VFive Group melangkah tahun baru 2025 dengan azam untuk menjadi syarikat gergasi Bumiputera.


 SYARIKAT milik penuh Bumiputera, VFive Group berdiri kukuh pada hari ini bukanlah dalam sekelip mata tapi perjalanan yang penuh ranjau dan duri selain disulami episod cabaran demi cabaran. Dan, angan-angan pada 2012 hanya bermula di kedai mamak dan McDonalds Taman Dagang, tiada pejabat atau kakitangan pada masa itu.

Alhamdulillah, doa dan harapan pada 2012 dimakbulkan Allah apabila Vantage Five Sdn Bhd (VFive) ditubuhkan pada 2014, diikuti pejabat di rumah kedai Pandan Indah. Pada 2018, syarikat berpindah ke Wisma VFive Group di Taman Midah dan terbabit dalam sektor pengiklanan, media dan pengurusan acara, perkhidmatan tenaga kerja (GTSR), pengurusan kemudahan, pembinaan, dan teknologi maklumat (IT).

Namun, kehadiran tahun 2020 cukup mencabar kerana kebanyakan projek syarikat dibatalkan berikutan pandemik Covid-19 tapi mereka tidak mengalah. Dan, pada 2021, tertubuhnya Yayasan VFive bertujuan membantu lebih ramai masyarakat yang memerlukan. 

Majlis Makan VFive Group dihadiri kira-kira 600 kakitangan syarikat itu termasuk pelanggan setia mereka di Hotel Marriot Putrajaya.


Pengarah Urusan Kumpulan dan Pengasas VFive Group, Datuk Mohd Syafiq Abdullah berkata, doa, tawakal dan usaha tanpa jemu membuahkan hasil dan kini syarikat mempunyai 350 kakitangan, terbabit dalam bidang  baru, antaranya pembangunan hartanah, konsesi dan tenaga boleh diperbaharui.

Beliau berkata, lapan kunci kejayaan syarikat ialah tawakal kepada Allah, komitmen, kreativiti, konsisten, disiplin, kerja berpasukan, integriti, dan fokus kepada matlamat.

"Justeru, strategi VFive Group bagi 2025, kita gabungkan semua sasaran menjadi lima teras utama iaitu keberkatan, kualiti, pengurusan yang mantap, menambah baik perkhidmatan kepada pelanggan dan melahirkan lebih ramai pemimpin pelapis. 

Mohd Syafiq Abdullah


"Saya yakin, semua matlamat yang dirancang akan dapat dicapai selagi kita sentiasa mengabdikan kepada Allah dan bertawakal kepada-Nya. Moga keluarga VFive sentiasa berdoa kepada Allah dan berganding bahu bersama saya untuk pembangunan syarikat.

"Kejayaan syarikat akan hasil kerja berpasukan dan kerjasama bersepadu semua kakitangan. Inilah  Bound by Unity, Driven by Success. Memang ia bukan mudah tetapi percayalah, tiada yang mustahil dengan izin Allah, dan hanya kepada-Nya tempat kita memohon pertolongan.

"Doa-doa anda amatlah syarikat harapkan dan semoga ia menjadi asbab VFive dapat terus maju untuk kita membantu lebih ramai orang di luar sana,"  katanya ketika merasmikan Majlis Makan Malam Tahunan 2024 VFive Group yang bertemakan ‘A Night of Elegance - Bound by Unity, Drive by Success’ di Hotel Marriott Putrajaya pada 30 Disember 2024.


Majlis Makan Malam VFive group penuh dengan permainan cahaya berwarna warni menjadikan suasana meriah dan berseri.


Kira-kira 600 kakitangan dan pelanggan VFive Group menghadiri majlis itu yang diserikan dengan penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun serta penampilan istimewa Tomok, Black dan Zeppo Youngsterz selain dimeriahkan dengan sesi cabutan bertuah.

Majlis makan malam itu adalah wadah syarikat untuk menzahirkan penghargaan di atas segala sumbangan semua pihak yang bertungkus lumus memastikan segala sasaran dapat dicapai.   

Beliau berkata, berdasarkan rekod kejayaan kukuh dalam bidang yang diceburi, VFive Group kini bersedia membawa kepakaran, inovasi, dan kecekapan ke dalam sektor-sektor yang lain.

Komposer dan penyanyi nasyid, Hafiz Hamidun memeriahkan Majlis Makan Malam VFive Group.


“Menerusi pendekatan berteraskan profesionalisme dan kualiti, VFive Group bercita-cita untuk menjadi peneraju dalam setiap industri yang diceburi, seiring dengan reputasi yang terus cemerlang.

“Peluasan industri ini menunjukkan keberanian dan wawasan syarikat ini untuk merebut peluang baharu serta mempelbagaikan portfolio perniagaan,” katanya.

Mohd Syafiq mengakui, langkah yang dilakukan itu bukan sahaja memberi peluang kepada kakitangan untuk memperkasakan kemahiran mereka, malah membuka lebih banyak ruang dan peluang yang menjamin masa depan. 

Kehadiran Tomok di Majlis Makan Malam VFive Group turut menjadikan suasana meriah dan gamat.


"Dalam inisiatif ini VFive Group kekal meletakkan keutamaan dalam menjaga kebajikan kakitangan sebagai kunci kejayaan syarikat kami kerana berkat perkongsian nikmat ini dapat dimanfaat bukan hanya kepada syarikat dan kakitangan dianggap keluarga sendiri.

“Kakitangan VFive Group juga diberi keutamaan melalui pelbagai inisiatif kebajikan bagi  memastikan kesejahteraan mereka sentiasa terjaga.Inilah janji syarikat dalam membina persekitaran yang harmoni dan berharap VFive Group menjadi contoh bagaimana ukhuwah mampu menjadi pemangkin kepada kejayaan bersama,” katanya.

Black antara artis jemputan Majlis Makan VFive Group di Hotel Marriot Putrajaya.


Mengenai Yayasan VFive, katanya pada 2024, syarikat menyediakan peruntukan yang besar bagi kerja-kerja tanggungjawab sosial korporat (CSR) demi menjaga kebajikan dan membantu masyarakat yang kurang berkemampuan.  

“Dana itu digunakan untuk pelbagai inisiatif, termasuk bantuan kewangan, pendidikan, kesihatan, serta program kebajikan lain yang memberi impak positif kepada masyarakat. Insya-Allah, jumlah peruntukan ini akan sentiasa ditingkatkan setiap tahun.

"Inisiatif yang dikendalikan oleh Yayasan VFive termasuklah Program Kembara Beras Amal, Berkat Jumaat, Gerobok Rezeki dan Sumbangan Bakul Makanan selain program pembangunan modal insan komuniti untuk mereka yang kurang berkemampuan.

“Saya berterima kasih dan penghargaan kepada semua pihak yang mencurahkan jasa sepanjang 12 tahun perjalanan kami, teruslah berdoa untuk lebih banyak kejayaan syarikat selain membantu berkongsi manfaat bersama-sama masyarakat pada tahun 2025 dan tahun-tahun mendatang," katanya lagi. - KitaReporters

Wakil Maahad Tahfiz Nurul Yaqin menerima sumbangan daripada Mohd Syafiq (tiga dari kiri).

12
12
0
12
0

Copy Link: