Sempena Ramadan tahun 2023 ini, Maybank Islamic Berhad memulakan pengedaran kotak yang mengandungi keperluan makanan asas bernilai RM1.4 juta kepada lebih 7,000 keluarga kurang berkemampuan di 11 negara melalui program tahunannya Ramadhan Relief Serantau (Regional Ramadhan Relief) bermula Sabtu, 11 Mac 2023. 

Majlis simbolik penyampaian kotak makanan itu diserahkan oleh Ketua Pegawai Eksekutif Maybank Islamic, Dato' Mohamed Rafique Merican dan disaksikan oleh Pengerusi Maybank Islamic, Dato' Zulkiflee Abbas Abdul Hamid dan Pengerusi Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Prof  Dr Azni Idris kepada 150 penerima manfaat, di Bayan Lepas, Pulau Pinang pada Ahad, 12 Mac 2023. 


Lagi cerita-cerita menarik berkaitan usaha Maybank Islamic

Mohamed Rafique Merican (depan, kanan) menyampaikan sumbangan pek makanan Program Regional Ramadhan Relief kepada salah sebuah keluarga penerima manfaat di Kampung Sungai Batu, Teluk Kumbar, Pulau Pinang disaksikan oleh Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (belakang, tengah), Prof. Dr. Azni Idris (belakang, kanan) dan Mohd Shukor Tahir (belakang kiri).


Turut hadir, Pengarah Wilayah Maybank bagi Pulau Pinang, Kedah dan Perlis (PKP), Zolkefli Awang; Ketua Pegawai Eksekutif IR Malaysia, Mohd Shukor Tahir; dan Lembaga Pengarah  Maybank Islamic, Dali Sardar. 

Cek sumbangan bernilai RM10,000 telah disampaikan kepada Pengerusi Masjid Ridwaniah, Mohd Sazali Mahmad Salleh bagi kerja naik taraf balai raya di pekan Bayan Lepas, yang boleh dijadikan pusat pemindahan sementara sekiranya berlaku banjir besar atau sebarang kecemasan. 

Sejak tahun 2013, program kemasyarakatan ini telah memanfaatkan lebih 96,000 buah keluarga yang kurang berkemampuan yang terdiri daripada warga emas, ibu tunggal, orang kelainan upaya (OKU), individu yang terkesan dengan COVID-19, golongan tunawisma (gelandangan) serta golongan asnaf yang lain dengan jumlah yang diagihkan sebanyak hampir RM16 juta. 


Zulkiflee Abbas Abdul Hamid (kiri), Mohamed Rafique Merican (dua dari kanan) dan Prof. Dr. Azni Idris (kanan) bergambar bersama penerima manfaat Program Regional Ramadhan Relief.


Dalam satu kenyataan, Mohamed Rafique Merican berkata program ini selaras dengan komitmen Maybank Islamic untuk menganjurkan inisiatif yang mampan dan menyumbang kepada kebaikan bersama serta misi Kumpulan Maybank untuk menginsankan perkhidmatan kewangan di seluruh cawangan Maybank beroperasi. 

Beliau berkata sejak beberapa tahun kebelakangan ini, dunia telah dikejutkan dengan pelbagai bencana alam, termasuk gempa bumi, banjir, tanah runtuh, serta pandemik Covid 19 yang telah memberi kesan kepada pelbagai lapisan masyarakat dan ada yang diuji lebih daripada yang lain.

“Kami bukan sahaja komited dalam menyediakan penyelesaian kewangan merentasi segmen bahkan memberi sepenuh komitmen dalam inisiatif-inisiatif yang memberi manfaat kepada semua lapisan masyarakat dan program ini merupakan salah satu daripadanya. 

"Sesungguhnya kami bersyukur kerana dapat meneruskan program ini dan berkongsi rezeki bukan sahaja dengan golongan yang memerlukan di Malaysia tetapi juga di seluruh negara anggota ASEAN dan di Dubai, Emiriah Arab Bersatu di mana cawangan Maybank Islamic berada,” kata Mohamed Rafique. 

Bagi memastikan pengagihan bekalan makanan lancar, Maybank Islamic dibantu oleh lima pertubuhan bukan berasakan keuntungan (NGO) iaitu Islamic Aid Malaysia (IAM), Islamic Relief Malaysia (IR Malaysia), Mercy Malaysia, Yayasan Pembangunan Ekonomi Islam  Malaysia (YaPEIM) dan Yayasan Ikhlas. 

Antara bekalan makanan asas yang disumbangkan adalah beras, minyak masak, tepung, gula, dan keperluan lain sebagai persediaan menghadapi bulan Ramadan yang bakal tiba. 

Pada tahun 2023 ini, Maybank Islamic telah memperuntuk dana hampir RM20 juta yang akan diagihkan sepanjang tahun 2023 melalui program-program kemasyarakatan berimpak tinggi seperti projek pertanian bandar, program keusahawanan golongan pelajar dan ibu tunggal serta projek solar panel di Sabah. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
10
0
11
0

Copy Link: