Pengguna dijangka akan membeli-belah sempena sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini (2024) dalam penuh kesederhanaan dengan faktor harga menjadi pendorong utama untuk mereka berbelanja.

Ketua Pegawai Eksekutif Modachi Sdn. Bhd., Faizal Zakaria berkata, 92 peratus responden memberi keutamaan terhadap harga sebelum melihat kepada kualiti (80 peratus), manakala 74 peratus lagi mencari promosi harga murah sebagai pendorong utama berbelanja.

“Ada pengguna akan melihat kepada produk berjenama terkenal (46 peratus) namun ia menjadi faktor keempat dalam memuat keputusan berbanding godaan promosi jualan murah. Hanya 22.6 peratus menjelaskan mereka setia terhadap jenama pilihan yang telah mereka gunakan sebelum ini.

“Peratusan tinggi terhadap keutamaan harga ini menyaksikan orang ramai akan kembali membeli-belah secara dalam talian (62.5 peratus) berbanding 37.5 peratus mengakui selesa untuk berurusan dengan kedai fizikal,” katanya.

Untuk rekod, Modachi merupakan syarikat perunding penjenamaan dan penerbitan kandungan strategik korporat yang memberi tumpuan terhadap strategi penceritaan lestari (sustainable storytelling).



Hampir sepertiga responden (28.6 peratus) menyatakan mereka akan berbelanja bawah RM1,000 untuk sambutan hari raya sebelum ini, manakala hampir suku (24 peratus) akan berbelanja bawah RM5,000.

Ketika diminta untuk menjelaskan bagaimana mereka akan meraikan hari raya pada tahun hadapan, 84.4 peratus menyatakan Aidilfitri akan disambut dengan berbusana baharu.

“Responden juga menyatakan, mereka akan meneruskan tradisi berkunjung ke rumah rakan mahupun keluarga terdekat dan sudah pasti, juadah tradisi tetap akan diteruskan seperti tahun-tahun sebelum ini,” kata Faizal.

Berhubung pertembungan Aidilfitri yang didahului pembukaan penggal baharu persekolahan 2024,  lebih 51 peratus responden menjelaskan mereka akan membuat pembelian hari raya lebih awal.

“Walaupun responden menyatakan mula berbelanja awal, sebanyak 70.6 peratus responden menyatakan mereka akan mengikut kemampuan masing-masing dan ‘apa yang ada’ sahaja.

“Bagi sebahagian lagi, responden menyatakan sumber perbelanjaan mereka akan banyak ditentukan oleh jumlah simpanan yang dibuat secara berkala manakala 25.6 peratus mahu menggunakan ‘bonus dan dividen’,” katanya.

Jelas Faizal, kaji selidik secara rawak mudah dalam talian melibatkan 359 itu mendapati hanya separuh mahu berbelanja secara dalam talian kerana berpendapat harga yang ditawarkan lebih murah (40.2 peratus) berbanding kedai fizikal.

“Analisis mendalam bagaimanapun mendapati, kelompok ini terdiri daripada kalangan pengguna dengan umur 30 hingga 40 tahun terutama wanita. Sebanyak 67.9 peratus responden menyatakan mereka akan membeli pakaian secara dalam talian.

“Hampir dua pertiga (60.4 peratus) menyatakan mereka lebih selesa membuat pembayaran untuk pembelian dalam talian menggunakan kaedah pemindahan bank berbanding kad kredit atau kad debit (48.2 peratus),” katanya.

Menyentuh mengenai inspirasi berbelanja untuk hari raya, kata Faizal, majoriti (77.3 peratus) menyatakan keadaan semasa akan banyak mempengaruhi minat mereka untuk berbelanja.

“Menariknya, mereka menyatakan selebriti, pempengaruh (influencer) atau artis, tidak akan mempengaruhi mereka dalam membeli jenama tertentu (74.1 peratus),” katanya.



Ketika ditanya isu berhubung strategi perniagaan apakah yang mungkin boleh dilaksanakan oleh usahawan, Faizal menjelaskan:

“Secara keseluruhan kaji selidik ini mendapati sentimen berbelanja agak sederhana dan ‘mod’ pengguna akan banyak disokong oleh iklim ekonomi semasa. Pengguna akan lebih berhati-hati dan kebanyakannya akan memburu jualan harga murah.

“Saya nasihatkan usahawan terutama fesyen dan makanan untuk menyuai padan strategi kepada ‘pratempah.’ Melalui pratempah ini, stok akan dapat dirancang dengan lebih baik dan aliran tunai akan menjadi lebih baik.

“Memandangkan penggal baharu persekolahan bermula pada awal Mac 2024 dan Aidilfitri disambut pada minggu kedua April 2024, kempen jualan berkembar  ‘raya-sekolah’ mungkin jalan terbaik dengan mengoptimumkan kos,” kata Faizal. - KitaReporters/Kenyataan Media

12
15
0
12
0

Copy Link: