmatan, yang kekal sebagai pemangkin pertumbuhan ekonomi dengan sokongan yang berterusan daripada kedua-dua subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
“Melangkah ke hadapan, kami kekal optimistik dengan unjuran perkembangan prestasi keseluruhan Malaysia pada tahun 2025 yang berlandaskan daripada faktor luaran seperti pertumbuhan KDNK yang kurang pesat dalam kalangan rakan perdagangan utama, potensi tempoh perang perdagangan Amerika Syarikat-China yang berlanjutan dan peningkatan dasar perlindungan global, ketidakstabilan konflik geopolitik serta pengeluaran dan harga komoditi yang lebih rendah daripada anggaran asal,” tambahan Lynette.
Sorotan Utama:
• Perkembangan sektor perkhidmatan – didorong oleh sokongan daripada subsektor berkaitan pengguna dan perniagaan.
• Perbelanjaan isi rumah yang kukuh dalam keadaan pasaran buruh yang positif dan sokongan dasar.
• Di bawah Bajet 2025, pemberian tunai yang lebih tinggi kepada isi rumah berpendapatan rendah, semakan kenaikan gaji penjawat awam serta kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 dari RM1,500, dijangka dapat meningkatkan perbelanjaan pengguna.
• Peranan Malaysia sebagai Kepengerusian ASEAN 2025 meningkatkan segmen pelancongan, menjelang tahun Melawat Malaysia 2026.
• Sektor pembinaan dijangka mencatat pertumbuhan tertinggi pada tahun 2025, dengan meneruskan momentum kukuhnya sejak tahun 2023, dengan pertumbuhan dua angka pada tahun 2024.
• Sektor pembuatan turut berkembang, disokong oleh pelaksanaan dasar utama seperti Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030, Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara, serta Strategi Semikonduktor Nasional.
Unjuran pertumbuhan SME Bank bagi 2025 adalah selaras dengan unjuran terkini oleh tinjauan ekonomi Bank Dunia pada Januari 2025, yang menjangkakan pertumbuhan stabil pada 2.7% bagi tahun 2025 dan 2026.
Sasaran ini adalah disokong oleh inflasi yang semakin stabil, harga komoditi yang lebih rendah, serta penurunan harga komoditi yang lebih rendah dan pelonggaran monetari merentasi ekonomi maju serta pasaran yang pesat membangun.
Ekonomi utama ASEAN seperti Indonesia, Filipina, dan Vietnam dijangka akan mendapat manfaat daripada permintaan domestik yang kukuh, pelaburan infrastruktur dan perdagangan yang berkembang pesat. - KitaReporters/Kenyataan Media