2 TOK JERIT "TOLONG", CUCU TAK DAPAT BANTU
Published byPILU hati seorang cucu lelaki apabila mengenangkan jeritan dua nenek saudaranya yang meminta tolong, akhirnya tenggelam dalam maraknya api yang membakar rumah dua warga emas itu di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di Parit Buntar, Perak awal hari ini (12/12/2019). - KitaReporters.com
Keadaan rumah terbakar yang mengorbankan dua wanita warga emas di Sungai Betul Bawah, Tanjung Piandang di Parit Buntar, Perak pada awal pagi 12 Disember 2019.
Lebih menyedihkan apabila segala usaha telah dilakukannya bagi menyelamatkan kedua-dua mangsa, namun gagal apabila asap tebal dan api marak membataskan pergerakan lelaki itu.
Dalam kejadian kira-kira pukul 1.45 pagi itu, Aisah Din, 78, dan adiknya, Ida, 56, yang merupakan orang kurang upaya (OKU) maut dalam kebakaran yang memusnahkan rumah mereka.
Kejadian dipercayai berlaku ketika kedua-dua mangsa yang telah mendiami rumah itu sejak 20 tahun lalu itu sedang nyenyak tidur.
Anggota-anggota bomba berusaha memadamkan kebakaran.
Menurut cucu saudara kedua-dua mangsa, Nazri Musa, 24, dia yang tinggal berhampiran rumah wanita itu bergegas ke lokasi kejadian bagi menyelamatkan mereka.
Katanya, ketika itu dia sempat mendengar jeritan meminta tolong nenek saudaranya dan segera bertindak masuk ke dalam rumah dengan memecahkan pintu utama.
"Bagaimanapun, saya gagal masuk kerana jeriji besi berkunci dan segera ke bahagian dapur dengan memanjat bahagian atas rumah.
"Saya dengar jeritan meminta tolong, tetapi saya tidak tahu mereka di mana. Saya gagal mengesan kedudukan mereka kerana asap terlalu tebal dan api pula sudah marak.
"Keadaan yang semakin bahaya itu menyebabkan saya terpaksa berlari keluar menyelamatkan diri.
"Saya terkilan tidak berjaya selamatkan mereka. Suara meminta tolong itu masih terngiang-ngiang lagi pada telinga saya," katanya ketika ditemui di Parit Buntar hari ini (12/12/2019).
Nazri memberitahu, jeritan meminta tolong nenek saudaranya itu kemudiannya beransur-ansur hilang tenggelam dalam kebakaran tersebut.
"Saya dan penduduk kampung telah berusaha, namun apakan daya, kami tidak berupaya untuk menyelamatkan mereka. Dulu rumah saya pernah terbakar, tapi tidak sangka kebakaran di rumah nenek saudara hingga meragut nyawa," katanya.
Sementara itu, Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Perak, Azmi Osman berkata, kedua-dua mangsa ditemui di pintu utama dan ruang tamu dengan kesan pendarahan dan lecur di beberapa anggota badan antara 70 ke 80 peratus.
"Berdasarkan keadaan mayat mangsa, kemungkinan mereka cuba menyelamatkan diri, namun tidak menjumpai kunci pintu rumah.
"Sewaktu ketibaan anggota pun, keadaan rumah sudah terbakar 80 peratus, faktor angin kuat menyebabkan api marak dengan cepat," katanya. - KitaReporters.com