[VIDEO] BAYAR TUNGGAKAN ATAU GULUNG TIKAR
Published byKERJAYA sebagai kontraktor sebelum ini menjadi rebutan kerana menjanjikan pendapatan lumayan sehinggakan begitu ramai yang memohon lesen menjadi kontraktor. Namun kini menjelang 2020, kerjaya itu dilihat tidak lagi mampu menjamin pendapatan lumayan dengan adanya pelbagai cabaran hingga ada pula yang terpaksa gulung tikar. : KitaReporters.com
KIRA-KIRA 50 kontraktor menuntut pihak konsesi segera membayar tunggakan kerja yang tertunggak hingga lebih setahun.
Malah difahamkan ada antara kontraktor termasuklah kontraktor kecil terpaksa melobi dan membentuk kartel tertentu bagi memastikan mendapat kontrak untuk terus bernafas.
Bukan sahaja sukar mendapat kontrak malahan bayaran yang lewat membelenggu golongan kontraktor yang mana di Pahang sahaja seramai 50 kontraktor bakal gulung tikar ekoran pembayaran yang tertangguh lebih setahun.
Mohd. Yusof Mohd. Noh, 48.
Bagi Mohd. Yusof Mohd. Noh, 48, yang baru menceburi bidang kontraktor, kelewatan pembayaran begitu mengecewakannya dan membuatkannya terbeban, sekali gus berkemungkinan menjadi projek terakhir yang mampu dilakukannya.
Katanya, jika tidak mendapat bayaran, dia berkemungkinan terpaksa gulung tikar kerana kesemua wang simpanannya telah digunakan untuk menyiapkan kerja kontrak berkenaan.
"Saya baru menjadi kontraktor kelas G1 dan ini adalah projek pertama, saya sudah kumpul modal selepas bekerja dengan syarikat-syarikat besar dan dengan modal yang ada, saya mampu menyiapkan kontrak walaupun dengan keuntungan kecil.
"Selepas siapkan kerja pada 2019 saya belum mendapat bayaran dan apabila tengok ramai lagi kontraktor yang belum dapat bayaran dalam tempoh lebih lama dan jumlah lebih besar membuatkan saya berasa semakin takut menjadi kontraktor," katanya di Temerloh, baru-baru ini.
Menurutnya, jika tidak mendapat bayaran kerja membuat jalan yang dilakukan itu dia tidak mampu lagi melakukan kerja-kerja lain pada tahun ini kerana ketiadaan modal.
Rohaya Othman, 52.
Dalam pada itu, seorang kontraktor wanita, Rohaya Othman, 52, berkata, dia dan rakan-rakannya berasa amat teraniya kerana pihak konsesi berkenaan seolah-olah lepas tangan dengan nasib mereka.
Katanya, meskipun projek yang dilaksanakannya disiapkan sepenuhnya dan diperakui oleh Jabatan Kerja Raya (JKR) pada 2018, tetapi bayaran masih tertangguh sehingga kini.
Kamarazaman Mohamed
Sementara itu, Kamarazaman Mohamed memberitahu seramai 50 kontraktor kecil di negeri ini mungkin terpaksa gulung tikar kerana mengalami masalah aliran tunai sekiranya tidak mendapat bayaran dengan jumlah keseluruhan sebanyak RM5 juta itu.
"Berdasarkan rekod jumlah tunggakan membabitkan RM90,000 hingga RM500,000 seorang gagal dilunaskan oleh pihak konsesi yang dilantik kerajaan itu.
"Berikutan itu, kami merayu dan mendesak pihak konsesi segera melunaskan segera bayaran bagi mengelakkan kami gulung tikar," ujarnya. - KitaReporters.com