Diskaun tol 50% langkah progresif! Tetapi perlu pelan jangka panjang! Elak kesan kepada fiskal negara!
Published by
KitaReporters
--title--
Alumni program Young Southeast Asian Leaders Initiative (YSEALI) dan graduan kelas pertama Ijazah Kewangan dari Universiti Utara Malaysia (UUM), Muhammad Saniy Samsudin, menyifatkan pemberian diskaun 50 peratus kadar tol sebagai langkah progresif dalam membantu meringankan beban rakyat.
Beliau berpandangan bahawa inisiatif ini adalah salah satu bentuk sokongan langsung kepada rakyat dalam mendepani cabaran kos sara hidup, terutama bagi golongan yang bergantung kepada penggunaan lebuh raya untuk aktiviti harian mereka.
"Langkah ini menunjukkan keprihatinan kerajaan terhadap tekanan ekonomi yang dirasai rakyat. Namun, sebagai seorang graduan kewangan, saya melihat perlunya perancangan jangka panjang yang lebih kukuh bagi memastikan dasar ini tidak memberi kesan negatif kepada kedudukan fiskal negara," katanya ketika dihubungi.
Menurut beliau, diskaun tol seperti ini perlu disokong dengan langkah pengurusan yang teliti bagi mengimbangi hasil pendapatan negara dengan perbelanjaan yang bertambah akibat pengurangan kutipan tol.
"Kita perlu memastikan dasar ini tidak menjejaskan aliran pendapatan yang diperlukan untuk membangunkan infrastruktur lain. Di samping itu, syarikat konsesi tol juga harus diberi insentif tertentu bagi menampung kerugian mereka tanpa membebankan kerajaan," tambahnya.
Muhammad Saniy turut mengingatkan bahawa langkah seperti ini berpotensi menjadi contoh kepada dasar-dasar lain yang memanfaatkan rakyat, namun harus disertai dengan pengukuhan sistem kewangan negara.
"Sebagai contoh, kerajaan boleh mempertimbang sumber alternatif seperti kutipan cukai baharu atau penstrukturan semula kewangan sektor konsesi tol untuk mengelakkan defisit fiskal yang tinggi. Ini penting agar manfaat kepada rakyat dapat dikekalkan tanpa menjejaskan pembangunan ekonomi," jelasnya.
Beliau turut menyeru agar rakyat menghargai inisiatif ini dengan menggunakan kemudahan tol secara bijak dan terus menyokong usaha kerajaan dalam menyeimbangkan kesejahteraan rakyat dan kemampanan ekonomi negara. - KitaReporters
12
11
0
13
0