KENAL APA 'TETUANG'?? TANYA SAMA ITU ROZALI...
Published byJika ditanya apa itu tetuang kepada generasi muda hari ini, agak-agaknya apakah jawapan yang diberikan. Apakah ia sejenis haiwan atau alat muzik? Ataupun mereka tidak pernah mendengar perkataan itu? : KitaReporters.com
Inilah rupa tanduk kerbau yang asal sebelum ditukar menjadi sejenis alat muzik tradisional 'tetuang'.
Jom kenal apa itu 'tetuang'. Ada pertalian 'darah' antara keduanya!
Tetuang sebenarnya diperbuat daripada tanduk kerbau dan dijadikan alat perhubungan masyarakat Melayu suatu ketika dahulu yang digunakan untuk memanggil atau memberitahu sesuatu.
Ironinya, 'alat muzik' tradisional yang boleh mengeluarkan bunyi dan gema melalui getaran udara yang dihasilkan dengan teknik tiupan itu sudah semakin dilupakan hari ini.
Bagaimanapun, Rozali Abdul Rani, 47, dari Taman Setia Jasa, Jerantut, Pahang masih menyimpan rasa 'kasih dan sayang' dengan mengambil inisiatif memperkenalkan kembali tetuang kepada generasi muda hari ini.
Rozali membuat tetuang di bengkel yang terletak di rumahnya sejak 23 tahun lalu sebagai usaha untuk menghidupkan kembali alat komunikasi masyarakat Melayu.
Rozali Abdul Rani, 47 , penduduk Taman Setia Jasa, mengambil inisiatif membuat tetuang di bengkel yang terletak di rumahnya demi memperkenalkan tetuang kepada generasi hari ini.
"Bukan senang untuk mendapatkan tanduk kerbau kerana kebiasaannya kerbau disembelih pada musim perayaan sahaja.
"Ada ketikanya saya perlu menunggu dalam jangka waktu yang lama dan kerap menghubungi pemilik kerbau jika ada haiwan ternakannya yang hendak disembelih," katanya ketika ditemui baru-baru ini.
Beliau yang bertugas sebagai guru di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Temerloh Jaya, Temerloh bukan sahaja pandai membuat alat berkenaan tetapi turut mahir meniupnya.
"Saya tidak mengambil masa lama belajar membuat tetuang malah tidak langsung meletakkan alat bantuan bagi mengeluarkan bunyi, sebaliknya menggunakan kaedah getaran bibir sahaja.
"Nampak mudah untuk meniupnya, namun bukan sebarang orang boleh berbuat demikian kerana memerlukan kaedah getaran pada bibir dan hanya yang 'berkebolehan' boleh melakukannya," katanya yang berasal dari Kuala Mai, Kuala Krau, Kelantan.
Rozali menunjukkan cara meniup sebagai tetuang.
Untuk meniup alat tetuang ini sebenarnya agak sukar juga.
Ia bukanlah semudah meniup seksefon seperti yang dimainkan oleh Kassim Selamat (Allahyarham Tan Sri P Ramlee) dalam filem legenda Ibu Mentuaku. Sumbang jadinya!
Tanduk kerbau perlu dicuci sehingga bersih untuk menghilangkan baunya dan ada pemilik tetuang mencucinya menggunakan klorok.
Di bahagian hujung yang tajam dicantas untuk menampakkan lubangnya. Pada bahagian lubang inilah tempat untuk ditiup dan tidak perlu buat lidah dan lubang-lubang seperti seruling.
Rozali berkata, kerana minat dan kecintaannya pada alat muzik 'bertanduk' itu dia sentiasa membawanya ke mana sahaja dia pergi, malah kerap mendapat undangan membuat persembahan bagi memperkenalkan tetuang itu kepada masyarakat.
Ketika ini tetuang bukanlah sejenis alat yang dianggap penting dalam sesebuah kumpulan muzik atau orkestra. Ia mungkin digunakan untuk sesuatu tujuan yang lain seperti gimik perasmian atau pada majlis pelancaran program.
Razali menunjukkan tetuang yang dihiasi tali pengikat dan sentiasa dibawa ke mana sahaja beliau pergi.
Katanya lagi, suatu ketika dahulu tetuang hanya dimiliki orang tertentu sahaja kerana dibimbangi disalah guna.
"Kebiasaannya tetuang akan dipegang oleh ketua kampung, penghulu atau pun orang-orang yang dipertanggungjawab.
"Sekiranya tetuang ini dimiliki oleh orang ramai, ia tidak boleh dijadikan sebagai semboyan, takut nanti bila semua orang tiup, kita tidak tahu jika tiupan itu menandakan suasana huru-hara, malapetaka ataupun musibah yang melanda atau sekadar tiupan untuk hiburan sahaja,” katanya.
Razali berkata, pada masa dahulu tetuang ini amat bermakna kerana ketika itu tidak ada alat komunikasi yang boleh menghubungkan dari satu tempat ke tempat yang lain.
"Jika berlaku kecemasan atau untuk memberitahu sesuatu yang amat penting, tetuang akan ditiup dan penduduk sedia maklum mengenainya," katanya.
Bagaimanapun katanya, alat itu kini sudah mula mendapat 'tempat' dalam beberapa kumpulan kebudayaan yang memperjuangkan alat muzik dan lagu-lagu rakyat di beberapa buah negeri.
"Saya amat berharap generasi muda hari ini tidak melupakan terus 'warisan' bangsa ini bak kata pepatah 'tak lapuk dek hujan tak lekang dek panas'," tegasnya.
Razali berkata, harga bagi satu tetuang bermula dengan RM80.00 bergantung pada saiz dan boleh mencecah ratusan atau ribuan ringgit.
Katanya, tetuang yang diperbuat daripada tanduk kerbau balau lebih mahal kerana sukar diperoleh.
Beliau turut membuat tetuang daripada tanduk lembu yang saiznya lebih kecil. - KitaReporters.com