KERETA TERBANG VS HELIKOPTER BUAT SENDIRI

Published by
KitaReporters
BERDEPAN kesesakan jalan raya setiap hari di ibu kota pasti menyeksakan jiwa, bukan sahaja memenatkan tetapi lebih penting membuang masa begitu sahaja. Malah, perjalanan yang dekat akan mengambil masa yang panjang sekiranya terperangkap dengan kesesakan jalan raya. : KitaReporters.com

JUJUN dibantu oleh anak lelaki, Febriansyah dalam pembinaan helikopter. - Foto WULUNG WIDARBA/AFP 


Keadaan tersebut mendorong seorang pemuda dari Jawa Barat, Indonesia mencipta helikopter daripada bahan terpakai sebagai alternatif bagi mengelak kesesakan lalu lintas di Sukabumi.

Jujun Junaedi berkata, kesesakan jalan raya (di Indonesia disebut "macet") amat mengecewakan kerana terpaksa menghabiskan minyak selain membuang masa untuk sampai ke ibu kota.

JUJUN membelanjakan RM8,762 bagi merealisasikan impian mencipta helikopter.


“Masalah kesesakan jalan raya amat mengecewakan. Ia hanya menghabiskan minyak kereta dan amat membuang masa apabila jalan sesak untuk sampai ke Jakarta.

“Ketika berdepan kesesakan itu, mula berasa sakit hati sebaik tiba di destinasi yang dituju,” jelasnya.

Pemuda berusia 42 tahun mendedahkan dia membelanjakan RM8,762 (30 juta rupiah) bagi mencipta helikopter sepanjang 8 meter berkapasiti motor 700 cc dengan menggunakan alat ganti serta bahan terpakai.

Dia yang merupakan pemilik bengkel kereta itu berkata, dia kerap menonton beberapa video panduan dalam YouTube bagi mendapat inspirasi merealisasikan impian itu.

Lebih beruntung kerja kreatif itu turut dibantu oleh anak lelakinya, Febriansyah yang berusia 16 tahun serta beberapa jiran sekitar kampung.


“Apabila helikopter ini dapat melakukan penerbangan, baru saya akan berpuas hati,” katanya yang bakal melakukan penerbangan sulungnya pada awal tahun 2020.

Bagaimanapun, Jujun bukanlah individu pertama yang pernah mencipta helikopter sendiri kerana dua tahun lalu seorang lelaki warga Afrika Selatan menggunakan kepingan besi dan pelbagai bahan terpakai untuk membina helikopter.

Malah, pada 2016, seorang petani dari China turut mendapat perhatian apabila dia menghabiskan masa tiga tahun mencipta helikopter sendiri. Namun sayangnya, ciptaan tersebut gagal diterbangkan.

Sementara itu, isteri Jujun, Yeti berkata, apa yang menjadi cabaran ialah jumlah kos yang perlu dikeluarkan untuk mencipta helikopter kebanggaan suaminya.

“Ia membabitkan wang yang banyak untuk dia membeli enjin dan kipas helikopter. Jika semua dibelanjakan untuk helikopter ini, kami mungkin langsung tidak ada wang untuk membeli makanan,” kata Yeti.

Helikopter yang dinamakan Gardes ZN-77 singkatan Garuda Desa Jujun 77 itu diyakini mampu untuk terbang.

Jom kita saksikan video pembikinan helikopter daripada pemuda Indonesia ini. - KitaReporters.com

 

 

 

.

9
4
0
0
1

Copy Link: