Dewan Perdagangan Islam Malaysia (DPIM) telah mengadakan perbincangan strategik bersama Dato’ Seri Anwar Ibrahim, Perdana Menteri di Parlimen pada 8 Januari 2025.

Pertemuan tersebut membincangkan tiga agenda utama DPIM dalam usaha memperkukuh pembangunan ekonomi Bumiputera, iaitu Wakaf Korporat, Ekonomi Digital Islam, dan Industri Halal ASEAN.

Terdahulu, Perdana Menteri dalam kenyataannya, berkata beliau sempat membincangkan beberapa cadangan terkait inisiatif pembangunan ekonomi mencakupi konsep wakaf dan penggunaan kecerdasan buatan (AI). 

"Saya hargai cadangan dikemukakan oleh DPIM yang selari dengan hasrat Kerajaan supaya Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) mendapat suntikan idea-idea bernas dan sokongan pelaksanaan daripada pemain industri seperti dewan-dewan perniagaan dan perdagangan," kata Anwar.

DPIM yang ditubuhkan pada 1993 bermatlamat untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan peniaga dan pengusaha Muslim demi kepentingan serta faedah ekonomi Islam.



Sementara itu, Wakaf Korporat adalah satu pendekatan strategik yang bertujuan memperkukuh kedudukan ekonomi melalui instrumen saham wakaf yang berdaya tahan dan lestari. 

Menurut Dato' Mohammad Sahar Mat Din, Presiden DPIM, inisiatif wakaf ini menggabungkan pelaburan strategik di dalam syarikat berprestasi tinggi, penggabungan secara jemaah syarikat-syarikat sederhana ke dalam satu entiti yang kukuh bagi penyenaraian IPO di Bursa Malaysia, serta pembiayaan mikro wakaf dan geran padanan bagi menyokong perusahaan kecil dan sederhana (PKS). 

Pendekatan ini turut sejajar dengan Kerangka Ekonomi Madani dan Pelan Transformasi Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35), dengan matlamat meningkatkan pemilikan ekuiti wakaf dalam sektor strategik dan ekonomi berprestasi tinggi.

“Cadangan Wakaf Korporat Madani kepada Perdana Menteri mampu menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi Malaysia dengan pendekatan pelaburan strategik dan sistem sokongan bersepadu kepada usahawan. 

"Ia bukan sahaja berfungsi untuk memperkukuh daya saing ekonomi komuniti usahawan, tetapi juga memastikan pertumbuhan inklusif dan kesamarataan ekonomi jangka panjang,” jelas beliau. 

Dengan perancangan lima tahun yang digariskan, inisiatif ini dijangka memberikan impak besar, termasuk meningkatkan kehadiran pemilikan saham dan jumlah syarikat terutama Bumiputera di Bursa Malaysia, dan membangunkan syarikat wakaf yang berdaya saing di peringkat global.

Sebagai sebahagian daripada agenda Ekonomi Digital Islam, DPIM turut mengetengahkan Agenda Usahawan AI untuk memastikan usahawan Bumiputera tidak ketinggalan dalam arus perkembangan teknologi. 

Berdasarkan kajian DPIM, penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI) dalam kalangan usahawan di Malaysia masih berada pada tahap 25%, jauh ketinggalan berbanding negara maju yang telah mencapai kadar penggunaan antara 50% hingga 60%.

Agenda Ekonomi Digital Islam ini bertujuan untuk membantu usahawan memanfaatkan teknologi terkini seperti AI bagi meningkatkan daya saing, produktiviti, dan inovasi dalam perniagaan mereka. 

Langkah ini penting untuk memastikan usahawan tempatan dapat bersaing di peringkat global dengan lebih yakin.

DPIM memaklumkan bahawa pada Disember 2024, satu dialog khas telah dianjurkan dengan penyertaan negara-negara ASEAN serta negara-negara dengan populasi minoriti Islam seperti China, India, Mongolia, dan Australia. 

Dialog ini turut melibatkan penyertaan aktif pelbagai dewan perniagaan dan industri serantau yang menjadi platform membincangkan peluang kerjasama dan pengukuhan sektor halal di rantau ASEAN.

Melalui inisiatif ini, DPIM berharap Malaysia dapat terus memainkan peranan utama dalam sektor halal di peringkat ASEAN, selain mengukuhkan kedudukannya sebagai hab halal global.

"Perdana Menteri telah memberikan sokongan penuh kepada ketiga-tiga agenda yang dibentangkan. 

"Beliau turut mencadangkan beberapa agensi kerajaan dan kementerian untuk bekerjasama dengan DPIM dalam memastikan kejayaan pelaksanaan WaKaf Korporat, Ekonomi Digital Islam, dan Industri Halal ASEAN ini," kata Mohammad Sahar.



DPIM percaya bahawa dengan kerjasama semua pihak, termasuk kerajaan dan sektor swasta, ketiga-tiga agenda ini akan membawa manfaat besar kepada ekonomi Bumiputera dan negara secara keseluruhan. 

Sehubungan itu, DPIM menyeru semua pihak, khususnya usahawan Bumiputera, untuk bersama-sama merealisasikan visi ini demi masa depan ekonomi Islam yang lebih progresif. - KitaReporters/Kenyataan Media

14
11
0
14
0

Copy Link: