Catatan Akademik| Manfaat dan cabaran kenaikan gaji minimum! Kepada pekerja, majikan dan kerajaan!
Published byOleh DR SHUHAIRIMI ABDULLAH
Universiti Malaysia Perlis (UniMAP)
Secara umumnya, polemik kenaikan gaji minimum merupakan isu penting dalam konteks ekonomi dan kesejahteraan pekerja, terutama di Malaysia.
Sejak diperkenal pada tahun 2013, gaji minimum di Malaysia telah mengalami beberapa peningkatan bertujuan untuk meningkatkan taraf hidup pekerja dan mengurangkan jurang pendapatan. Pada tahun 2023, kadar gaji minimum di Malaysia adalah RM1,500 sebulan, berbanding RM1,200 pada tahun 2020.
Walau bagaimanapun, pelaksanaan kenaikan gaji minimum menimbulkan cabaran terutama bagi perniagaan kecil dan sederhana (PKS) yang terpaksa menanggung kos operasi lebih tinggi.
Secara positifnya, kenaikan gaji minimum adalah relevan untuk memperbaiki kualiti kesejahteraan pekerja, mengurangkan kemiskinan, dan meningkatkan daya beli dalam ekonomi.
Oleh itu, kerajaan dan pihak berkepentingan perlu menilai kesan sosial dan ekonomi dari semasa ke semasa daripada perlaksanaan dasar ini untuk memastikan keseimbangan antara kepentingan pekerja dan perniagaan.
Isu dan Cabaran
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 memberi pelbagai implikasi kepada masyarakat, sosial, ekonomi, dan negara secara keseluruhannya.
Ia membawa manfaat kepada golongan pekerja, tetapi juga menimbulkan cabaran kepada majikan dan kestabilan ekonomi.
Berikut adalah analisis dan impaknya dari pelbagai perspektif antaranya dari sudut pandang kepada sosiomasyarakat.
Kenaikan gaji minimum berpotensi untuk meningkatkan taraf hidup. Ini kerana, kenaikan gaji minimum akan membantu meningkatkan kuasa beli rakyat, terutama golongan B40 dan M40, serta mengurangkan beban kos sara hidup.
Golongan pekerja mampu menyimpan lebih banyak wang untuk keperluan pendidikan, perumahan, dan kesihatan.
Dari aspek yang lain pula, potensi inflasi juga boleh berlaku. Realiti ini disebabkan apabila gaji meningkat, harga barang dan perkhidmatan mungkin turut meningkat, mengakibatkan inflasi jika tidak dikawal dengan baik.
Dengan kata lain, kenaikan harga boleh mengurangkan kuasa beli rakyat, seterusnya menjejaskan objektif sebenar kenaikan gaji.
Dalam pada itu, kesan positif lain yang dapat dilihat adalah pengurangan ketidaksamaan pendapatan dapat diminimumkan.
Secara jelasnya, jurang pendapatan antara pekerja yang berpendapatan rendah dan golongan berpendapatan tinggi dapat dikurangkan. Sekali gus dapat membantu mengurangkan kadar kemiskinan, khususnya dalam sektor berpendapatan rendah seperti perkilangan, perladangan, dan perkhidmatan.
Impak positif lain juga turut memberi implikasi prositif kepada sosial. Kondisi ini berlaku disebabkan berlakunya peningkatan tahap kualiti kesejahteraan pekerja.
Di samping itu, ia juga dapat membantu mengurangkan keperluan bekerja lebih masa (overtime) dan yang lebih penting adalah dapat memberi peluang kepada pekerja untuk meningkatkan keseimbangan kehidupan dan kerja (work-life balance).
Sehubungan dengan itu, kecenderungan untuk berlaku isu-isu sampingan lain juga boleh berlaku seperti impak kepada isu pengangguran.
Pihak majikan yang berdepan dengan kos beban kewangan berkemungkinan mengambil langkah untuk mengurangkan jumlah pekerja bagi menampung kos operasi yang sentiasa meningkat, mengakibatkan berlakunya peningkatan kadar pengangguran.
Oleh yang demikian, syarikat kecil dan sederhana (PKS) berkemungkinan sukar untuk membayar gaji minimum sekiranya tidak dibantu dengan insentif-insentif yang disediakan oleh pihak kerajaan dan natijahnya terpaksa menutup operasi atau mengecilkan perniagaan.
Kenaikan gaji minimum secara tidak langsung dapat mempengaruhi pengurangan kepada permasalahan sosial. Kesan positifnya, dapat membantu mengurangkan jenayah kecil seperti pencurian dan penipuan kerana rakyat mempunyai sumber kewangan yang lebih baik.
Setidak-tidaknya apabila rakyat tidak dibeban dengan tekanan kewangan yang serius ia dapat mengurangkan tekanan mental dan masalah kesihatan dalam kalangan pekerja.
Kesan positif lain juga turut meningkatan permintaan domestik dari sudut ekonomi. Dengan gaji yang lebih tinggi, rakyat akan berbelanja lebih banyak, meningkatkan aktiviti ekonomi dalam sektor peruncitan, makanan dan minuman, serta perkhidmatan.
Kesan secara tidak langsung dapat membantu menyumbang kepada pertumbuhan Keperluan Dalam Negara Kasar (KDNK) negara.
Kesan negatif lain yang dapat diramal adalah kurangnya daya saing pada peringkat antarabangsa. Ini kerana, Malaysia berkemungkinan tidak menjadi faktor penarik kepada pelabur asing, terutama dalam sektor pembuatan yang bergantung sebahagian besarnya kepada kos tenaga buruh murah.
Pelabur asing berkemungkinan beralih ke negara jiran seperti Vietnam, Indonesia atau Thailand yang menawarkan kos buruh lebih rendah dan kompetetif.
Namun begitu, dari sudut positif lain pula negara Malaysia dapat mengurangkan kebergantungan kepada pekerja asing.
Dengan gaji minimum yang lebih tinggi, majikan mungkin memilih untuk mengupah lebih ramai pekerja tempatan dan mengurangkan pergantungan kepada pekerja asing. Ini dapat membantu mengurangkan aliran keluar wang negara yang dihantar oleh pekerja asing ke negara asal mereka.
Di samping itu, majikan juga berkecenderungan untuk meningkatkan produktiviti pekerja melalui latihan dan automasi bagi mengimbangi kos gaji yang lebih tinggi.
Situasi ini boleh membawa kepada peningkatan penggunaan teknologi dan industri 4.0 dalam sektor perkilangan dan perkhidmatan.
Dari sudut yang lain pula, pihak kerajaan terpaksa menanggung kos yang lebih dan secara tidak langsung mendatangkan beban kewangan kepada negara.
Ini kerana, kerajaan berkemungkinan perlu menyediakan insentif atau subsidi kepada syarikat untuk mengurangkan kesan peningkatan kos operasi.
Sekiranya tidak dikawal, peningkatan kos boleh membawa kepada peningkatan harga barang, menyebabkan rakyat meminta lebih banyak subsidi, seterusnya membebankan kewangan negara.
Meskipun berlaku pertambahan beban kewangan negara namun dari sudut lain ia memberi pulangan yang positif terhadap cukai dan kewangan negara.
Ini kerana apabila berlaku peningkatan gaji, pendapatan rakyat juga turut meningkat menyebabkan kutipan cukai pendapatan juga bertambah, sekali gus meningkatkan hasil kerajaan dan berkeupayaan untuk membiayai projek pembangunan dan program kebajikan rakyat.
Kesimpulan
Kenaikan gaji minimum kepada RM1,700 mempunyai kesan positif kepada pekerja dan masyarakat, terutama dalam meningkatkan taraf hidup dan mengurangkan ketidaksamaan pendapatan.
Namun, ia juga menimbulkan cabaran kepada majikan, ekonomi, dan daya saing negara jika tidak diurus dengan baik.
Untuk memastikan kesannya positif, kerajaan perlu kepada mekanisme-mekanisme tertentu seperti mengawal inflasi agar kenaikan gaji tidak diiringi dengan kenaikan harga barang yang mendadak.
Menyediakan insentif kepada PKS agar mereka mampu menampung kenaikan kos gaji.
Selain itu, menggalakkan automasi dan peningkatan produktiviti untuk memastikan perniagaan tetap kompetitif dan memastikan polisi ekonomi yang seimbang supaya kenaikan gaji benar-benar memberi manfaat kepada rakyat tanpa menjejaskan daya saing negara.
Prof Madya Dr Shuhairimi Abdullah ialah Ketua Jabatan Bahasa & Pengajian Umum, Fakulti Perniagaan dan Komunikasi, Universiti Malaysia Perlis (UniMAP). Tulisan ini adalah pandangan penulis.