SAYA AMBIL "BATU' PADA USIA 14 TAHUN - SOFEA

Published by
KitaReporters

ZAMAN remaja adalah masa kritikal dalam kehidupan seseorang kerana ketika inilah mereka mempelajari pengalaman baharu untuk menyesuaikan diri dengan orang lain, mencuba membuat keputusan terhadap sesuatu perkara dan lain-lain. : KitaReporters.com

Terjebak dengan dadah seawal usianya 14 tahun akibat tekanan keluarga, - Gambar hiasan 


Perubahan dan penyesuaian diri kadangkala mendatangkan tekanan perasaan kepada sesetengah remaja. Untuk mengatasi permasalahan itu, ada yang menggunakan jalan singkat dengan mengambil dadah.

Sofea, 19, adalah salah seorang remaja yang terjebak dengan dadah seawal usianya 14 tahun lagi akibat tekanan keluarga yang menyebabkan beliau nekad mencuba dadah seawal usia ini.

Pada usia 13 tahun, Sofea mula berjinak-jinak dengan mengambil gam dan juga rokok. 

Ini mula terjadi apabila beliau sering lepak dengan rakan-rakan yang mempunyai masalah keluarga dan memilih jalan ini untuk menenangkan jiwa.

"Masa zaman sekolah, sepatutnya pergi sekolah, tapi saya dan kawan-kawan lepak di flat berhampiran rumah untuk menghisap rokok dan gam. 

"Sampai satu hari tu kena buang sekolah. Rasa happy sangat sebab tak payah pergi sekolah lagi dan boleh lepak-lepak dan enjoy. 

Lepak dengan kawan-kawan di flat berhampiran rumah untuk menghisap rokok dan gam. - Gambar hiasan 


"Bukan tu je, nenek pun cakap kalau dah tak minat belajar, tak payahlah sekolah lagi. Masa tu memang ikut cakap nenek sebab dia yang jaga kita. Mak dah meninggal masa umur 6 tahun, ayah pulak lari tinggalkan saya dan abang.

Oleh kerana tiada siapa yang mengambil tahu tentang Sofea, beliau merasa sangat tertekan dengan kehidupannya yang terpaksa menumpang di rumah atuk dan nenek membuatkan dia memilih untuk berkawan dan berseronok bagi melupakan semua masalah ini.

Ketika usia Sofea menginjak 14 tahun, beliau mula mencuba dadah pula kerana kawan-kawan sudah mula mendapatkan stok dari orang dewasa dengan mudah.

"Itulah kali pertama saya mencuba "ais", atau lebih dikenali dengan panggilan “batu” oleh penagih. 

"Masa pertama kali cuba itu, saya menjadi sangat agresif, banyak cakap dan susah nak tidur malam," katanya.

Kawan-kawan sering belanja 'batu', jadi stok selalu sahaja ada dan tidak perlu risau. 


Menurutnya, bagi mendapatkan stok tak susah ketika itu kerana kawan-kawan sering belanja 'batu', jadi stok selalu sahaja ada dan tidak perlu risau.

Ahli keluarga dan orang ramai sedar akan perubahan dirinya ketika mengambil 'batu'. Tetapi mereka tidak dapat membantunya kerana masing-masing sudah punya keluarga.

Sehinggalah satu hari, akibat 'batu' beliau dan pak ciknya bertengkar di rumah hanya kerana ais batu di dalam peti sejuk menyebabkan beliau lari dari rumah setahun mengikut kekasihnya yang merupakan seorang pengedar dadah atau lebih dikenali sebagai 'pusher'.

Sofea mengenali kekasihnya ini bukan kerana dadah tetapi kerana lelaki ini ingin mengubah dirinya menjadi lebih baik dari sekarang, menurut lelaki tersebut semasa pertama mengenali dirinya.

"Masa bercinta dengan dia, saya memang ikhlas cintakan dia walaupun saya baru 18 tahun dan dia sudah berusia 30 tahun. 

"Siapa je tak suka kalau pakwa dia ikhlas dan prihatin kan? Dan paling penting dia supply 'batu'," katanya.

Kerana tiada tempat untuk berteduh selepas meninggalkan rumah, Sofea mengambil keputusan untuk menetap sekali di rumah kekasihnya itu di Desa Pandan.

Semasa bercinta indah belaka, tetapi bila dah tinggal sekali, pelbagai memori hitam yang tidak dapat dilupakan sehingga hari ini membuatkan Sofea berhenti mengambil dadah selama-lamanya.

Kadang-kadang nak makan pun tak ada makanan, tapi jika dah ambil dadah pada hari itu, perut dah tak rasa lapar dan jika dadah itu habis, rasa lapar itu datang balik. - Gambar hiasan


"Kita kan hidup menumpang di rumah pakwa yang bekerja sebagai seorang pusher, memang perit hidup ini kerana asyik kena pukul dan tak diberi makan. 

"Sebabkan sayang tak naklah putus dengan dia. Saya duduk dalam bilik je tak keluar-keluar sebab dia dah pesan jangan keluar kerana di dalam rumah tu, ada lagi dua pasangan yang sudah berkahwin juga mengambil dadah seperti kami.

"Kadang-kadang nak makan pun tak ada makanan, sebab dia tak dapat jual dadah. Jadi kenalah ikat perut. 

"Tetapi jika dah ambil dadah pada hari itu, perut dah tak rasa lapar dan jika dadah itu habis, rasa lapar itu datang balik," ceritanya.

Apa yang lebih menyedihkan, Sofea terpaksa menunggu kekasihnya balik sehingga  4 hari untuk diberi makanan dan juga dadah. 

"Lapar dan ketagih dadah masa itu, saya je tahu rasanya." 

Suatu hari, Sofea dan kekasihnya keluar makan di sebuah restoran mahal bersama-sama dengan tokan dadah yang lain bagi meraikan penjualan dadah mereka pada hari tersebut. 

Hari ini juga telah mengubah kehidupannya kembali bersinar seperti dahulu.

Menurut Sofea, mereka telah ditangkap oleh pihak polis pada hari tersebut.

"Saya diletakkan di penjara Kajang selama 3 bulan dan tidak lagi menemui kekasih dan juga tokan dadah yang bersama-sama dengan kami pada hari tersebut.

"Saya Menyesal kenal dadah, tetapi dadah telah mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih matang dan kenal diri sendiri."  - Sofea


"Semasa kes ini dibicarakan di mahkamah, saya telah dilepaskan oleh mereka dan tidak dijatuhkan apa-apa hukuman," jelasnya. 

Kerana dilepaskan begitu sahaja, Sofea merasakan sangat pelik tetapi bersyukur beliau telah dihantar pulang semula ke rumah ahli keluarganya selepas beberapa bulan menetap di penjara.

Sesampainya di rumah, tiada siapa yang memarahinya kerana melarikan diri dari rumah dan menerima dirinya seadanya. Sofea berjaya berhenti mengambil dadah dan berubah menjadi lebih baik.

"Saya menyesal kenal dadah, tetapi dadah telah mengajar saya untuk menjadi seorang yang lebih matang dan kenal diri sendiri.

"Saya juga berjanji pada diri sendiri untuk tidak mengambil dadah lagi kerana menyesal tak habiskan sekolah seperti kawan-kawan lain. Dadah telah buatkan hilang maruah diri dan keyakinan diri sekarang."  

"Dadah ini dia bukan tenangkan fikiran kita,  tetapi bagi kita banyak lagi masalah adalah. Kalau ambik pun lagi menyusahkan otak dan diri kita je." - Sofea


Kepada golongan remaja di luar sana, jika ada masalah  jangan sesekali ambil dadah nanti menyesal seumur hidup.

"Dadah ini dia bukan tenangkan fikiran kita,  tetapi bagi kita banyak lagi masalah adalah. Kalau ambik pun lagi menyusahkan otak dan diri kita je.

"Jauhkanlah benda sial ini,".

Kini Sofea telah berubah dan tidak lagi mengambil dadah. Beliau juga tidak lagi berkawan dengan rakan-rakan lama yang masih terjebak dengan najis dadah.

Beliau sekarang sedang menyertai beberapa kelas kemahiran untuk mendapatkan ilmu untuk mencari peluang pekerjaan bagi menanggung diri sendiri untuk membalas jasa keluarga yang banyak membantu. - KitaReporters.com

3
1
14
1
3

Copy Link: