TIADA KAKI BUKAN PENGHALANG JADI PENTERNAK
Published byDI MANA ada kemahuan di situ ada jalan. Begitulah dengan Syahrin Naim Saleh yang menjalankan kerja menternak kambing dan biri-biri berhampiran rumahnya di Pasir Pekan, Wakaf Bharu, Kelantan. : KitaReporters.com
Setiap pagi Syahrin akan memantau semua ternakannya.
Walaupun sebagai orang kurang upaya (OKU) kaki sejak lahir, Syahrin sentiasa berusaha meningkatkan taraf hidup dan ekonomi keluarga.
“Bermula awal tahun 2018, saya membeli beberapa ekor kambing untuk mengisi masa lapang. Kini saya mempunyai 28 ekor kambing pedaging dan tenusu,” katanya yang pernah rugi apabila beberapa ekor kambing sakit dan mati, tetapi itu tidak mematahkan semangatnya.
Rutin Syahrin setiap pagi akan ke kandang yang dibina oleh abangnya untuk melepaskan kambing ke padang ragut berhampiran.
Dengan lincah Syahrin bergerak dari rumah menaiki tangga kandang tanpa bantuan sesiapa membuka pintu kandang untuk melepaskan ternakan meragut rumput.
Kakitangan dan pelajar dari Fakulti Perubatan Veterinar UMK melawat ladang ternakan Syahrin.
“Biasanya saya berikan palet sehari sekali dan ubat cacing tiga bulan sekali. Bagi mendapatkan maklumat mengenai ternakan, saya banyak bertanya kepada grup penternak dan mereka yang berpengalaman.
“Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) dan doktor dari Fakulti Perubatan Veterinar, Universiti Malaysia Kelantan (UMK) banyak memberikan khidmat nasihat dan melawat kandang demi memastikan ternakan sentiasa sihat,” katanya yang setiap hari membersihkan kandang untuk keselesaan ternakannya.
Sebelum menternak kambing dan biri-biri, Syahrin membuat pelbagai pekerjaan termasuk mengambil upah menjahit pakaian wanita, langsir dan cadar serta membantu arwah ibu berniaga makanan di kantin sekolah.
“Saya tidak pernah menghadiri sebarang kursus jahitan atau memasak dan hanya belajar sendiri. Mungkin ini bakat yang Allah kurniakan dan pelanggan puas hati dengan kerja saya,” katanya yang mendapat tempahan daripada sahabat, jiran dan saudara-mara di kejiranannya.
Rutin Syahrin setiap pagi akan ke kandang yang dibina oleh abangnya untuk melepaskan kambing ke padang ragut berhampiran.
Disebabkan kekangan masa kerana bilangan kambing dan biri-biri-birinya semakin bertambah, Syahrin hanya fokus kepada ternakan kambing sahaja, termasuk jual beli ternakan, menjual susu kambing dan kambing perap.
Syahrin yang hanya bersekolah sehingga Darjah Enam kerana tidak mahu menyusahkan orang tua serta adik-beradik lain kerana memerlukan pertolongan untuk ke sekolah.
“Saya pergi ke sekolah tanpa bantuan kerusi roda dan ketika itu tidak banyak kemudahan, jadi untuk tidak menyusahkan keluarga saya ambil keputusan berhenti sekolah,” katanya.
Selepas itu Syahrin banyak membantu arwah ibunya yang mendapat tender kantin sekolah dan ketika itulah dia belajar memasak.
Walaupun serba kekurangan anak keenam daripada 10 orang adik-beradik tetap menganggap dirinya seperti orang lain, malah boleh memandu kenderaan. Sebelum itu, Syahrin mengubah suai kenderaannya untuk memudahkannya memandu.
“Ketika itu emak dan ayah ke Kuala Lumpur, jadi saya ambil peluang ini untuk belajar memandu kereta seorang diri, kerana saya fikir sampai bila saya perlu bergantung kepada orang lain untuk bergerak.
"Alhamdulillah akhirnya saya mempunyai lesen memandu," katanya.
Semasa majlis perkahwinan Syahrin dan isterinya Siti Lailah.
Bercerita mengenai kisah pertemuan cinta hatinya - Siti Lailah Mat Husin - Syahrin memandu kenderaan dari Wakaf Bharu ke Peringat untuk berjumpa bakal bapa mertua bagi menunjukkan kesungguhan dan keikhlasannya.
Syahrin mengenali isterinya melalui sepupunya dan mempunyai ciri-ciri seorang wanita impian - penyayang dan suka membantu.
“Ketika itu, dia menggunakan khidmat katering emak saya semasa majlis perkahwinan adiknya,” katanya yang telah enam tahun mendirikan rumah tangga.
Syahrin mengenali isterinya selama tiga bulan sebelum mengambil keputusan bertunang dan tiga bulan selepas itu bernikah.
"Tempoh antara perkenalan dan perkahwinan tidak sampai setahun. Kami bercinta selepas berkahwin. Saya tidak menyangka dia bersetuju menerima lamaran saya.
"Bila saya menyatakan hasrat untuk memperisterikannya, dia meminta saya datang bertemu ibu dan ayahnya untuk mendapatkan restu dan persetujuan mereka.
"Alhamdulillah segala urusan perkahwinan kami dipermudahkan, majlis secara sederhana dan rezeki Allah apabila ada pihak The Red Carpet Photograph menaja sesi fotografi gambar perkahwinan kami untuk diabadikan sebagai kenangan," katanya.
Syahrin sentiasa berusaha untuk memajukan ternakan kambingnya.
Syahrin yang sentiasa menerima sokongan dan galakan isterinya, merancang menambah bilangan ternakan dan membesarkan lagi ladang ternakannya.
“Selagi ada kudrat saya akan terus berusaha untuk lebih maju pada masa hadapan. Saya tidak mahu kekurangan diri sebagai penghalang untuk berjaya,” katanya.
Baru-baru ini, Syahrin terpilih menyertai sirkit pertama paralimpik dalam sukan memanah tetapi tidak dapat meneruskan ke peringkat seterusnya kerana masalah kekangan masa dan ternakan yang tidak ada penjaga.
“Acara diadakan di Kampung Pandan, Kuala Lumpur dan saya berada di sana selama tiga hari untuk memilih atlet untuk Sukan Malaysia (SUKMA),” katanya.
Syahrin mengucapkan setinggi penghargaan kepada penaung sukan memanah paralimpik Kelantan Tuan Raja Shamri yang memberi peluang kepada golongan OKU khususnya dirinya sendiri bagi menceburi bidang sukan memanah.
Syahrin dan Siti Lailah semasa menunaikan ibadah umrah tahun lalu.
Selain itu, Syahrin juga ingin merakamkan rasa terima kasih kepada sahabat baik isterinya yang menaja sepenuhnya mereka berdua menunaikan ibadah umrah pada tahun lalu.
“Inilah anugerah terindah untuk kami suami isteri semoga Allah yang dapat membalas budi baik dan jasa mereka.
“Saya juga amat beruntung dikurniakan isteri tercinta yang banyak memberikan sokongan dan galakan,” katanya.
Syahrin amat mengharapkan kejayaan dalam bidang penternakan kambing demi untuk kelangsungan hidup mereka suami isteri. - KitaReporters.com
Susu kambing keluaran ladang ternakan Syahrin.