Kerja-kerja pembersihan di Sekolah Kebangsaan Teluk Jering, Kota Bharu, Kelantan.


Small Medium Enterprise Development Bank Malaysia Berhad (SME Bank) meneruskan usaha membantu mangsa banjir melalui misi bantuan banjir kali kedua. 

Ini adalah susulan daripada pengumuman SME Bank sebelum ini yang memberi ruang kepada pelanggan-pelanggannya untuk mencari pendekatan terbaik dalam menangani cabaran ekoran daripada kesan banjir yang melanda negara baru-baru ini. 

SME Bank mengukuhkan komitmennya dalam meringankan beban hidup masyarakat yang memerlukan dengan membantu individu dan keluarga yang terjejas akibat banjir sebagai sebahagian daripada inisiatif Tanggungjawab Sosial Korporat (CSR). 

Usaha ini selaras dengan agenda ESG SME Bank yang bertujuan untuk memberi kesan positif jangka panjang kepada masyarakat. 

Di bawah inisiatif ini, SME Bank telah menyumbangkan bakul makanan, barangan keperluan asas, serta bantuan kewangan kepada mangsa banjir di Kedah dan Kelantan. 


Dr Mohammad Hardee Ibrahim (kiri) dan Muslim Hussain (dua dari kiri) melakukan penyerahan sumbangan di Kedah.


Datuk Dr. Mohammad Hardee Ibrahim, Pemangku Presiden Kumpulan/Ketua Pegawai Eksekutif SME Bank berkata, “Sebagai salah satu institusi kewangan pembangunan (DFI) utama negara yang diamanahkan untuk memberi manfaat kepada masyarakat, kami memahami cabaran yang dihadapi oleh mangsa yang dilanda banjir baru-baru ini. 

"Oleh itu, kami menyahut seruan Kerajaan untuk semua agensi memainkan peranan langsung dalam membantu rakyat menghadapi situasi sukar ini. 

"Dengan tindakan pantas dan cekap, kami terus memberi bantuan yang diperlukan melangkaui pembiayaan melalui pelaksanaan inisiatif CSR bantuan banjir di Kedah dan Kelantan yang telah memanfaatkan lebih 4,500 penerima bantuan di dua negeri yang terjejas teruk akibat banjir ini," katanya.

“Kami berbesar hati dapat bekerjasama dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) di bawah Kerajaan Negeri Kedah, di mana kami telah menyumbangkan bakul makanan dan barangan keperluan asas kepada 400 keluarga di daerah Kubang Pasu, Kedah yang melibatkan lebih 3,500 penerima.

"Sementara itu, di Kelantan, kami menyokong usaha pemulihan pascabanjir dengan menghulurkan sumbangan kewangan kepada dua sekolah rendah, iaitu Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong, yang memberi manfaat kepada 1,000 pelajar,” tambah beliau. 


Mohammad Azam Ahmad (kiri), Zabidi Abdullah (dua dari kiri) dan Zarina Nor Ismail (tengah) penyerahan sumbangan di dua sekolah di Kelantan.


“Selain itu, kakitangan kami turut terlibat secara langsung dalam penyediaan dan pengagihan bakul makanan di Kedah, manakala kakitangan di Kelantan juga turut membantu dalam proses pembersihan dan pemulihan dua sekolah yang terjejas,” jelas Dr. Mohammad Hardee. 

Majlis penyerahan sumbangan telah diadakan baru-baru ini di kedua-dua negeri tersebut. 

Di Kedah, majlis dihadiri Dato’ Muslim Hussain, Pengerusi SME Bank dan Dr. Mohammad Hardee, bersama Muhammad Mahazi Ibrahim, Pegawai Daerah Pusat Kawalan Operasi Bencana (PKOB), Kubang Pasu yang juga merupakan badan pelaksana JKM Kedah. 

Sementara itu, di Kelantan, SME Bank diwakili Zabidi Abdullah, Ketua Pegawai Perniagaan; Zarina Nor Ismail, Ketua Pegawai Operasi dan Mohammad Azam Ahmad, Ketua Pegawai Risiko Kumpulan bersama Zamri Muhammad, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Teluk Jering dan Roslan Mohamed, Guru Besar Sekolah Kebangsaan Bendang Pa’Yong. 



Sejak tahun 2022, SME Bank telah melaksanakan hampir 20 inisiatif CSR dengan jumlah melebihi RM3 juta yang mengutamakan pemerkasaan ekonomi, pembangunan komuniti, dan pemeliharaan alam sekitar, termasuk Bantuan Pascabanjir untuk pelajar di Penampang, Sabah dan juga program ‘Satu Pemimpin Satu Kampung’ (Santuni Madani).

Di samping itu, SME Bank juga menyokong perusahaan mikro, kecil dan sederhana (PMKS) melalui kemudahan Dana Bantuan Bencana (DRF) Bank Negara Malaysia. 

Kemudahan ini menawarkan pembiayaan sehingga RM700,000 untuk PKS dan RM150,000 untuk perusahaan mikro dengan kadar faedah kompetitif 3.5% setahun dan tempoh pembayaran balik sehingga tujuh tahun. - KitaReportersKenyataan Media


8
8
0
12
0

Copy Link: