TRAGEDI 'CINTA TERLARANG' PRINCI BAWA MAUT
Published byCINTA memang indah tetapi ia tidak semestinya berakhir dengan bahagia. Malah cinta juga boleh membawa maut. : KitaReporters.com
Begitu juga kasih seorang bapa kepada anak. Walaupun sepatutnya menjadi pelindung, adakalanya bapa berlaku kejam sehingga sanggup meragut nyawa anak sendiri.
Princi, 22,
gadis cantik lulusan universiti, datang dari Jaunpur, Uttar Pradesh untuk
bekerja di Bhandup, Mumbai. Dia meninggalkan ibu dan tiga adik beradik untuk
mencari rezki.
Bukan
masalah untuknya berada di bandar raya besar itu. Bapanya, Arvind Tiwari, memang sudah lama di Mumbai dan
bekerja dengan sebuah syarikat pelancongan di Malad, utara Mumbai.
Princi tinggal
bersama bapanya di sebuah kawasan perumahan golongan berpendapatan rendah di
Indira Nagar, Titwala, Mumbai.
Namun tidak diduga kedatangan Princi dari kampung halaman berakhir dengan tragedi. Dia maut dibunuh oleh bapanya sendiri.
Kesalahan Princi hanyalah kerana dia yang beragama Hindu, mahu berkahwin dengan rakan sekerja yang beragama Islam.
Bapanya bukan sahaja membunuh, malah lebih kejam telah memotong badan Princi kepada beberapa bahagian, memasukkannya dalam dua beg dan dibuang.
PRINCI maut dibunuh oleh bapa sendiri.
Memetik laporan The Indian Express, segalanya bermula setelah enam bulan Princi
bekerja dan jatuh cinta dengan lelaki Islam. Namun bapanya tidak merestui hubungan berlainan agama itu.
Kedua beranak itu kerap bertengkar sejak bapanya mengetahui hubungan mereka.
Akhirnya si bapa bertindak membunuh anaknya sendiri apabila si anak tetap bertegas mahu berkahwin dengan lelaki pilihannya.
Setelah
membunuh dan memotong-motong mayat Princi, bapanya memasukkan sebahagian
daripada mayat yang dipotong ke dalam
sebuah beg dan kemudian membawanya menaiki sebuah beca bertujuan membuang mayat
tersebut.
Dari kediamannya, Arvind menaiki beca ke stesen kereta api Titwala dan menaiki kereta api hingga ke stesen Kalyan, yang juga dalam kawasan metro Mumbai.
Dari situ dia menaiki beca untuk ke Bhiwandi, sebuah kawasan yang terkenal dengan industri tekstil di India. Dia merancang membuang beg berisi mayat tersebut di situ.
Bagaimanapun
ketika itu mayat mula berbau. Pemandu beca bertanya kepada Arvind apa di dalam beg
tersebut kerana berbau sangat busuk. Arvind panik dan melarikan diri,
meninggalkan beg tersebut dalam beca.
Pemandu beca yang mengesyaki sesuatu kemudian memaklumkan kepada rakan-rakan pemandu dan membuat laporan polis.
Anggota polis yang sampai ke tempat kejadian membuka beg tersebut dan mendapati keratan mayat bahagian bawah badan dalam beg berkenaan.
Satu laporan bunuh kemudian dibuat. Pihak polis lantas menjalankan siasatan dengan meneliti rakaman kamera litar tertutup (CCTV) di kawasan stesen kereta api Kalyan.
Melalui rakaman ‘ke belakang’, mereka mengesan orang yang mereka syaki menaiki beca dari stesen Kalyan.
Rakaman
juga menunjukkan dia datang ke Kalyan dengan menaiki kereta api dari Titwala. Perjalanan
dari kawasan perumahan ke setesen Titwala pula dengan menaiki beca.
Polis
berjaya mengesan pemandu beca yang membawa Arvind ke stesen Titwala. Dia
memberitahu mengambil Arvind dari
kawasan Indira Nagar, Titwala.
Selepas
menemu bual pemandu beca berkenaan, polis berjaya menghasilkan lakaran lelaki
yang dimaksudkan. Penduduk tempatan mengenali lakaran tersebut sebagai Arvind.
Polis kemudian pergi ke rumah Arvind dan bertanya mengenai anaknya. Walaupun pada mulanya Arvind bertegas mengelak memberi jawapan, dia akhirnya mengaku membunuh anaknya.
Hasil soal siasat, polis dengan bantuan penyelam dan nelayan berjaya menemui beg mengandungi keratan bahagian atas mayat Princi di Sungai Ulhas.
Arvind
dikatakan membuang beg tersebut dari jambatan Gandhari dan beg ditemui dua kilometer dari tempat ia
dibuang.
Siasatan rapi dengan bantuan CCTV serta pemandu beca membolehkan polis menangkap Arvind dengan cepat. Apakah balasan bakal diterima oleh Arvind selepas perlakuan kejam membunuh anak sendiri?
Mahkamah akan menentukan. - KitaReporters.com