TERBAIK ORANG MUDA!! URUS LADANG 20 EKAR

Published by
KitaReporters
DUNIA pertanian dan penternakan amat sinonim dengan mereka yang berusia dan amat jarang diceburi golongan remaja. Tetapi lain pula dengan pasangan kembar Ahmad dan Muhammad M Fadzir, 22, yang mewarisi ladang ternakan keluarga. : KitaReporters.com

Biri-biri yang terdapat di ladang ternakan Ahmad dan Muhammad di Kuala Kangsar, Perak.


Pada kala remaja seusianya masih mencari identiti diri, pasangan kembar ini lebih senang bergelumang dalam kandang ternakannya di Kampung Periang, Kuala Kangsar, Perak.

”Sejak kecil boleh dikatakan kami membesar dengan ternakan kerana ayah memang menternak lembu dan kambing.

“Tapi sejak tiga tahun lalu, kami dua beradik mengambil alih dan menubuhkan Muhammad Livestock Farm,” kata Ahmad, lulusan Diploma Perakaunan dari Universiti Sultan Azlan Shah di Perak.

Sejak kembarnya, Muhammmad tamat sekolah tahfiz, dia meneruskan legasi ayahnya sebelum Ahmad menyertainya tiga tahun lalu.

“Selepas ambil alih daripada ayah, kami meluaskan ruang pasaran.

“Sebelum ini, ayah hanya menjual ternakan pada kawan-kawan dan pasaran tidak meluas hanya sekitar Kuala Kangsar sejak tahun 90-an,” katanya.

Pada tahun lalu, berkat usaha Ahmad dan Muhammad M Fadzir, jualan Muhammad Livestock Farm mencecah sehingga 150 biri-biri dan 15 ekor lembu sebulan.


Walaupun mereka berdua baru mengambil alih ladang ternakan daripada ayah mereka, usaha itu telah mula menampakkan hasil.

Jika dahulu semasa ladang ternakan diuruskan oleh ayah, jualan sebulan antara 20 hingga 30 ekor, tetapi kini dalam setahun lalu jualan mencecah sehingga 150 biri-biri dan 15 ekor lembu.

“Bagaimanapun semua ini tidak semudah disangka kerana banyak yang kami lakukan.

“Segalanya datang dengan usaha keras kami dua beradik dengan galakan dan sokongan keluarga,” katanya yang kini  menguruskan ladang keluarga seluas 20 ekar dengan bantuan dua orang pekerja.

Sebelum ini, hanya mereka berdua sahaja yang menguruskan ladang berkenaan.

Biri-biri antara ternakan yang terdapat di Muhammad Livestock Farm. 


Ahmad berkata, biri-biri, kambing dan lembu sama ada dijual secara borong kepada penternak kecil dan telah disembelih untuk dibekalkan kepada penggolek, katerer dan restoran, selain itu menjadi pembekal anak Dorper tempatan.

“Biasanya saya bawa masuk 80 hingga 120 seekor biri-biri sebulan dan saya akan pastikan semuanya habis dijual paling lewat dua bulan.

“Ini bagi mengurangkan kos makanan. Biasanya saya beri ternakan makan batang jagung, dedak dan napier,” katanya.

Bagaimanapun setiap kali ternakan baru masuk, Ahmad dan Muhammad perlu memastikan kesihatan haiwan berkenaan.

“Memang biasa setiap kali ternakan baru masuk, ada sahaja yang sakit dan mati.

“Dalam masa dua tahun, Jabatan Perkhidmatan Veterinar (JPV) banyak memberi khidmat nasihat sehingga kami serta kawan penternak lain boleh mengatasi masalah kecil berkaitan penyakit ternakan,” katanya yang menerima bantuan dan galakan daripada ayahnya yang juga mentor mereka.

Sejak kecil dua beradik ini sering meluangkan masa di kandang ternakan ayahnya. 


Bagi mengembangkan lagi bisnes, Ahmad menggunakan media sosial seperti Facebook: Muhammad Livestock Farm dan Instagram: muhammadlivestockfarm selepas Muhammad menjalani bengkel Agrobazaar Online Usahawan Bimbingan MARDI di Makmal Komputer Kolej Komputer Komuniti RTC Gopeng, Perak.

Walaupun masih muda, Ahmad menegaskan mereka yang mahu menceburi bidang ini perlu semangat yang tinggi untuk terus bangkit kerana cabaran sentiasa ada.

“Ayah saya pernah mengalami biri-birinya hilang sekandang dan modal hilang begitu sahaja sehingga ayah terpaksa berhenti sekejap,” katanya yang memelihara anjing German sherpard dan rotweiler untuk menjaga ladangnya.

Selain itu, ternakan sakit dan mati adalah perkara biasa yang perlu dihadapi. 

Usahawan ternak juga perlu mengkaji mengenai cara untuk mengurangkan kos makanan tanpa menjejaskan kualitinya.

“Sebagai usahawan, untung rugi adalah perkara biasa terutama mereka yang baharu.

”Jadi pelbagaikan perkhidmatan yang diberikan seperti kambing golek atau siap masak,” katanya yang sentiasa mencari ilmu baru dalam dunia ternakan.

Kerja sembelihan dan melapah dilakukan sendiri. 


Bagi berjaya, Ahmad tidak segan bertanya kepada penternak lain yang lebih berpengalaman dan ikut yang mana perlu.

Kini pasangan kembar ini telah mempunyai kandang baru yang boleh memuatkan 200 hingga 300 ekor kambing.

Selain itu, Ahmad juga menimba ilmu dengan melawat kesemua tiga ladang agropolitan dan pusat ternakan besar di seluruh negara.

“Pada masa hadapan saya berharap dapat melawat ladang luar negara dan mempelajari teknologi dan inovasi di sana.

“Bagaimana mereka boleh menguruskan ladang dengan bilangan pekerja paling minimum,” katanya yang bercita-cita mendapatkan permit import ternakan suatu hari nanti.

Buat masa sekarang, pasangan kembar ini turut menjual makanan ternakan seperti silaj jagung dan jerami serta jualan bebiri import dari Indonesia.

Kini pasangan kembar ini telah mempunyai lesen lori dan menyewakan lorinya untuk pelanggan yang memerlukan khidmat lori sewa apabila mereka tidak menggunakan lori. - KitaReporters.com

Kini mereka telah mempunyai lesen dan lori sendiri selain perniagaan makanan ternakan untuk dibekalkan kepada penternak berhampiran. 


Di ladang ternakan seluas 20 ekar ini pasangan kembar ini membina nama dalam industri ternakan. 

6
1
0
0
0

Copy Link: