MANGSA DERA: KISAH DERITA CINDERELA MODEN
Published byJARI kelingking dia dipatahkan. Kulit kepalanya berbekas akibat disimbah air panas, muka calar balar akibat dicucuh sudip panas. Malah tak ada tempat pada badannya yang tak tinggal bekas akibat didera. : KitaReporters.com
Noraini Abdullah menderita dalam diam selepas dilayan sebagai 'banduan' di rumah keluarga angkat.
Penderitaan 10 tahun akibat didera bagaikan berada di bilik tahanan perang kerana yang menderanya adalah seorang isteri anggota pasukan keselamatan.
Itulah nasib malang seorang gadis Anak Orang Asli suku Jahut dari Temerloh, Noraini Abdullah, 34, yang menderita dalam diam selepas dilayan sebagai 'banduan' di rumah keluarga angkatnya.
Sedekad berkhidmat dengan keluarga berkenaan selepas diambil dari rumah keluarganya dengan janji diberikan kehidupan baru, pekerjaan dan dijadikan anak angkat.
Bayangkan sepanjang tempoh itu, pelbagai jenis penderaan menjadi makanan hariannya malah setiap kali dia berbuat kesalahan ada-ada saja hukuman dikenakan.
Pernah rambutnya digunting berketak-ketak, dijirus pula dengan air tengah panas menyebabkan kulit kepala hingga ke sebahagian muka menjadi gelembong air.
Giginya patah dihempok dengan telefon dan calar balar itu bukan setakat pada muka saja kerana habis lengannya ada bekas parut akibat dikapit dengan playar.
Jari kelingking yang dipatahkan...
Walaupun anak Orang Asli, Noraini bukan calang-calang anak gadis. Dia lepasan tingkatan enam di Abu Bakar School,Temerloh.
Bijak berbahasa Inggeris dan sebaik ditemukan dengan keluarga angkatnya yang bertugas sebagai anggota keselamatan yang berpangkalan berhampiran kampungnya, dia menjangkakan masa depan yang gemilang sedang menunggunya.
Apa yang menjadi impiannya adalah berusaha keluar dari Perkampungan Orang Asli untuk mencari pekerjaan bagi menghantar wang belanja buat keluarga dan mengejar cita-citanya.
Semua bertukar menjadi mimpi ngeri, terutama bila kad pengenalannya turut disimpan oleh ibu angkatnya.
Sebaik dibawa ke Kuala Lumpur, Noraini tidak ubah seperti hamba abdi.
Ketika itu usia baru menjejak 23 tahun. Dia dijadikan orang gaji tanpa dibayar upah. Asalnya, diarahkan menjaga nenek ibu angkatnya.
Malu hendak tunjuk gigi depannya yang patak akibat dihempuk dengan telefon.
Bagaikan keluar mulut singa, masuk pula mulut buaya, Noraini diugut, diancam dan bertambah malang lagi nasibnya setiap hari didera oleh isteri anggota tentera yang sepatutnya melindungi keselamatan rakyat.
Hiduplah dia dalam keluarga itu dengan penuh ketakutan. Setiap hari dimaki hamun, dicaci dan diberi gelaran anak buangan keluarga.
Namun dia tetap reda dan bersabar tambahan pula tugasnya menjaga seorang nenek pula.
Bagaikan neneknya sendiri, tugas Noraini memberi makan minum, memandi, membersihkan najis nenek itu dan adakalanya, nenek itu memberinya wang saku tanpa diketahui oleh ahli keluarganya.
Tangannya penuh dengan tanda-tanda akibat penderaan.
Sedekad penuh sengsara. Apabila keluarga lima beranak termasuk nenek, dua anak dan seorang anak angkat yang juga bekerja sebagai anggota keselamatan menjadikan badan gadis ini sebagai "punching bag".
Silap sikit, perutnya diterajang sesuka hati, belakangnya menjadi sasaran tendangan dan jika Noraini menjerit, makin bertalu-talu penyepak singgah di badannya.
Akhirnya untuk menenangkan dirinya, Noraini 'mematikan' dirinya dan membiarkan isteri dan anak angkat itu tumbuk sesuka hatinya. Untunglah dia tidak mati.
Kuku jari yg rosak akibat terkena asid cuci saluran sinki yang Norani kena kutip sampah sarap terlekat.
Ditanya kenapa tidak melarikan diri, Noraini berkata, dia tidak ada tempat tujuan. Rumah itulah syurganya dengan bertemankan seorang nenek yang berusia 80 tahun dan sesekali akan memarahi anak-anaknya kerana berkasar.
Demi kasih sayang dan kasihan kepada nenek, Noraini menjadikan dirinya sebagai tempat dua beranak itu melepas geram.
Dinding batu rumahnya sudah menjadi 'sahabat' kerana hampir setiap hari kepalanya dihantuk pada dinding berkenaan.
Tak ada hari yang dia tidak didera. Dari jam 6 pagi bangun sehingga larut malam, dari kerja membersih rumah, mengelap lantai, memasak, mengemas rumah itulah rutin hariannya.
Noraini cuma menjamah nasi dengan seketul ayam atau seekor ikan bila sudah larut malam.
Lebih hina daripada pembantu rumah dari Indonesia, Noraini akan diarahkan berada di luar rumah jika keluarga angkat itu keluar membeli-belah.
Mereka bimbang dia nanti mencuri makanan atau barang-barang berharga keluarga itu.
Dengan adanya 20 ekor kucing yang dia uruskan, setidak-tidaknya saat menunggu keluarga itu pulang, dia membersih dan 'bercakap' dengan haiwan berkenaan.
Kesan minyak panas pada hujung sudip yang ditekapkan ke muka.
Sehingga minggu lalu, apabila Noraini dihalau oleh ibu angkatnya. Setelah nenek keluarga itu meninggal dunia, sengsara Noraini makin bertambah-tambah.
Bermacam-macam penderaan dan tanpa peri kemanusiaan membuatkan Noraini melarikan diri dan menyorok di sebalik bangunan dan ditemui seorang peniaga bernama Adina.
Noraini ini adalah pelanggan tetap gerai Adina. Dia membeli sarapan pagi setiap hari untuk keluarga ibu angkatnya.
Dalam hari-hari tertentu bila ada kesan lebam pada mukanya, Adina bertanyakan adakah dia didera.
Alasan yang dia berikan, terjirus air panas, terkena minyak panas goreng ikan sardin. Malah jika pelanggan di gerai Adina ramai, Noraini sanggup berulang alik berkali-kali kerana takut dimarahi ibu angkatnya.
Seorang anggota keluarga ibu angkatnya yang bekerja sebagai peguam datang menemuinya, dan memintanya menarik balik kertas laporan polis yang telah dibuat.
Dia memberitahu wartawan KitaReporters.com, jirannya tahu kejadian penderaan itu tetapi mereka tidak mampu membantunya.
Malah setiap kali didera, dia berusaha menutup mulutnya daripada menjerit, menahan kesakitan kerana sudah pasti lagi teruk kena pukul.
Adina dan jirannya kemudian membawa Noraini membuat laporan polis di Selayang Baru dan tidak lama kemudian salah seorang anggota keluarga ibu angkatnya yang bekerja sebagai peguam datang menemuinya, memintanya menarik balik kertas laporan dan menyerahkan semula kad pengenalannnya.
Tingginya budi, Noraini sukarela menarik laporan kerana kasihan yang sangat tebal.
Hari ini, walaupun sudah terlambat untuk Noraini menikmati hidup mudanya, mencari kerja dan menghantar duit pada ibu bapa di kampungnya, dia diambil bekerja dengan Adina dan dihantar mengaji al-Quran. - KitaReporters.com
Noraini dan penulis, Kartini Mohd Noor. Daripada sikapnya, Noraini nampak sangat baik budi dan lurus bendul.