BAKAR RUMAH SELEPAS API CINTA TAK DIRESTUI
Published byKERANA cinta adakalanya manusia sanggup melakukan apa sahaja termasuklah yang tidak berlandaskan akal fikiran seperti melakukan jenayah dan perbuatan yang boleh memudaratkan orang lain termasuk orang yang dicintai. : KitaReporters.com
Di Raub, Pahang kerana cinta dengan seorang ibu tunggal yang tidak direstui telah menyebabkan seorang lelaki bertindak di luar batasan dengan mencetuskan kebakaran di rumah keluarga wanita berkenaan, yang boleh memusnahkan rumah itu sekiranya api tidak berjaya dikawal segera.
Dalam kejadian kira-kira pukul 2 pagi di Cheroh, Raub awal pagi semalam (11/12/2019) seorang lelaki telah membaling dua tong plastik disyaki minyak petrol ke arah kereta milik mangsa di garaj hadapan rumah mangsa sebelum menyalakan api.
Namun ketangkasan mangsa memadamkan kebakaran menggunakan alat pemadam api dan kemudiannya, tindakan pantas bomba berjaya mengawal kebakaran daripada merebak memusnahkan rumah.
Ketua Polis daerah, Superintenden Kama Azural Mohamed berkata, meskipun tidak menyebabkan kemalangan jiwa dan kecederaan tetapi kebakaran tersebut telah menyebabkan kerosakan dua buah kereta milik mangsa.
"Kebakaran menyebabkan bahagian sebelah kiri belakang kereta jenis Honda HRV terbakar, manakala tayar dan cermin tingkap sebelah kanan kereta Toyota Unser terbakar dan pecah.
"Siasatan dilakukan di bawah Seksyen 435 Kanun Keseksaan kerana khianat dengan api dan pihak polis sedang giat mengesan bagi menangkap suspek,"katanya di Raub semalam (11/12/2019).
Menurut Kama Azural, berdasarkan siasatan awal mendapati kejadian dipercayai berpunca daripada perselisihan faham antara mangsa dan suspek ekoran perhubungan mangsa dengan adik suspek.
Beliau memberitahu, adik perempuan mangsa berumur 36 tahun yang merupakan ibu tunggal dipercayai berkawan dengan suspek, tetapi hubungan mereka tidak direstui keluarga.
"Pada Sabtu lalu (7/12/2019) adik perempuan pengadu telah keluar rumah mengikut suspek dan semalam (10/12/2019), suspek datang ke rumah pengadu untuk mengambil tiga orang anak adik perempuan pengadu tetapi dihalang.
"Dipercayai akibat tidak berpuas hati, suspek yang bekerja sebagai penjual madu kelulut telah datang bersama kawannya untuk membakar kenderaan milik pengadu," ujarnya. - KitaReporters.com