TERBAIK BAHADUR!! CACAT TAK JADI HALANGAN
Published byKECACATAN dan kekurangan pada diri bukan menjadi penghalang bagi sesetengah golongan kurang upaya (OKU) untuk maju dan berjaya, malah ia menjadi motivasi dan semangat untuk berdikari sehingga berjaya seperti golongan normal. : KitaReporters.com
SERAMAI 1,000 graduan menerima ijazah pada majlis konvoksyen Universiti Limkokwing di Pusat Konvokesyen Putrajaya (PICC), Putrajaya pada 19 Disember 2019.
Mempunyai masalah pendengaran dan bisu tidak mematahkan semangat seorang anak muda, Santa Bahadur Bir Bahador, 23, untuk menamatkan pengajian dalam bidang Ijazah Sarjana Muda Fotografi dari Fakulti Reka Bentuk, Universiti Limkokwing (LKW) di Cyberjaya, Selangor.
Santa Bahadur adalah antara 1,000 graduan yang menerima ijazah pada majlis konvoksyen serta menerima Anugerah Pemimpin Masa Depan LKW atas kegigihannya menamatkan pengajian.
Sijil dan anugerah telah disampaikan oleh Tengku Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah di Dewan Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC) pada Khamis (19/12/2019) lalu.
Graduan yang mempunyai darah kacukan India dan Nepal yang dibesarkan di Rawang, Selangor itu berkata, beliau tidak berputus asa dan sebaliknya menjadikan kekurangan dirinya sebagai motivasi untuk berjaya dalam bidang diceburi.
Menurut beliau, memiliki kekurangan sebegini membuatkan dirinya tidak dapat berkomunikasi, namun dengan bantuan pensyarah dan raakan-rakan yang mengikuti jurusan sama banyak membantu termasuk menulis di kertas dan telefon mudah alih.
Anak bongsu daripada tiga beradik itu berkata, beliau mengucapakan ribuan terima kasih kepada pensyarah dan rakan-rakan yang banyak membantu sepanjang menuntut di LKW sehingga berjaya menamatkan pengajian.
Katanya, sebelum ini, beliau berasa tiada keyakinan diri tetapi tetap bersabar dan kekurangan itu membuatkan dirinya menjadi lebih kuat serta bersemangat untuk berjaya seperti orang lain.
GRADUAN Orang Kurang Upaya (OKU) pekak dan bisu, Santa Bahadur Bir Bahador, penerima Sarjana Muda Fotografi dari Fakulti Reka Bentuk, Universiti Limkokwing turut menerima Anugerah Pemimpin Masa Depan LKW pada majlis konvoksyen di Putrajaya.
"Saya memilih LKW untuk melanjutkan pengajian kerana universiti ini mengalu-alukan pelajar golongan (OKU), maka saya mengucapkan jutaan terima kasih kepada Pengasas LKW, Tan Sri Lim Kok Wing kerana memberi peluang bagi saya mencapai hasrat dan cita-citan saya dengan menceburi bidang fotografi yang diimpikan sejak dari kecil.
"Cabaran semasa belajar adalah faktor komunikasi dan sebelum ini, saya pernah berputus asa dan mengambil keputusan untuk meninggalkan universiti.
"Namun kembali semula selepas memikirkan masa depan dan keluargà.
"Saya bukan berasal dari keluarga senang. Ibu hanya suri rumah, manakala ayah pula seorang pesara dan merekalah yang banyak melakukan pengorbanan serta memberi motivasi sehingga saya berjaya. "Kunci kejayaan saya adalah setiap pengalaman yang dilalui itu menjadi suatu cabaran, manakala setiap kesalahan yang dilakukan itu pula membantu kita mempelajari sesuatu yang baharu.
"Ramai yang mengatakan pendidikan adalah kunci kejayaan, tetapi bagi saya pendidikan adalah suatu transformasi atau bagai sebatang lilin yang akan menyinari jalan kehidupan kita ketika dalam kegelapan dan menunjukkan kejelekan wajah diri kita sebenar.
"Harapan saya selepas ini ada pihak yang sudi menerima saya bekerja bagi mendapatkan pekerjaan tetap untuk masa depan dan membantu keluargà," katanya dengan bertutur menggunakan tulisan yang dibantu oleh pensyarah fotografi, Azmil Aswad.
TENGKU Arif Temenggong Pahang, Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah (tengah) bersama penerima anugerah pada majlis konvokesyen Universiti Limkokwing di Putrajaya.
Azmil berkata, anugerah itu adalah berdasarkan kepada kesungguhan dan kecemerlangan akademik dicapai oleh Bahadur sepanjang beliau mengikuti kursus di universiti itu.
Menurut Azmil, walaupun mengalami kekurangan diri, Bahadur tetap berusaha dan meletakkan kedudukan dirinya sama taraf dengan pelajar normal dan berjaya menjadi pelajar terbaik pada peringkat akhir semester dengan keputusan Purata Nilai Gred Kumulatif (CGPA) 4.0.
"Beliau adalah seorang pelajar yang rajin dan tidak pernah berputus asa dan setiap perkara yang beliau tidak faham akan datang berjumpa saya secara berkali-kali sehingga dia berpuas hati dan faham.
"Bahadur juga adalah seorang pelajar yang suka melawak dan sifat penghibur itu sering diluahkannya dengan kawan-kawan yang mengambil jurusan sama dengan beliau.
"Pemilihan anugerah itu dinilai oleh pensyarah dan pihak universiti, sememangnya beliau layak dan kejayaan beliau itu juga dapat dijadikan sebagai motivasi kepada pelajar OKU lain di LKW dan pelajar lain," katanya kepada wartawan KitaReporters.com.
MENTERI Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari (kanan) menerima Anugerah Doktor Kehormat dan Kepimpinan yang disampaikan Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah (tengah).
Pada majlis itu, LKW turut menyampaikan dua anugerah khas iaitu Anugerah Doktor Kehormat dan Kepimpinan kepada Menteri Besar Selangor, Datuk Seri Amirudin Shari dan Anugerah Kehormat Doktor dan Keusahawanan kepada Pengarah Urusan dan Pengerusi Institut Pengurusan Kumpulan Chaudhary, Nepal (CGIM), Arun Chaudhary.
Anugerah kepada Amiruddin itu diberikan atas kepimpinan cemerlang dan dedikasi beliau untuk kesejahteraan dan kebaikan warga negeri Selangor,manakala Arun pula sebagai pengiktirafan kepada sumbangannya terhadap pendidikan di Nepal.
Pada majlis itu graduan dari sembilan fakulti menerima anugerah masing-masing mewakili 67 negara terdiri dari fakulti-fakulti Innovation Design, Kreativiti Multimedia, Komunikasi, Media & Penyiaran, Maklumat & Teknologi Komunikasi, Pengurusan Perniagaan & Globalisasi, Senibina & Alam Sekitar, dan Kreatif Fesyen & Gaya Hidup. - KitaReporters.com
PENGERUSI Institut Pengurusan Kumpulan Chaudhary, Nepal (CGIM), Arun Chaudhary menerima anugerah Kehormat Doktor dan Keusahawanan yang disampaikan oleh Tengku Abdul Fahd Mu’adzam Shah Ibni Almarhum Sultan Ahmad Shah (tengah).