Koperasi Kakitangan Petronas Berhad (Kopetro) melakar kejayaan baharu apabila menerima status Superbrands, sekali gus menjadi koperasi pertama di Malaysia yang menerima pengiktirafan tersebut. 

Kopetro kini sebaris dengan syarikat-syarikat ternama di mana anugerah berkenaan mengukuhkan lagi kedudukan jenama Kopetro dalam perniagaan dan industri yang diceburi. 

Kopetro menerima anugerah tersebut pada majlis Superbrands Award Appreciation Dinner 2023, yang diadakan di Element Hotel Kuala Lumpur pada 17 November 2023.

Menghadiri majlis makan malam untuk menerima anugerah tersebut bagi pihak Kopetro adalah Jawatankuasa Eksekutif Anggota Lembaga Koperasi yang diketuai Pengerusi Kopetro, Roslan Abdul Rahim, disertai Timbalan Pengerusi Kopetro, Wan Ahmad Tarmizi Wan Abd Rahman; Setiausaha Kopetro, Zamri Ismail; Bendahari Kopetro, Adam Keling; selain Ketua Pegawai Eksekutif Kopetro, Ahmad Shakir Ahmad Ubaidah.



Pengiktirafan ini diberikan kepada mereka yang layak sebagai salah satu bentuk penghormatan yang berprestij bagi syarikat dan organisasi dalam aspek kepimpinan, pertumbuhan perniagaan, dan kelestarian. 

Kejayaan ini telah membuka lembaran baharu dalam sejarah koperasi di Malaysia, memberikan inspirasi kepada sektor koperasi negara. 

Roslan menyifatkan pengiktirafan yang diterima sebagai hadiah manis sempena ulang tahun penubuhan koperasi tersebut yang ke-43 pada tanggal 30 Oktober 2023 yang lalu. 

Beliau mendedikasikan anugerah ini kepada warga kerja Kopetro dan berharap ianya memberi motivasi ampuh kepada mereka untuk terus komited dan bekerja keras dalam mendepani cabaran semasa dan akan datang.

“Pengiktirafan yang berprestij ini adalah bukti komitmen warga kerja Kopetro yang tidak berbelah bagi. 

"Saya berharap pencapaian ini akan menyuntik semangat mereka dan menjadi pemangkin terhadap objektif kami untuk terus mengembangkan kedudukan dan jenama Kopetro, dan dalam masa sama terus berusaha untuk menyediakan perkhidmatan terbaik kepada semua anggota koperasi dan pelanggan setia yang telah bersama Kopetro sejak penubuhannya," jelas Roslan.

Tambahnya, status Superbrands ini telah mendorong jenama Kopetro ke puncak kejayaan dengan membina kepercayaan, kesetiaan, dan rasa komuniti di kalangan anggota koperasi.



Dalam pada itu, Ahmad Shakir menzahirkan penghargaan kepada Ahli Lembaga Koperasi, tenaga kerja dan anggota Kopetro yang telah menyokong setiap usaha yang dijalankan oleh Kopetro. 

Jelasnya, prestasi kewangan Kopetro yang baik pada tahun 2022, apabila merekodkan jumlah pendapatan sebanyak RM291 juta, peningkatan 54 peratus berbanding 2021, juga menjadi salah satu faktor koperasi tersebut dijemput untuk menerima status Superbrands ini.

“Komitmen bersama yang kukuh oleh semua pihak yang terlibat mereka telah membawa kami ke tahap ini. Kami sangat berbangga kerana telah dipilih untuk menerima pengiktirafan Superbrands yang penuh prestij ini. 

"Kopetro akan terus mengekalkan fokus dan berusaha untuk memperkuat jenama kami dalam industri perniagaan dengan menawarkan produk dan perkhidmatan yang inovatif serta memastikan pengalaman pelanggan yang lancar,” ujar Ahmad Shakir.



Superbrands merupakan sebuah organisasi media global yang memberi penghormatan kepada jenama-jenama yang kukuh dan bernilai di 90 negara di seluruh dunia. 

Organisasi ini bertujuan untuk meningkatkan kesedaran dan mempromosikan disiplin jenama serta merayakan kejayaan jenama-jenama antarabangsa dan tempatan yang luar biasa. 

Penyertaan dalam Superbrands hanya melalui jemputan, dan ditawarkan kepada jenama-jenama yang paling unggul dalam bidang mereka.

Ditubuhkan lebih 40 tahun yang lalu, Kopetro dianggotai lebih 15,000 kakitangan Petronas dan anak-anak syarikatnya, diiktiraf sebagai 10 Koperasi Terbaik di seluruh Malaysia. - KitaReporters/Kenyataan Media

10
12
0
12
0

Copy Link: