Persatuan Kebajikan Ronald McDonald Malaysia (RMHC Malaysia), sebuah badan kebajikan pilihan McDonald’s Malaysia, bersama Yayasan Jaafar Ahmad, sebuah badan kebajikan yang diasaskan oleh keluarga Dato’ Azmir Jaafar, menyumbangkan lima buah televisyen pintar atau Smart TV kepada Sekolah Kebangsaan (SK) (FELDA) Pasir Besar, Negeri Sembilan. 

Sumbangan Smart TV ini adalah pemberian oleh Yayasan Jaafar Ahmad kepada SK FELDA itu bagi membantu guru-guru dan murid-murid dalam Pengajaran dan Pembelajaran (P&P), selain meningkatkan kecelikan dan kecekapan digital (digital literacy & competency) anak-anak sekolah luar bandar kepada teknologi terkini.

Sejumlah RM11,000 telah dibelanjakan oleh Yayasan Jaafar Ahmad bagi menyediakan kemudahan ini dan disalurkan melalui RMHC Malaysia sebagai badan kebajikan yang memfokuskan kesejahteraan kanak-kanak melalui pendidikan dan kesihatan. 

Penyampaian Smart TV ini disempurnakan oleh Dato’ Azmir Jaafar selaku Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad, merangkap Presiden, RMHC Malaysia pada 22 Oktober 2024 lalu.



“Sekolah inilah tempat saya menimba ilmu suatu ketika dulu dan seperti sirih pulang ke gagang, saya ingin terus berbakti kepada tempat tercinta ini. 

"Sebagai anak FELDA, saya faham akan cabaran sebagai sekolah luar bandar dan kekangan yang mereka hadapi. Perkara inilah yang memberikan motivasi kepada saya untuk menyemai bakti di sini supaya anak-anak FELDA dapat akses kepada pendidikan dan bahan terkini, boleh sama maju seperti anak-anak di kota. 

"Semoga sumbangan kecil ini boleh membawa makna dan manfaat yang besar kepada kehidupan, pendidikan dan pemikiran mereka,” kata Azmir, Pengasas Yayasan Jaafar Ahmad.

RMHC Malaysia menerusi salah satu program terasnya, Pek Kembali Ke Sekolah, telah memberi manfaat kepada hampir 200 ribu kanak-kanak yang memerlukan di seluruh negara dengan menyumbangkan kelengkapan persekolahan dalam bentuk beg sekolah dan alat tulis.

Sehingga 2024, hampir RM10 juta telah dibelanjakan untuk tujuan ini dan ia akan diteruskan pada masa-masa akan datang. 

Dana ini adalah sumbangan daripada orang ramai yang terdiri daripada syarikat-syarikat korporat, dermawan dan pelanggan McDonald’s yang menyumbang melalui Kiosk Layan Diri di restoran.

Selain itu, Yayasan Jaafar Ahmad turut menyokong pelaksanaan Pek Kembali Ke Sekolah yang merupakan teras RMHC Malaysia menaja pek ini kepada hampir 1,000 murid prasekolah di seluruh Negeri Sembilan. - KitaReporters/Kenyataan Media


16
9
0
15
0

Copy Link: