Salah seorang pekebun kecil getah di Labis, Johor yang hadir untuk pelbagai urusan yang disediakan oleh LGM ketika Program Jelajah Mesra Getah LGM 2024.


Rata-rata pekebun kecil getah di Labis, Johor yang ditemui menyifatkan Program Jelajah Mesra Getah LGM 2024 memberi banyak manfaat kepada mereka bukan sahaja bagi mendapatkan informasi terkini malah memberi kemudahan melakukan pelbagai urusan lain.

Abdul Kassim Idris, 55, berkata, langkah pihak Lembaga Getah Malaysia (LGM) turut menyediakan kaunter bergerak sepanjang program tersebut  memudahkan pekebun berurusan membuat pendaftaran atau memperbaharui Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G)  tanpa perlu ke Pejabat LGM di Segamat.



"Sebelum ini kami terpaksa cuti menoreh untuk sebarang urusan di pejabat LGM di Segamat sejauh hampir 40 kilometer, tetapi dengan adanya kaunter bergerak ketika program ini semua urusan dapat dilakukan dengan lebih cepat dan mudah.

"Selain memudahkan urusan seperti perlesenan dan pendaftaran, program ini juga memberi banyak informasi terkini mengenai pematuhan penjualan hasil kepada pelesen sah serta kaedah pengawalan penyakit luruh daun yang menjadi masalah pekebun kecil getah di sini," katanya yang mengusahakan kebun getah seluas 1.5 hektar di Kampung Tenang, Labis, Johor.


Abdul Kassim Idris


Lebih 100 pekebun kecil getah di Labis hadir menjayakan program selama sehari tersebut di Balai Raya Kampung Paya Merah, Labis, Johor pada 23 April 2024 lalu.

Program Jelajah Mesra Getah LGM 2024 akan diadakan di setiap negeri di mana Negeri Sembilan menjadi lokasi pertama pada Januari 2024 lepas dan Johor pula merupakan lokasi kedua penganjuran sebelum bergerak ke negeri-negeri lain selepas ini. 

Ketika program tersebut, pekebun kecil turut diberi taklimat mengenai keperluan mematuhi peraturan  perlesenan dan permit LGM yang disampaikan oleh Ketua Unit Perlesenan dan Permit LGM, Shafizal Yusof.


Pengarah Wilayah Selatan Lembaga Getah Malaysia, Muhammad Zahidin Razman ketika nmemberi taklimat mengenai Insentif yang disediakan kerajaan kepada pekebun kecil getah semasa Program Jelajah Mesra Getah LGM 2024.


Selain itu, pekebun juga didedahkan dengan informasi mengenai aplikasi Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) Digital yang membolehkan semua data pekebun diakses dan dikemaskinikan dengan lebih mudah dan pantas oleh Ketua Unit Inspektorat dan Penguatkuasaan LGM, Mohd. Azafi Mohd. Idris.

Turut memberi taklimat berhubung insentif yang disediakan kerajaan kepada pekebun kecil getah adalah Pengarah Lembaga Getah Malaysia, Muhammad Zahidin Razman.


Muhammad Ali


Sementara itu, Muhammad Ali, 73, pembeli getah berlesen di Kampung Sawah Baru, Labis sejak lebih 30 tahun lalu mahu program seumpama diadakan dengan lebih kerap lagi bagi memudahkan pekebun mendapatkan maklumat terkini mengenai industri getah terutama berkaitan pemindahan teknologi terkini. 

"Biarpun kita boleh mengakses maklumat dengan lebih mudah dengan perkembangan teknologi terkini, namun tidak semua pekebun berkemampuan mengikuti perkembangan teknologi atas beberapa faktor 

"Oleh yang demikian penerangan mahu pun perbincangan secara bersemuka seperti hari ini masih lagi kaedah terbaik kerana pekebun dapat bertanya secara langsung untuk mendapatkan maklumat secara terus," katanya lagi. - KitaReporters


Pekebun kecil getah tekun mendengar penerangan berhubung aplikasi Permit Autoriti Transaksi Getah (PAT-G) Digital yang dibanggunkan oleh LGM.  


Selain berpeluang mendapatkan pelbagai infomasi terkini serta melakukan urusan lain, pekebun yang hadir ke Program Jelajah Mesra Getah LGM 2024 turut berpeluang memenangi pelbagai hadiah cabutan bertuah.

9
9
0
9
0

Copy Link: