AEON Bank (M) Berhad (AEON Bank), bank digital Islamik pertama di Malaysia, kini menjalin kerjasama strategik bersama MADCash Sdn. Bhd. untuk memperkasakan 100 usahawan wanita daripada komuniti B40 yang memulakan perniagaan serta mengembangkan kemahiran keusahawanan mereka. 

Program ini selari dengan program iTEKAD yang diterajui oleh Bank Negara Malaysia, iaitu inisiatif kewangan sosial yang bertujuan menyokong usahawan mikro daripada komuniti yang memerlukan di seluruh negara.

‘GrowthStart’ dibangunkan secara bersama oleh AEON Bank dan MADCash, sebuah organisasi pemangkin tempatan yang berperanan sebagai pemacu teknologi kewangan (fintech) yang menyokong inisiatif pemerkasaan wanita. 

Sebagai program pemula keusahawanan mikro, program ini bertujuan untuk membimbing dan memupuk perkembangan perniagaan 100 usahawan wanita, sambil membantu mereka mengoptimumkan penggunaan perisian digital serta teknologi kewangan. 

Program tersebut berlangsung dari Februari 2025 hingga Ogos 2026 dan dilaksanakan dalam tiga kumpulan melibatkan para peserta dari Selangor, Kedah, Negeri Sembilan dan Johor.

Bagi kumpulan pertama, 50 usahawan mikro wanita dari pelbagai sektor seperti makanan dan minuman (F&B), pendidikan, kesihatan dan kecantikan, pertanian serta perusahaan sosial akan dipilih bagi sesi yang akan berlangsung dari Februari 2025 hingga Ogos 2025.

Sepanjang tempoh enam bulan, para peserta tersebut akan menyertai bengkel praktikal yang dijalankan secara fizikal dan dalam talian, selain menerima bimbingan serta tunjuk ajar dalam perniagaan. 

Manakala, kumpulan kedua dan ketiga akan melibatkan 25 usahawan mikro wanita bagi setiap kumpulan dalam selang masa enam bulan. Setiap peserta layak menerima pembiayaan Qard sebanyak RM2,000 yang selaras dengan prinsip kewangan Shariah AEON Bank.



“Program GrowthStart merupakan komitmen AEON Bank ke arah memastikan inklusif atau keterangkuman kewangan dengan menawarkan sokongan kepada usahawan mikro wanita yang mempunyai potensi,” kata Raja Datin Paduka Teh Maimunah Raja Abdul Aziz, Ketua Pegawai Eksekutif AEON Bank (M) Berhad. 

“Ramai dalam kalangan usahawan wanita menghadapi cabaran mendapatkan pembiayaan dan mereka memerlukan bimbingan untuk menguruskan perniagaan, terutama dari segi pengetahuan mengenai bisnes dalam talian yang mampu membantu mereka mengembangkan perniagaan. 

"Kerjasama strategik kami dengan MADCash diharapkan dapat membantu menangani cabaran tersebut secara langsung. 

"Dengan menawarkan modal permulaan, bimbingan perniagaan, serta latihan kemahiran yang lebih fokus, ia bakal memupuk keupayaan berdikari dan memperkasakan mereka untuk mencapai impian keusahawanan. 

"Pada dasarnya, GrowthStart merupakan lebih daripada kisah kejayaan individu; ia juga adalah inisiatif yang mampu membangunkan komuniti setempat dan mendorong perubahan sosial yang lebih berkekalan,” tambah beliau.

Nuraizah Shamsul Baharin, Ketua Pegawai Eksekutif MADCash pula berkata, “MADCash berhasrat untuk memperkasa kaum wanita dengan membantu mereka membangunkan kemahiran dan pengetahuan perniagaan lantas meningkatkan taraf hidup mereka. 

"Berteraskan asas ekonomi yang lebih kukuh, mereka berupaya mengatasi pelbagai cabaran di samping meningkatkan tahap kewangan mereka. 

"Pendekatan ini pastinya akan menggalakkan keterangkuman kewangan di kalangan masyarakat dengan lebih efektif. Kami amat berbesar hati berpeluang untuk bekerjasama dengan AEON Bank dalam usaha tersebut.” - KitaReporters/Kenyataan Media

13
15
0
17
0

Copy Link: