38k unit kediaman, nilai RM13b dibina! Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani! - PM
Published byHampir 38,000 unit kediaman, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion bakal dibina di Pulau Pinang, kata Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.
Beliau berkata, projek yang akan dibina di Batu Kawan dan Seberang Jaya itu akan turut dilengkapi dengan kemudahan dan infra seperti kolam renang, gimnasium, dewan serbaguna dan taman permainan.
Ketika berucap pada Majlis Menandatangani Perjanjian Pembangunan Bersama Rumah Mampu Milik Bakat Baru Madani, Perdana Menteri menekankan kepentingan memenuhi aspek manusiawi dan keperluan asas rakyat dalam mana-mana projek perumahan khususnya rumah mampu milik.
"Marcapada menuntut pembangunan perumahan mampu milik berkualiti tinggi dari segi kemudahan dan keselesaan kepada rakyat sesuai dengan arus pembangunan dan pertumbuhan ekonomi.
"Apa guna kita bergebang soal mencapai kemajuan pembangunan tetapi lupa kepada keperluan asas perumahan yang perlu diberi perhatian sewajarnya untuk dimanfaatkan masyarakat secara keseluruhan," tegasnya.
Untuk perjanjian pembangunan pada Selasa 10 Disember 2024 itu, ia membabitkan pembinaan hampir 38,000 unit kediaman, dengan nilai pembangunan kasar (GDV) RM13 bilion di Batu Kawan dan Seberang Jaya, Pulau Pinang.
"Moga projek perumahan pembangunan yang mensasarkan golongan B40 dan M40 ini dapat membantu mereka yang memerlukan dalam meneruskan kelangsungan hidup dan mengubah taraf hidup ke arah yang lebih baik, Insya-Allah," ucap Perdana Menteri. - KitaReporters/Kenyataan Media