TERBAIKLAH! ZAINAL MAHU 'MARTABATKAN' PAKAIAN BUNDLE
Published byBILA sebut pakaian 'bundle' atau terpakai, ramai beranggapan kualitinya amat teruk dan menggelikan kerana sudah dipakai dan tidak kurang juga ada yang menganggap ia tidak bersih untuk dipakai semula.
Zainal Othman (tengah) memerhatikan pekerja melakukan pemotongan kain terpakai.
Namun,sekiranya bundle itu diurus dengan baik ia mampu diberi kepada golongan memerlukan, di samping memberi pulangan lumayan, sekali gus dapat menyumbang kepada kelestarian alam sekitar.
Bagi seorang pengusaha bundle yang juga Pengarah NCT Supply & Trading Sdn Bhd, Zainal Othman, tanggapan itu menjadi satu cabaran bagi dirinya untuk mengusahakan sebuah kilang bundle secara runcit dan borong.
Zainal berkata, pakaian terpakai ditawarkan oleh syarikatnya masih boleh dipakai kerana berkualiti dari jenama terkemuka yang diimport dari Jepun dan Korea serta dijual pada harga rendah dari pakaian baharu jenama sama.
Menurut Zainal, beliau mahu memartabatkan pakaian terpakai dengan mengangkatnya lebih tinggi kerana ia mempunyai peminat tersendiri dan setaraf dengan barang baharu.
"Jika dulu pakaian terpakai ini dijual di tepi jalan, tetapi kini ramai usahawan menempatkannya di dalam butik bagi membuang persepsi negatif kebanyakan orang mengenai pakaian terbabit.
"Saya percaya ramai dalam kalangan orang ramai yang kurang berkemampuan untuk mendapatkan pakaian berjenama sebelum ini boleh memilikinya melalui butik bundle yang menawarkan harga lebih rendah dan berkualiti."
Berkongsi pengalaman memulakan perniagaan, Zainal berkata, beliau memulakan perniagaan bundle di pasar malam sekitar Lembah Klang dan selepas melihat bidang itu mampu berkembang terus bercadang membuka sebuah kilang yang dilihat kurang persaingan dari kalangan peniaga.
Zainal berkata, kilang bundle yang diusahakan berskala besar itu dibantu oleh seramai 40 pekerja dari masyarakat setempat kerana beliau mahu membantu menjana ekonomi keluarga mereka.
Menurut Zainal, tugas pekerja di kilang ini adalah bagi mengasingkan setiap pakaian mengikut jenis termasuk membungkus untuk dimasukkan ke dalam kontena bagi dieksport ke luar negara.
"Selain pakaian terpakai syarikat ini juga mengimport barangan bundle lain seperti kasut dan beg tangan wanita berjenama yang asalnya dijual dengan harga tinggi di butik terkemuka.
"Kilang ini turut mengamalkan kelestarian alam di mana pakaian yang rosak tidak akan dibuang, sebaliknya akan dipotong dan dijahit untuk dijadikan sebagai kain pengelap di bengkel dan kilang-kilang.
"Melalui cara ini kita dapat mengelakkan sikap pembaziran dan pada masa, ia turut menjana kewangan kepada syarikat.
"Dengan keadaan ekonomi yang kurang memberangsangkan sekarang dan ramai yang memilih barangan bundle sebagai pilihan, membuatkan perusahaan ini terus berkembang dan mendapat tempat di hati peminat," katanya.
Kilang bundle NCT Supply & Trading Sdn Bhd ini terletak di pusat industri Kapar, Klang, Selangor dan bersesuaian dengan kedudukannya berdekatan dengan Pelabuhan Klang bagi memudahkan urusan aktiviti import dan eksport diadakan.
Sebanyak 10 tan pakaian dipek setiap hari untuk dieksport, manakala selebihnya dibeli oleh peniaga tempatan yang memasarkannya di pasar malam dan butik di seluruh negara.
Antara negara yang menjadi pengimport pakaian dan kasut terpakai ini terdiri dari Vietnam dan Indonesia yang memerlukan sekurang-kurangnya 150 tan barangan terpakai sehari.