Semai budaya dan semangat kesukanan! Tiger anjur klinik sukan untuk 200 murid SK Bukit Lanjan (Asli)!
Published byJenama Tiger di bawah Mondelēz International (Malaysia) telah berjaya menganjurkan klinik sukan di SK Bukit Lanjan (Asli), yang menyatukan hampir 200 kanak-kanak dari prasekolah sehingga darjah 6 dalam satu hari yang penuh dengan latihan olahraga.
Sesi tersebut yang merangkumi sukan teras seperti ragbi, bola baling, bola sepak dan badminton, bertujuan memupuk minat kanak-kanak terhadap sukan dan menyerlahkan komitmen Tiger untuk membina kekuatan dalaman serta menggalakkan perkembangan melalui pemakanan sihat.
Kerjasama antara Tiger dan SK Bukit Lanjan bukan hanya untuk meningkatkan kemahiran pelajar dalam empat sukan teras tersebut, tetapi juga memupuk minat terhadap aktiviti fizikal dan mencungkil bakat baharu yang berpotensi mewakili Malaysia di pentas kebangsaan.
Melalui inisiatif ini, Tiger mengukuhkan kepercayaannya dalam menyemai kebaikan dari dalam, dengan menyediakan nutrisi yang diperlukan oleh pelajar untuk berkembang dari segi fizikal dan mental.
“Di Tiger, kami percaya setiap kanak-kanak memiliki potensi tanpa had yang terpendam dan boleh dikembangkan secara konsisten.
"Oleh itu, klinik sukan ini mencerminkan komitmen kami bagi membantu kanak-kanak menjadi lebih kuat melalui sukan, sementara biskut kami mengandungi bahan-bahan sihat seperti gandum, susu, pelbagai vitamin dan mineral untuk menyokong pertumbuhan itu,” kata Ketua Pemasaran Malaysia dan Singapura di Mondelēz International, See Mei Sin.
Klinik sukan ini juga adalah langkah penting dalam mengekalkan visi SK Bukit Lanjan untuk mewujudkan budaya kesukanan yang rancak di sekolah.
Acara ini bertujuan bukan sahaja untuk meningkatkan minat pelajar dalam sukan teras, tetapi juga untuk mencari bakat baharu dan memupuk perkembangan sahsiah pelajar di luar bilik darjah.
“Matlamat kami tidak pernah berubah, iaitu menyemai semangat cintakan sukan dalam kalangan pelajar sambil mencungkil bakat yang mampu menyerlah di peringkat kebangsaan suatu hari nanti.
"Dengan sokongan Tiger, kami dapat merealisasikan visi tersebut dengan menyatukan latihan sukan dengan nilai kesihatan dan khasiat,” kata Guru Besar SK Bukit Lanjan (Asli), Fazilawati Abu Bakar.
Klinik sukan tersebut berakhir dengan penuh semangat, di mana atlet-atlet muda yang terlibat telah mengalami manfaat aktiviti fizikal dan kebaikan nutrisi yang ditawarkan oleh Tiger.
Kerjasama ini bukan hanya mengukuhkan matlamat pembangunan sukan sekolah tetapi juga menyerlahkan peranan Tiger dalam menyokong generasi atlet pelapis di Malaysia.
Kerjasama Tiger dengan SK Bukit Lanjan (Asli) ini juga merupakan lanjutan daripada kempen #MDLZPrihatin, sebuah perkongsian jangka panjang antara Mondelēz International (Malaysia) dengan Yayasan MyKasih bagi menyokong masyarakat setempat.
Dilancarkan pada 2024, inisiatif ini menumpukan fokus pada penyediaan bantuan bersasar dalam pelbagai aspek seperti bantuan makanan, pendidikan, pembangunan kemahiran, pemerkasaan wanita dan keusahawanan.
Menerusi #MDLZPrihatin, Mondelēz International (Malaysia) komited untuk memperkasakan keluarga dan masyarakat yang kurang mendapat perkhidmatan. - KitaReporters/Kenyataan Media