MUDA-MUDA LAGI!! TIGA BERADIK KENA CEKUP

Published by
KitaReporters
SEPANDAI-PANDAI tupai melompat, akhirnya jatuh ke tanah juga... bukan seekor, tapi tujuh ekor!! Lebih menakjubkan, tiga "ekor" tu, adik beradik. : KitaReporters.com

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Mohammad menunjukkan barangan yang dirampas pada sidang media pada 17 Februari 2020.

Tiga beradik adalah antara tujuh suspek yang ditahan polis dalam Operasi Op Pintu dan Op Lejang bagi memburu penjenayah pecah rumah dan mencuri motosikal sekitar daerah Besut selama tiga hari yang berakhir pada Ahad, 16 Februari 2020.

Ketua Polis Daerah Besut, Superintendan Abdul Rozak Mohammad berkata, tangkapan tujuh suspek itu dilakukan dalam operasi Op Pintu dan Op Lejang, yang membabitkan pegawai dan anggota Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Ibu Pejabat Polis Daerah Besut berikutan peningkatan kes pecah rumah dan curi motosikal sepanjang tahun 2020.

Katanya, tangkapan pertama seorang lelaki berusia 22 tahun dalam serbuan dibuat di sebuah resort di Kampung Cerang Ruku, Pasir Puteh,Kelanatan, pada  jam 2  petang Khamis, 13 Februari 2020.

Beliau berkata, hasil tangkapan suspek pertama itu membantu pihak polis meneruskan  gerakan dan berjaya mengesan enam lagi suspek lain di beberapa lokasi sekitar daerah Besut.

Abdul Rozak berkata, tiga beradik yang tahan itu berusia antara 16 dan 22 tahun, yang juga adik kepada suspek pertama.

Ketua Polis Daerah Besut Superintendan Abdul Rozak Mohammad


“Polis percaya dengan penahanan tujuh suspek itu, ia dapat membantu menyelesaikan lapan kes pecah rumah dan curi motosikal yang dilaporkan berlaku di daerah itu tahun 2020 ini,” katanya pada sidang media pada Isnin, 17 Februari 2020.

Katanya, menerusi operasi itu polis turut merampas pelbagai jenis barangan berharga termasuk telefon bimbit, komputer riba, kamera, topi kaledar, jam berjenama, barang kemas dan motosikal.

Beliau berkata, jumlah hasil barangan yang dirampas itu dianggarkan bernilai RM70,000 termasuk wang tunai sebanyak RM3,700.

Katanya, suspek paling muda berumur 16 tahun dipercayai sudah lama tidak bersekolah dan terpengaruh dengan aktiviti jenayah oleh kumpulan terbabit sejak setahun lalu.

Abdul Rozak berkata, semua suspek terbabit kini ditahan reman selama lapan hari mulai Ahad, 16 Februari 2020 di Ibu Pejabat Polis Daerah Besut, Kampung Raja, untuk siasatan lanjut. - KitaReporters.com

0
7
0
0
1

Copy Link: