Perbanyak kelapa! Sambutan CNY, puasa dan raya dah hampir! Kini ada pula gelombang bawang! - Mat Sabu
Published byMOHAMAD Sabu (kanan) menikmati buah mesta bersama-sama Ketua Pengarah MARDI, Datuk Dr. Mohamad Zabawi Abdul Ghani ketika lawatan kerja ke Duriotourism MARDI, Kuala Kangsar pada 28 Disember 2024 lalu. - Kredit foto: MARDI
MENTERI Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu berharap para penanam kelapa dapat meningkatkan hasil pengeluarannya menjelang ketibaan Tahun Baharu Cina (CNY), puasa Ramadan dan Hari Raya Aidilfitri yang berturut-turut mulai hujung Januari hingga April 2025 ini.
Katanya, negara sekarang menghadapi masalah menampung kegunaan dalaman sehingga mencetuskan kenaikan harga produk kelapa seperti santan yang amat diperlukan di pasaran sehingga kerajaan terpaksa membawa masuk kelapa dari Indonesia.
“Kementerian berharap para penanam kelapa berusaha supaya hasilnya lebih tinggi bagi memenuhi permintaan pengguna.
“Kami memang berunding dengan FAMA (Lembaga Pemasaran Pertanian Persekutuan) untuk membawa masuk kelapa Indonesia tetapi negara pengeksport itu pun menghadapi masalah kegunaan tempatan mereka,” katanya ketika ditemui di Duriotourism Institut Penyelidikan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI), Kuala Kangsar, Perak, baru-baru ini.
KELAPA sentiasa mendapat permintaan tinggi orang ramai terutama musim perayaan. - Kredit foto: MARDI
Dalam jangka panjang kementerian juga katanya, cuba menggalakkan kemunculan usahawan dan pelabur baharu dalam perladangan kelapa tempatan yang memang menguntungkan walaupun tahap kesanggupan mereka didapati masih rendah sekarang.
“Banyak usahawan baharu menyedari penanamannya menguntungkan namun keinginan untuk mereka melabur dalam pertanian tempatan masih rendah.
“Pertanian perlu diterokai supaya import makanan yang begitu tinggi dapat dikurangkan apabila kita boleh tanam di tempat sendiri,” katanya lagi.
MOHAMAD Sabu cuba mengait buah mesta dengan galah sambil diperhatikan Mohamad Zabawi Abdul Ghani (dua dari kiri) di ladang MARDI Kuala Kangsr. - Kredit foto: MARDI
Ruang-ruang dalam industri pertanian lain juga perlu diperhebat, kata Mohamad, malah sebagai contoh pada 2024, Malaysia berjaya mengeksport sehingga 1,700 kontena nanas yang mendadak naik berbanding hanya 800 kontena pada 2023.
“Sambutan hebat rakyat dalam penanaman nanas meyakinkan kementerian untuk mencapai 4,000 kontena buah itu bagi memenuhi permintaan luar negara pada 2025,” katanya.
Mohamad juga mendapati kempen penanaman bawang kini sudah menjadi ‘gelombang’ dengan sokongan media massa.
“Terima kasih MARDI kerana perkenal benih bawang. Di Perak, kempen tanam bawang ini mendapat sambutan dan kita akan pergiatnya secara komersial pada 2026,” katanya. - KitaReporters
KEMPEN oleh Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan kini mencetuskan 'Gelombang Bawang' dalam kalangan umum. - Kredit foto: MARDI
PENINGKATAN penanaman bawang tempatan mampu mengurangkan pergantungan Malaysia kepada import bawang. - Kredit foto: MARDI