Kompleks ladang ternakan ayam pedaging, di Tanjung Seratus, Rompin, Pahang dibina dengan menggunakan sistem tertutup ini boleh memuatkan hingga 30,000 ekor dalam satu reban.


Ramai yang beranggapan bekalan makanan negara makin menyusut, apabila rakyat pernah berdepan dengan masalah mendapatkan bekalan makanam terutama ayam, telur ayam, minyak, beras dan banyak lagi.

Namun, dalam usaha memastikan bekalan makanan terus mencukupi, kini FELCRA Berhad (FELCRA) tampil memainkan peranannya dengan menyumbang kepada ketahanan makanan negara melalui penternakan ayam pedaging.

Dengan cara ini, ia dikatakan selaras dengan hasrat kerajaan untuk mengurangkan kebergantungan kepada peng’import’an bahan makanan khususnya dari negara jiran.

Pengerusi FELCRA, Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub berkata, FELCRA mahu bertindak memainkan peranan penting dalam meningkatkan pengeluaran bahan mentah tempatan bukan sahaja lebih konsisten malahan ke tahap lebih optimum.

Menurutnya, dengan cara pembinaan ‘kompleks ternakan ayam pedaging’, ia sekali gus memberi bukti nyata, keyakinan dan sokongan padu terhadap usaha tersebut.


Ahmad Zahid Hamidi (tengah) sempat melawat kompleks ladang ternakan ayam pedaging sebelum merasmikannya. 


“Kompleks tersebut telah dibina di atas tanah berkeluasan 50 ekar milik FELCRA Berhad dan telah beroperasi sepenuhnya pada Februari 2025 dengan menempatkan 10 buah reban ternakan ayam yang mampu memuatkan 30,000 ekor ayam pada satu reban. 

“Sistem ternakan ayam secara tertutup ini menggabungkan teknologi moden dan amalan penternakan baik yang membolehkan ayam mencapai berat ideal dalam tempoh di antara 28 hingga 30 hari. Lebih cepat berbanding sistem terbuka. 

“Ini bermakna dalam tempoh setahun, kompleks ladang ini mampu beroperasi sebanyak lima kali pusingan dengan jumlah keseluruhan pengeluaran ayam sehingga 1.5 juta ekor setahun,” katanya pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, Pahang.

Kompleks ladang ayam pedaging itu telah dirasmikan oleh Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Zahid Hamidi.

Ayam merupakan haiwan manja dan memerlukan penjagaan rapi serta perhatian khusus kerana ternakan tersebut sensitif,  sekali gus mudah terdedah kepada pelbagai penyakit. 

Bukan itu sahaja, perubahan cuaca, keadaan kebersihan reban dan stres akibat pengendalian yang tidak betul boleh menyebabkan ayam jatuh sakit atau mati.

Penjagaan rapi diperlukan untuk memastikan keadaan persekitaran optimum bagi ayam termasuk memastikan makanan berkualiti, air bersih dengan keadaan yang selesa. Ayam pun nak duduk dalam keadaan selesa ya…


Ahmad jazlan Yaakub (empat dari kiri) bersama Ahmad Zahid (empat dari kanan) pada Majlis Perasmian Kompleks Ladang Ayam Pedaging (Sistem Tertutup) di Tanjung Seratus, Kuala Rompin pada 26 Februari 2025.


Sementara itu, Ahmad Jazlan berkata, kompleks ladang ternakan ayam ini juga dilengkapi dengan sistem kawalan suhu yang boleh dilaraskan bagi mewujudkan persekitaran selesa bersesuaian dengan pelbagai peringkat pertumbuhan ayam bagi memelihara perkembangan dan kesihatan ayam. 

Katanya lagi, pasukan kerja ayam di sini akan berusaha untuk mewujudkan reban ternakan ayam yang lebih selesa bagi mengelakkan ayam berada dalam keadaan stres, yang menyebabkan imun badannya menjadi lemah, seterusnya mudah dijangkiti penyakit.

Susah juga nak pelihara ayam ni! Ayam pun ada stress…

Kejayaan pembangunan  ini juga adalah manifestasi komitmen FELCRA. Jadinya, dengan ada kompleks ladang ternakan ini masyarakat setempat juga mendapat tempias yang positif apabila lebih banyak peluang pekerjaan, secara tidak langsung mampu meningkatkan pendapatan isi rumah.

Lepas ini tidak ada masalah lagi untuk kita menikmati hidangan berasaskan ayam memandangkan ayam sudah semakin banyak! Syabas FELCRA Berhad! - KitaReporters


14
11
0
7
0

Copy Link: