"KLIA express to airport... best way to travel".  : KitaReporters.com


Ciap Raja Permaisuri Agong, Tunku Hajah Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dalam laman Twitter peribadi baginda ketika bercemar duli menggunakan pengangkutan awam KLIA Ekspres ke Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur dari KL Sentral kira-kira pukul 7 pagi hari ini (6/12/2019).

Baginda boleh memilih untuk menaiki apa sahaja kenderaan mewah, namun Tunku Azizah secara spontan memilih KLIA Ekpress untuk ke lapangan terbang sempena keberangkatan ke India kali ini.

"Ini bukan kali pertama dan terakhir saya ke KLIA menggunakan kemudahan ini. Saya lebih selesa memilih ERL untuk ke KLIA," titah baginda.

Keperibadian Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah yang satu inilah sering membuatkan rakyat termimpi-mimpikan untuk bertemu dengan baginda.

Malah, warganet pula tidak jemu-jemu untuk mengikuti aktiviti seharian baginda menerusi ciapan-ciapan menarik Tunku Azizah dalam laman twitter.

Kali ini Tunku Azizah dalam perjalanan ke New Delhi bagi menerima persembahan Anugerah Kraf Antarabangsa sempena pengiktirafan kepada baginda sebagai Icon Craft Of The Year oleh World Craft Council (WCC) esok (7 Disember 2019) di India.

Umum mengetahui akan kecintaan baginda terharap seni kraf tradisional sehingga mendorong Tunku Azizah turun padang ke pelosok daerah, negeri dan negara bagi melihat  kerja tangan itu serta membuatnya sendiri.

Perjuangan baginda dalam memartabatkan seni kraf warisan negara tidak perlu dipandang enteng dan seharusnya dikagumi kerana berjaya berjaya mengangkat seni itu ke persada dunia.

Lihat sahaja fabrik Tenun Pahang Diraja yang bakal sebaris dengan jenama mewah antarabangsa seperti Hermes.

Maka tidak hairanlah apabila baginda dinobatkan sebagai Ikon Kraf Dunia! - KitaReporters.com



27
7
0
0
1

Copy Link: