Sebanyak 178 kilogram (kg) sisa berjaya dikumpulkan dalam tempoh dua jam menerusi Program Pembersihan Pantai sempena Hari Pembersihan Sedunia (World Cleanup Day atau WCD) 2024 anjuran SWM Environment Sdn. Bhd. (SWM Environment) di Pantai Puteri, Tanjung Kling, Melaka pada 28 September 2024. 

Daripada jumlah itu kira-kira 30 kg barangan yang boleh dikitar semula berjaya dikumpul membabitkan pelbagai jenis plastik, kertas, aluminium, botol kaca dan lain-lain. 

Pada penganjuran WCD kali ini berjaya mengumpulkan sejumlah 1,226 puntung rokok, 504 unit botol plastik dan 333 cebisan plastik yang merupakan tiga sisa tertinggi yang dikumpulkan oleh sukarelawan. 



Menurut Pengurus Besar Korporat SWM Environment, Mohd Norlisam Mohd Nordin, sempena WCD kali ini, SWM Environment mengambil inisiatif membersihkan pantai bersama rakan-rakan strategik sebagai tanda sokongan kepada inisiatif WCD sebagai galakan pembersihan kepada orang ramai demi kelestarian alam. 

“Program seumpama ini diharap dapat memberi kesedaran kepada orang ramai mengenai kepentingan menjaga dan memelihara kebersihan pantai dan demi kelesaan semua pihak yang berkunjung ke pantai ini. 

“Pantai yang bersih dan indah bukan sahaja dapat menarik pengunjung ke salah satu pantai tumpuan di negeri ini, malah membantu kerajaan negeri mempromosi Pantai Puteri sebagai salah satu destinasi pelancongan di negeri Melaka lebih-lebih lagi pada Tahun Melawat Melaka 2024 ketika ini,” katanya. 



Program bersempena Hari Pembersihan Sedunia 2024 ini disertai kira-kira 50 sukarelawan daripada beberapa rakan strategik SWM Environment serta komuniti setempat. 

Sukarelawan yang turut serta mewakili beberapa agensi antaranya Perbadanan Sisa Pepejal dan Pembersihan Awam (SWCorp) Negeri Melaka, Teladan Setia Group Berhad, Melaka Bird Nest Enterprise Sdn Bhd serta komuniti setempat yang menjalankan aktiviti kutipan sampah (plogging) secara berkumpulan di sekitar persisiran pantai berkenaan.

Pada program itu, sukarelawan turut diberikan penerangan mengenai pengurusan sisa pepejal dan audit sisa bagi mengasingkan sisa yang boleh dikitar semula serta sisa sampah. 

Sisa yang boleh dikitar semula kemudiannya diasingkan mengikut kategori seperti plastik, kertas, botol kaca dan sisa yang tidak boleh dikitar semula sebelum setiap kategori sisa ditimbang untuk direkodkan bagi melengkapkan pelaksanaan aktiviti pembersihan WCD 2024. - KitaReporter/Kenyataan Media


0
6
0
5
0

Copy Link: