Perubahan landskap dunia kewartawan! MPI cari peluang kerjasama strategik dengan media dalam talian!
Published byKetika berhadapan dengan cabaran dan perubahan landskap dunia kewartawanan berikutan perubahan teknologi komunikasi serta lambakan laman portal serta kepentingan media sosial, Malaysian Press Institute (MPI) atau Institut Akhbar Malaysia berusaha mencorak semula peranan dan fungsinya.
Sehubungan itu, pada 16 Disember 2024, bertempat di Pusat Latihan MPI, telah berlangsungnya sesi perbincangan yang signifikan antara delegasi MPI dan wakil media dalam talian, termasuk dari KitaReporters.
Menurut Pengerusi MPI, Datuk Yong Soo Heong berkata, perbincangan ini memberi tumpuan kepada peluang kerjasama strategik yang ditawarkan oleh MPI kepada organisasi media dalam talian melalui pelbagai program yang dirancang.
"Langkah ini bukan sahaja bertujuan untuk menyokong kelangsungan organisasi media, malah memperkukuh struktur media digital agar menjadi lebih mampan dan inklusif.
"Dalam dunia yang semakin didominasi oleh teknologi, inisiatif seperti ini amat penting bagi memastikan media tempatan mampu berdaya saing, berinovasi, dan dalam masa yang sama memenuhi kehendak audiens masa kini," jelas Yong.
Beliau berkata, dengan usaha sama ini, MPI berharap sinergi pada kali ini mampu memacu dan mencetus idea baharu dalam memperkukuh industri media, sekali gus menyelaraskan platform digital sejajar dengan arus perdana pada hari ini.
Turut hadir pada perbincangan itu ialah Ketua Pegawai Eksekutif MPI, Ainol Amriz Ismail. - KitaReporters