Lukisan kanvas Harimau Malaya terbesar di Malaysia! Satu kempen konservasi! Sultan Perak rasmikan!
Published byKredit foto: Bernama
Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah pada 27 Ogos 2024 berkenan merasmikan lukisan kanvas Harimau Malaya terbesar di Malaysia menerusi inisiatif program Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR) yang dilaksanakan oleh anak syarikat Amanah Raya Berhad (AmanahRaya) iaitu AmanahRaya-Kenedix REIT Manager Sdn. Bhd.
Hadir sama adalah Pengerusi AmanahRaya, Tan Sri Idrus Harun; Pengarah Urusan Kumpulan AmanahRaya, Ahmad Feizal Sulaiman Khan; dan Pengarah Urusan AmanahRaya-Kenedix, Tunku Rozita Tunku Abdul Malek; dan barisan Ahli Lembaga Pengarah, Kumpulan AmanahRaya.
Idrus dalam sembah ucapannya berkata, AmanahRaya-Kenedix telah mengambil inisiatif untuk mengadakan kempen ‘Konservasi Harimau Malaya’ yang bertujuan untuk mempertingkat kesedaran masyarakat mengenai kepentingan memulihara Harimau Malaya atau Panthera Tigris Jacksoni dengan kerjasama Persatuan Pelindung Harimau Malaya (Rimau) di Vista Tower, The Intermark, Kuala Lumpur.
Tambah beliau, menurut Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan), populasi Harimau Malaya liar di Malaysia telah menurun daripada lebih kurang 1,000 ekor pada tahun 1970-an kepada kurang daripada 150 ekor sehingga kini kerana pelbagai ancaman seperti pemburuan haram.
Inisiatif ini juga diwujudkan selaras dengan keperluan amalan persekitaran, sosial dan tadbir urus (ESG) yang perlu dipraktikkan oleh setiap syarikat korporat dan warga kerja Kumpulan AmanahRaya.
Kredit foto: Bernama
Tunku Rozita dalam sembah ucapannya ketika memberi penerangan mengenai kanvas lukisan Harimah Malaya pula berkata, lukisan gergasi yang terhasil melalui gabungan 16 kanvas dengan kelebaran keseluruhan 23 meter persegi ini merupakan sebahagian daripada usaha proaktif AmanahRaya-Kenedix dan Rimau untuk membantu dalam konservasi Harimau Malaya yang menjadi satu indikator penting bagi biodiversiti dan kemandirian spesies ini di hutan negara kita.
Bermula 27 Ogos 2024 turut diadakan pameran hasil karya seni berkaitan Harimau Malaya yang akan dijual kepada orang ramai dan sebahagian daripada hasil penjualan karya seni akan disalurkan ke dalam Tabung Kempen Selamatkan Harimau Malaya anjuran Rimau, ujar beliau lagi.
Kanvas Lukisan Harimau Malaya yang dihasilkan oleh pelukis mural terkenal Malaysia, Lina Ali, disiapkan dengan bantuan Pengurusan dan Warga Kerja Kumpulan AmanahRaya menerusi program CSR mewarna-Harimau Malaya yang telah diadakan pada 30 Mei dan 31 Mei 2024. - KitaReporters/Kenyataan Media
Dari kiri: Tunku Rozita Tunku Abdul Malek, Idrus Harun, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah (tengah), Ahmad Feizal Sulaiman Khan, dan Datuk Mohd Radzif Mohd Yunus, Pengarah Bebas Bukan Eksekutif Amanah Raya Berhad.