TERPANGGIL saya untuk berkongsi mengenai Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah yang satu ini sebaik sahaja baginda dinobatkan sebagai Ikon Kraf 2019 di New Delhi, India pada Sabtu (7/12/2019) lalu. : KitaReporters.com


Selayaknya anugerah itu untuk baginda yang tidak pernah kenal erti penat dalam memperjuangkan kecintaannya terhadap sesuatu perkara.

Seketika teringat saya akan senaskah fail yang saya temui di pejabat baginda di Kuantan, Pahang yang mengandungi surat-surat kiriman bekas Perdana Menteri Singapura, mendiang Lee Kuan Yew kepada Tunku Azizah kira-kira 10 tahun lalu.

Saya memohon perkenan kepada baginda untuk membuka fail berkenaan dan gembira bukan kepalang apabila Tunku Azizah bukan sahaja membenarkan saya membaca surat-surat tersebut, malah berkongsi cerita di sebalik kiriman itu.

Aura Tunku Azizah cukup hebat. Masakan tidak seorang pemimpin yang hebat seperti Lee Kuan Yew menulis surat dan memuji keperibadian baginda.

Dunia mengetahui akan karektor Lee Kuan Yew yang jarang sekali memberi pujian melainkan kritikan.

 


Mungkin apa yang mendiang nampak ke atas keperibadian baginda selama ini hanya dizahirkan dalam sepucuk surat bertarikh 15 Ogos 2009.

Sebelum itu pada 2 Julai 2009, mendiang mengirim warkah kepada ayahanda Tunku Azizah, Almarhum Sultan Iskandar ibni Almarhum Sultan Ismail memaklumkan bahawa Almarhum sangat bertuah dikurniakan puteri seperti  baginda dan semua itu di luar pengetahuan Tunku Azizah.

Antara bait-bait yang ditulis: “I write to tell you that I was honoured and happy to meet your daughter, Princess Azizah, whose marriage 23 years ago at the Istana Johore to the Tengku Mahkota of Pahang my wife and I attended at your invitation.

"We met at her residence in Indera Mahkota. I found her a capable and astute Consort of the Tengku Mahkota, with multiple projects appropriate for her position as the future Sultanah. She is credit to you."

Pada baris akhir surat berkenaan, sekali lagi Lee Kuan Yew menegaskan bahawa Tunku Azizah seperti ‘aset’ atau ikon paling berharga kepada rakyat dan Tengku Ampuan Pahang pada masa depan. 

Menitipkan bahawa Tunku Azizah sebagai seorang anak yang cukup membanggakan.

Almarhum Sultan Iskandar tidak pernah memberitahu Tunku Azizah atau sesiapa mengenai surat berkenaan sehingga beberapa hari sebelum kemangkatannya, almarhum memaklumkan kepada bonda baginda mengenai surat berkenaan.

"Lee Kuan Yew ada tulis surat pasal Azizah." Itu sahaja titah ringkas almarhum kepada almarhumah Sultanah Zanariah.

 


Tunku Azizah ketika diminta berkongsi sisi berkenaan pada mulanya agak keberatan kerana hanya mahu menyimpan sendiri kisah berkenaan.

Baginda bertitah selama 10 tahun ini tidak pernah langsung bercerita berkenaan surat-surat kiriman mendiang kepada sesiapa termasuk Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah dan juga kepada paduka kekanda mahupun paduka adinda.

"Saya malu nanti orang tahu pula saya dipuji. Apabila dipuji saya bimbang dikata pula berangan. 

"Tetapi saya betul-betul terperanjat dan tidak menyangka sama sekali seorang pemimpin negara yang saya hormati akan mengirim surat kepada ayahanda dan bercakap perihal saya. Rasa nak pengsan.

"Ketika saya baca surat itu 10 tahun lalu, daripada berdiri saya jatuh terduduk. Kadangkala terfikir mungkin sebab sambal belacan yang sering saya kirim agaknya menjadikan ikatan antara saya dan Lee Kuan Yew erat,” titah baginda.


"Jika diimbau, saya mengenali mendiang yang mesra saya panggil ‘Uncle Harry’ atau Dato’ Lee sudah lama.

 "Seminggu sebelum saya akad nikah, mendiang berkunjung ke rumah (istana) dan saya masak ketam. Saya tengok mendiang sungguh berselera dan makan sehingga habis sambil memberitahu masakan saya sedap.

"Saya masih ingat mendiang hadiahkan saya permaidani hijau dan bawa sekumpulan wartawan dari Singapura (Singapore Broadcasting Corporation) membuat liputan majlis pernikahan saya,” titah baginda sambil mengenangkan Lee Kuan Yew sebagai pemimpin yang hebat.

Tunku Azizah bertitah, baginda sehingga kini masih terfikir apabila Lee Kuan Yew menulis surat kepada ayahanda seolah-olah seperti melaporkan keadaan Tunku Azizah di Pahang.

"Agaknya kalau saya buat perkara tidak betul pun ayahanda saya akan tahu.


"Apa yang saya kagum dengan mendiang adalah setiap kali berbual dia akan bertanya keadaan anakanda-anakanda saya, mendiang gembira apabila saya memberitahu anakanda-anakanda bersekolah di sekolah kerajaan dan fasih berbahasa Melayu serta Inggeris. 

"Mendiang berpesan kena tahu bahasa Melayu kerana ia bahasa kebangsaan dan mesti habis belajar hingga ke universiti,” titah baginda.

Tunku Azizah cukup terharu apabila apa sahaja pemberiannya kepada mendiang sangat dihargai meskipun hanya sambal belacan.

Selain makanan dan kain tenun, baginda juga menghadiahkan buku kepada pemimpin itu.

Tunku Azizah amat berbangga apabila buku-buku pemberian baginda kepada mendiang seperti buku masakan diletakkan di National Library of Singapore yang pastinya memberi manfaat berpanjangan kepada semua. - KitaReporters.com


76
9
1
1
4

Copy Link: