Siapa berniaga tidak mahu untung. Peniaga mana yang boleh bertahan kalau asyik ditindas malah disalahkan pula apabila enggan mematuhi syarat dan undang-undang ditetapkan tanpa sebarang usul periksa. 

Apabila aduan dikemukakan mereka tidak dilayan dan tiada tindakan diambil untuk membantu mereka sepertinya pihak atasan memandang mereka hanya sebelah mata sahaja. 

Tidak mudah bagi seorang peniaga untuk mempertahan perniagaannya andai berdepan pelbagai masalah yang sukar diselesaikan. Kemelutnya berpanjangan. Jika hanya membabitkan satu pihak sahaja mungkin ia tidak terlalu membebankan berbanding perlu merayu campur tangan banyak pihak tetapi tidak membantu.


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan aktiviti kampus UMP

Bangunan Kafetaria di UMP


Itu dilema dihadapi peniaga di kafeteria Universiti Malaysia Pahang (UMP) di Kuala Pahang, Pekan dan di Gambang, Kuantan. Sudahlah kadar sewa dinaikkan bermula Januari 2023 lalu, malah dikenakan pula cas jualan sebanyak enam peratus setiap bulan oleh Vendor Pengurusan Kafeteria UMP iaitu Segi Seri Sdn Bhd

Bukankah ia satu bentuk penindasan kepada peniaga kecil yang mencari rezeki mengikut yang termampu. Lebih malang lagi, mereka perlu membayar sewa ketika cuti semester! Tiada kelonggaran dan tiada simpati! Malahan dikenakan pula cas peratus jualan!

Presiden Persatuan Peniaga UMP, Azwan Affandi Mohd Jahaya, berkata pihaknya dan Persatuan Alumni Graduan UMP, sudahpun menghantar memorandum bantahan kenaikan sewa kedai dan perkongsian keuntungan yang dikenakan setiap bulan kepada Naib Canselor UMP, Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) dan telah juga dimaklumkan kepada Pengerusi Lembaga Pengarah UMP namun tidak menemui sebarang jalan penyelesaian.


Azwan Affandi Mohd Jahaya


"Kami amat berharap kemelut ini menemui jalan penyelesaian dan peniaga tidak terbeban dengan kenaikan kadar sewa yang tidak seimbang dan caj  peratus jualan yang dikenakan.

"Kami mohon bantuan pihak universiti untuk campur tangan memanjangkan perkara ini kepada vendor supaya tidak menekan dan mengambil kesempatan ke atas penyewa," katanya ketika dihubungi di Kuantan pada 12 Mac 2023.

Terdapat 14 peniaga yang menyewa kedai di kedua-dua cawangan universiti di bawah pengurusan vendor baharu, Seri Segi Sdn Bhd bermula Mei 2022. Sebelum itu, kafeteria berkenaan adalah di bawah pengurusan UMP Holdings (UMPH).


  Bangunan kafetaria di UMP


Katanya, kadar sewaan juga tidak tetap dan berbeza untuk setiap lot walaupun berada di kawasan premis yang sama. 

Menurutnya, kenaikan sewa dan caj yang dikenakan itu secara tidak langsung  menyebabkan peniaga terpaksa menaikkan harga makanan dan minuman. 

"Kenaikan harga ini sekali gus boleh menjejaskan imej universiti dan akan memberi kesan yang tidak baik kepada semua pelajar terutama golongan yang kurang berkemampuan.

"Pelajar pasti terbeban dengan situasi ini kerana perlu guna wang yang lebih banyak bagi menampung perbelanjaan harian," katanya lagi.

Menurutnya, peniaga juga tidak bersetuju dengan pihak vendor yang mengambil kesempatan memonopoli jualan dengan menentukan menu makanan yang dijual di setiap kedai. 

"Kami tidak lagi dibolehkan menjual makanan pilihan seperti biasa, semuanya ditentukan vendor. Tidak boleh tambah atau jual makanan lain sesuka hati.

"Lebih membimbangkan apabila perkhidmatan penyelenggaran di semua kafeteria juga lambat dan proses baik pulih mengambil masa yang lama.

"Ini sudah pastu menyusahkan peniaga jika berlaku sebarang kerosakan di kedai.," katanya lagi.


Juliza Ameruddin 


Seorang peniaga yang juga alumni UMP, Juliza Ameruddin berkata, kenaikan sewaan dan caj peratus jualan yang dikenakan terhadap  peniaga setiap bulan adalah sesuatu yang tidak adil kerana begitu membebankan. 

"Kami sebulat suara sama sekali tidak bersetuju dengan kenaikan dan caj peratus jualan yang dikenakan kerana kami mempunyai banyak komitmen yang perlu ditanggung terutama kos bahan mentah yang semakin meningkat dan gaji pekerja.

"Sehubungan itu, kami amat berharap pihak universiti cakna dengan kemelut yang sedang kami lalui dan berunding dengan vendor bagi mencari jalan penyelesaian," katanya.


Presiden Persatuan Alumni Graduan UMP, Ir Ts Dr Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman


Sementara itu, Presiden Persatuan Alumni Graduan UMP, Ir Ts Dr Syed Mohamad Hamzah Al-Junid Syed Abdul Rahman, pula berkata pihaknya difahamkan bahawa syarikat vendor itu telah diberikan hak eksklusif sebagai syarikat tunggal menyediakan katering kepada semua acara universiti.

"Perkara ini masih belum dijawab oleh pihak universiti. Adakah dengan hak eksklusif ini masih belum cukup untuk mereka mengaut keuntungan? Adakah hak eksklusif ini mengikut tatacara perolehan yang betul? Besar harapan kami, KPT menjalankan siasatan terperinci terhadap isu ini. 

"Saya juga difahamkan yang vendor ini juga masih gagal melunaskan bayaran katering kepada peniaga dan masih tertangguh sehingga beberapa bulan sekali gus menganggu aliran tunai peniaga serta menyukarkan peniaga untuk membuat pusingan modal.

"Amat menyedihkan apabila ada kalangan peniaga yang masih belum menerima bayaran katering lebih daripada tiga bulan dan jumlahnya juga agak tinggi," katanya.


 

Memorandum bantahan kenaikan sewa kedai dan caj jualan enam peratus yang dikenakan keatas penyewa


Bagaimanapun, katanya, walaupun isu berkenaan sudahpun dibawa ke pengetahuan Naib Canselor dan Pengurusan UMP namun tiada sebarang tindakan yang diambil.

"Pengurusan UMP seolah-olah memejam mata dan membiarkan penindasan ini terus berlaku.

"Lebih mengecewakan, apabila mereka (vendor) akan mengambil tindakan menamatkan kontrak sewa kedai jika peniaga terus membantah terhadap perkara ini.

"Ke mana lagi peniaga kecil ini hendak mengadu? Pendapatan mereka tidaklah seberapa kemudian kenakan pula caj peratus jualan dan tidak dibenarkan menaikkan harga jualan. 

"Sepatutnya kehadiran universiti memberikan satu rahmat kepada masyarakat setempat dalam membangunkan sosioekonomi rakyat setempat. Akan tetapi apa yang berlaku aalah sebaliknya malahan mereka berkemungkinan akan kehilangan punca pendapatan sekiranya ditamatkan perkhidmatan," katanya.

Beliau menyeru campur tangan KPT bagi menyelesaikan masalah berkenaan secepat mungkin dan membantu peniaga-peniaga kecil terbabit yang rata-rata masyarakat setempat yang bergantung hidup dengan jualan dalam universiti. 

Semoga ada penyelesaian terhadap rayuan peniaga-peniaga ini dan mereka dapat meneruskan jualan mereka dengan hati yang tenang manakala pelajar tidak terbeban dengan kenaikan harga makanan dan minuman. - KitaReporters


 Kafeteria UMP

10
9
1
13
3

Copy Link: