Perkhidmatan Bagasi Haji khusus untuk jemaah Haji! Di Mekah dan Madinah! 7 kaunter di hotel-hotel!

Published by
KitaReporters


Pos Malaysia Berhad, penyedia perkhidmatan pos dan bungkusan nasional, melalui perkhidmatan kuriernya, Pos Laju dengan kerjasama Lembaga Tabung Haji, berbangga mengumumkan kesinambungan Perkhidmatan Bagasi Haji khusus untuk jemaah Haji Malaysia yang menunaikan ibadah Haji di kota suci Mekah dan Madinah pada tahun ini (2024). 

Sejak tahun 1998, Pos Laju telah dilantik oleh Lembaga Tabung Haji sebagai penyedia perkhidmatan pengurusan barangan peribadi jemaah Haji, untuk memastikan penghantaran yang lancar dan selamat bagi barang-barang berharga mereka ke Malaysia dan negara-negara ASEAN terpilih. 

Pos Laju juga bersedia sepenuhnya untuk menawarkan pengalaman perkhidmatan yang dipertingkat sepanjang tempoh musim haji untuk tahun ini. 

Pos Laju menyediakan penyelesaian penghantaran yang komprehensif untuk bagasi dan kotak, sama ada ke Malaysia atau negara-negara ASEAN yang lain serta seluruh dunia. 

Perkhidmatan ini boleh didapati di hotel-hotel yang ditetapkan dan perkhidmatan pengambilan percuma juga disediakan dari lokasi penginapan jemaah untuk keselesaan dan kepuasan jemaah haji.

Selain itu, Pos Laju menawarkan pengendalian khusus untuk penghantaran al-Quran ke Malaysia, termasuk penggunaan pelekat khas untuk membezakan kotak ini dari yang lain. 

Kotak-kotak ini akan diurus dengan penuh berhati-hati, tidak diletakkan di lantai atau ditindih di bawah kotak-kotak yang lain, seterusnya mengukuhkan komitmen syarikat untuk memenuhi keperluan rohani pelanggan dengan penuh hormat dan teliti. 

Pos Laju telah mengukuhkan jenamanya sebagai pilihan utama dalam kalangan jemaah haji dalam penghantaran al-Quran dengan prosesnya yang teliti. 



Pos Laju bertekad untuk meningkatkan aksesibiliti perkhidmatannya dengan mengendalikan tujuh kaunter yang terletak di hotel-hotel yang ditetapkan di Mekah dan Madinah, dan disokong oleh 30 kakitangan dari Malaysia. 

Kaunter-kaunter ini terletak di Abraj Al-Janadriyah, Qasr Al Janadriyah, Masat Al-Badaya, Zwar Al-Bit, Al-Fajer Al-Badya 2, dan Jawharat Al-Bit di Mekah serta Emmar Royal di Madinah di mana kakitangan Pos Laju yang berdedikasi akan bersedia untuk membantu dengan segala keperluan jemaah Haji. 

Kaunter Pos Laju akan beroperasi dari pukul 7:30 pagi hingga 11:00 malam (waktu tempatan) dan jemaah haji akan memiliki pilihan untuk membeli kotak Pos Laju dalam saiz kecil, sederhana, dan besar untuk barang-barang yang akan dihantar ke rumah mereka dalam tempoh tujuh hingga 14 hari bekerja. 

Kaedah pembayaran yang tersedia adalah transaksi dalam Riyal Saudi di kaunter di Mekah dan Madinah atau tunai ketika penghantaran (COD) setelah menerima penghantaran mereka di Malaysia. 

Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pos Malaysia, Charles Brewer, menekankan komitmen Pos Malaysia dan menyatakan: "Seiring dengan ketibaan musim haji 2024, Pos Laju kekal bersedia untuk memelihara kesucian dan kepentingan ibadah ini bagi semua jemaah haji Malaysia. 

"Pasukan kami yang berdedikasi di Mekah dan Madinah akan memastikan bahawa setiap barangan yang diamanahkan kepada kami, seperti al-Quran dan bagasi peribadi, diuruskan dengan sepenuh perhatian dan profesional mengikut standard piawaian yang tertinggi.” 

“Dengan rangkaian penghantaran jarak terakhir yang meyantuni lebih daripada 11 juta alamat, kami menawarkan ketenangan fikiran kepada semua jemaah haji Malaysia bahawa barang-barang mereka akan selamat dihantar ke mana sahaja mereka berada di Malaysia. 

"Kami menyasarkan kira-kira 250 tan bagasi dan barangan untuk dihantar tahun ini (2024),” tambah beliau. 



Melalui inisiatif ini, Pos Laju memberikan keutamaan kepada kepulangan yang lancar bagi para jemaah.  

Dengan memastikan perkhidmatan yang boleh dipercayai, kemudahan dan pengurusan cermat bagasi dan barangan peribadi para jemaah, Pos Laju akan memastikan jemaah dapat memberi tumpuan pada ibadah haji dengan selesa, tanpa sebarang kerisauan apabila mereka pulang ke tanah air. 

Untuk sebarang pertanyaan lanjut berkenaan perkhidmatan bagasi haji ini, jemaah haji boleh menghubungi Pos Malaysia di AskPos di www.pos.com.my/#askpos, iaitu dalam ruangan chat dalam laman sesawang kami, dan talian khas di +603 2267 2267 (sambungan 7130). - KitaReporters/Kenyataan Media

13
12
0
8
0

Copy Link: